Friday, July 25, 2008

UMNO DAN PAS MAMPU DUDUK SEMEJA

(Diubahsuai daripada laporan khas oleh Syafinaz Yunus - disiarkan dalam Berita TV9, 24 Julai 2008)

Usaha bagi mewujudkan perpaduan di antara UMNO dan PAS mula dijalin dengan adanya pertemuan di antara pemimpin kedua-dua parti itu. Namun kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menolak muzakarah, menimbulkan tanggapan baru.

Dakwaan sesetengah pihak muzakarah hanya untuk kepentingan UMNO, merobek usaha murni itu. Persoalannya sampai bila dua parti Melayu-Islam itu akan terus bertentang arah?

Penganalisis politik, Mohd Sayuti Omar berpendapat muzakarah ini untuk kebaikan orang Melayu, umat Islam serta negara. Menurutnya Datuk Nik Aziz pada dasarnya tidak pernah menolak untuk bermuzarahan. Perbezaan pandangan di kalangan beberapa pemimpin PAS mungkin mempengaruhi pendirian beliau untuk membuat keputusan.

"Sebagai ulama, sudah pasti beliau menyokong. Beliau tidak dimaklumkan secara peribadi. Orang PAS yang tidak senang hati mungkin menasihatkannya." ujar Sayuti.

Pengalaman pahit yang dilaluan beberapa pemimpin PAS dan UMNO menyebabkan usaha bermuzakarah menjadi tidak mudah. "Saya sendiri berpendapat muzakarah ini tidak ada faedahnya, bahkan semata-mata ini bala pada PAS," kata Wan Ahmad Wan Ismail, bekas Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan.

Manakala bekas Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Hussein Ahmad berkata usaha untuk mengadakan muzakarah hanya mencari publisiti murah. "Pas tak ke mana dah nak pergi. Dia tahu dah tak boleh pergi jauh, dia boleh duduk, nak duduk bawah UMNO. Kalau dulu UMNO dengan MCA dianggap kafir, sekarang PAS duduk di bawah DAP apa? PAS dah buang tabiat dah. Tak payahlah nak muzakarah. Orang PAS yang nak masuk UMNO.. mari, orang UMNO yang nak masuk PAS..pergi," katanya.

Menurut Sayuti ada pihak tertentu dalam PAS risau, "silap tanggapan iaitu perselisihan faham dalam PAS itu sendiri. Golongan yang yakin dengan Pakatan Rakyat dan golongan yang tidak yakin dengan Pakatan Rakyat."

Namun masih ada kalangan anggota kedua-dua parti yang berfikiran terbuka mengenai pertemuan pemimpin mereka

"Pada pandangan saya tidak salah kepimpinan itu berjumpa memberikan pandangan-pandangan kepada UMNO sebab kita tidak boleh tolak hakikat bahawa UMNO ini masih memegang kuasa di Malaysia, walaupun mereka kekurangan undi majoriti. Jadi diharap pertemuan ini kita boleh mengemukakan pandangan, teguran-teguran dan juga harapan supaya UMNO memainkan peranan dia bagi menjaga kepentingan agama Islam, " kata EXCO Kelantan, Nik Amar Abdullah.

Seorang veteran UMNO Kelantan, Datuk Ismail Mamat turut menyokong usaha mengadakan muzakarah itu. "Saya merasakan pandangan ini lebih kepada politik tetapi kalau kepada politik bangsa Melayu keseluruhan atau kalau untuk bangsa Melayu, ia haruslah diteruskan," katanya.

Di sebalik polimik itu, Datuk Nik Aziz menjelaskan, isu muzakarah tidak timbul lagi, kerana apa yang sebenarnya berlaku sekadar pertemuan biasa atau muqaballah.

Namun bagi Sayuti pertemuan perlu disegerakan, "Saya sokong kedua-duanya. Ia perlu agar ada pertemuan wakil UMNO dan PAS untuk dua parti ini dududk di bawah satu rumpun," ujar beliau.

Walau apapun, langkah pertama harus dilakukan bagi membuka lembaran baru perpaduan Melayu-Islam. Dan soal politik harus diketepikan. "Muzakarah ini harus diteruskan bukan untuk bergabung parti tetapi untuk membincangkan kepentingan orang melayu yang semakin terhimpit," kata Profesor Nidzam Sulaiman dari Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan UKM.

Tiada lagi pihak yang boleh diletakkan harapan untuk perpaduan Melayu dan agama Islam, kecuali UMNO - sebuah parti bertunjangkan Melayu dan PAS yang penubuhannya bertujuan memperjuangkan islam. Maka yang penting kini, satu titik permulaan bagi mencari penyelesaian masalah perpaduan di kalangan bangsa Melayu, disegerakan.

No comments: