Sunday, August 31, 2008

DR ASYRAF - PEMIMPIN PEMUDA YANG PERLU DIKETENGAHKAN


Berbual dengan Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengenai politik UMNO, ia mengambarkan isi hati generasi muda anggota parti itu.

Dr Asyraf baru berusia 32 tahun. Matang dan perlu diketengahkan dalam kepimpinan UMNO masa depan. Pada Pilihanraya Umum lalu, beliau bertanding atas tiket BN di Parlimen Tumpat tetapi kecundang.

Anak Dato' Dusuki Ahmad tokoh pengajian Islam dari Kelantan ini, berhasrat bertanding kerusi Ketua Pemuda UMNO Tumpat. Tetapi tau-tau sajelah, mereka yang berkebolehan dan berpelajaran sepertinya selalu akan cuba dicantas.

Namun kerana 'sekelumit' semangat dalam dirinya yang mahu membela bangsa, itulah sahaja yang menyebabkan beliau terus dengan UMNO.

Beliau kini bertanggungjawab sebagai Ketua Penyelidik di Akademi Penyelidikan Syari'ah Antarabangsa bagi Kewangan Islam (ISRA). Pendapat beliau yang bernas mengenai beberapa perkara menyebabkan media sering membuka ruang kepadanya.
Berikut antara profil beliau;
Dilahirkan pada 14 Mei 1976, merupakan cahayamata ketiga kepada Dato' Haji Dusuki Ahmad dan Datin Hajjah Nik Nooraini Nik Yahya. Beliau sudah berumah-tangga dengan Dr. Nurdianawati Irwani Abdullah (Penolong Professor, Perbankan dan Kewangan Islam, Universiti Islam Antarabangsa) dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu 'Ammar Asyraf Wajdi (6 tahun), 'Affaf Asyraf Wajdi (3 tahun) dan 'Affan Asyraf Wajdi (3 bulan). Mendapat pendidikan menengah di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu (SMAP Labu), Negeri Sembilan.
Dalam pengajian pendidikan tinggi, beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Kepujian dalam Perakaunan serta mendapat Anugerah Pelajar Terbaik (Anugerah Rektor) di Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) tahun 2000.
Beliau telah menerima Anugerah Pelajar Terbaik Perakaunan Peringkat Kebangsaan daripada Malaysian Association of Certified Public Accountant (MACPA) dan Hadiah Pingat Emas untuk Anugerah Graduan Terbaik bidang Perakaunan Peringkat Kebangsaan yang dianugerahkan oleh Harvard Business School Alumni Club of Malaysia.
Dr. Asyraf Wajdi meneruskan pengajian sarjana (M.Sc with distinction in Islamic Economics, Banking and Finance) dan Ijazah Kedoktoran (Islamic Banking and Finance) di Universiti Loughborough, United Kingdom.
Beliau pernah bertugas sebagai Penolong Professor dan pensyarah di Kulliyyah Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebelum meletakkan jawatan untuk bertanding sebagai calon Barisan Nasional di Parlimen P.019 Tumpat pada Pilihanraya Umum ke-12 tahun 2008.
Penglibatan dalam bidang perbankan dan ekonomi Islam diteruskan dengan pembabitan beliau sebagai ahli kepada International Association for Islamic Economics dan penulisan jurnal/makalah akademik tempatan serta antarabangsa.
Beliau juga adalah Ahli Panel Syariah Affin Islamic Bank. Dalam bidang latihan dan pembangunan modal insan, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki juga terlibat dalam memberi latihan dan ceramah untuk kakitangan institusi seperti Petronas Gas Berhad, Malayan Banking Berhad (Maybank), RHB Bank, Institut Tadbir Awam Negara (INTAN), dan Bank Negara.
Dalam aktiviti masyarakat, Dr. Asyraf Wajdi banyak terlibat dengan program Kementerian Belia dan Sukan melalui persatuan belia. Beliau pernah menjadi Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dari tahun 1999-2000, Dewan Tertinggi Majlis Belia Malaysia (MBM) dan menjadi ahli kepada Majlis Perundingan Belia Nasional (MPBN) 2000-2001 yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan Malaysia.
Dr. Asyraf Wajdi juga telah dilantik menjadi pakar rujuk Majlis Perundingan Belia Wilayah Persekutuan bermula tahun 2006.
Kini beliau menjadi panel penulis Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan penulis di Ruang Agama, Mingguan Utusan pada setiap minggu. Dr Asyraf Wajdi Dusuki juga telah diamanahkan menjadi Pengerusi Yayasan Darul Hanan sebuah yayasan yang menjalankan program pendidikan dan kebajikan di Tumpat, Kelantan.

Saturday, August 30, 2008

TV9 TAK KALAH DENGAN PROGRAM ANALISIS BAJET 2009

Program bualbicara mengenai Bajet 2009 di TV9 jam 10:30 malam tadi mempunyai sedikit kelainan.

Analisis Bajet 2009 membariskan pengantara Dr Asraf Wajdi Dusuki (Ketua Penyelidik ISRA) serta Dato Dr Ma'amor Osman (PPIM) dan Dato Izat Emir (Perdasama).

Selain mengupas dan mengulas kandungan Bajet 2009, program ini juga menyelitkan reaksi semua lapisan pemimpin dan masyarakat yang turut diulas ahli panel.

Thursday, August 28, 2008

RENUNGAN : JANGAN BUAT MACAM INI!

(Saya tidak mengenali penghantar email ini. Tetapi siapa yang menghantarnya tidak penting. Yang jelas mesejnya dapat memberi iktibar kepada kita semua. Emailnya sudah lama saya terima tetapi tidak berkesempatan untuk saya muatkan dalam blog ini. Mungkin juga ada sesetengah daripada kita pernah menerimanya).

Kita semua akan capai umur tua seperti kes ini. Kalau anak2 tak di didik dgn betul dan kita pun tak take care dia orang betul2 – inilah jadinya.

Kesian. Sampai hati anak2 sorang pun tak nak tengok utk sahkan mayat ayah, apa tah lagi tolong angkat mayat !

Buat renungan.

Seminggu lepas, sewaktu saya on call 24 jam, saya dapat panggilan dari anggota balai, bagi tahu, ada satu mayat di temui di dalam sebuah rumah.Jiran mendakwa terhidu bau busuk.

Saya bersama 6 anggota bantuan teknik dan Forensik ketempat kejadian, juga terdapat 5 anggota balai yg sedia menanti saya. Saya membuat pemeriksaan di sekeliling rumah bagi mengesan sebarang kesan kesan jenayah. TIADA. saya intai melalui tingkap, memang baunya busuk menusuk hidung.

Bau mayat !..saya nampak sesusuk tubuh yg terbaring di atas sofa...dengan hanya berkain pelikat sahaja..jelas mayat satu lelaki,berulat, dengan mata dan gigi telah terkeluar...saya terpaksa memecah masuk kedalam rumah....dan buat pemeriksaan. Ada dompet yg mengandungi RM33. jam tangan, dan IC serta beberapa no tel. rumah usang, tanpa talipon, tiada peti sejuk...ada sedikit beras dan minyak masak.

Nyata mayat tersebut, seorang lelaki 75 tahun....saya menghubungi satu no tel.di jawab oleh seorg perempuan muda...20 tahun...dan itu cucunya...mayat di bawa ke Hospital Ipoh untuk bedah siasat esoknya.di mana anak anaknya?baru seminggu anaknya datang membawa emaknya ke Johor kerana bercuti, menyambut merdeka dan membawa emak berjalan jalan...mungkin ayah tak mahu mengikut...berdasarkan siasatan Forensik, ayah tua tu meninggal pada hari anak anaknya membawa ibunya ke Johor.

Sewaktu di temui memang mayat telah seminggu, berdasarkan keadaan mayat dan size ulat yang menghurungi mayat. saya menegur anaknya di bilik mayat...tentang kesilapan mereka meninggalkan ayah mereka dalam keadaan sebegitu daif...tanpa menghubungi, tiada link dgn jiran jiran...seorang pun anak anaknya 5 lelaki , 4 perempuan tak sanggup mengecam mayat ayah mereka...apatah lagi mengangkat jenazah ayahnya. Cumaadik perempuan dan suaminya sahaja yg sanggup masuk kedalam bilik mayat dan mengecam...sejurus sebelum pengsan.kenapa sampai jadi begini ? apa yg tak kena?

Saya akan mengirimkan gambar gambar kejadian ini sekiranya kawan kawan mahu lihat, bagaimana kesedihan ini diabadikan.


Tuesday, August 26, 2008

KEPUTUSAN DI PERMATANG PAUH CERMINKAN AMALAN DEMOKRASI

BUKIT MERTAJAM 26 Ogos — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Barisan Nasional (BN) menghormati keputusan pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh hari ini yang disifatkannya sebagai mencerminkan amalan demokrasi yang masih segar di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kemenangan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pilihan raya itu membuktikan tiada manipulasi daripada segi perjalanan demokrasi di negara ini.

“Tak tempang dari segi amalan demokrasi di negara ini,” katanya pada sidang akhbar selepas pengumuman keputusan pilihan raya kecil itu di sini hari ini.

Penasihat PKR itu menang dengan majoriti 15,671 undi pada pilihan raya kecil itu.

Anwar memperoleh 31,195 undi, sementara calon Barisan Nasional (BN), Datuk Arif Shah Omar Shah mendapat 15,524 undi dan calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) Hanafi Mamat 92 undi. Hanafi hilang wang pertaruhan.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Anwar, Najib yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata BN menghormati keputusan rakyat memilih Anwar sebagai anggota Parlimen kawasan itu.
“Seperti mana yang kita telah nyatakan dari awal lagi, bahawa kita akan hadapi laluan sukar dalam pertandingan ini,” katanya.

Mengambilkira undi BN menurun sebanyak 1,426 undi berbanding pilihan raya umum lepas, Najib berkata BN akan mengkaji kelemahan perikatan itu dan memperbaikinya.

“Kita bersedia buat perubahan yang perlu supaya dapat mengembalikan keyakinan rakyat terhadap BN,” katanya sambil menambah, walaupun PKR menang kerusi Parlimen itu, namun jumlah anggota Parlimen pembangkang tidak akan bertambah.

Najib berkata walaupun pada awalnya BN menjangkakan dapat mengurangkan jumlah majoriti undi PKR, bagaimanapun ia gagal berikutan sentimen penduduk Permatang Pauh terhadap parti itu masih kuat.
- Bernama

BAJET 2009 YANG SUKAR

Bajet yang sukar. Itu yang digambarkan oleh Menteri Kewangan II, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop mengenai Bajet 2009 yang akan dibentangkan di parlimen Jumaat ini.

Apapun corak bajet kali ini, ia lebih banyak ditentukan oleh beberapa faktor luaran termasuk harga global yang tinggi. Namun berdasarkan pengalaman lalu Malaysia mampu menghadapi situasi sukar itu dengan jayanya.

Antara kejayaan itu disebabkan keupayaan kerajaan yang terus berdisiplin menguruskan ekonomi negara. Yang pasti menurut Tan Sri Nor Mohamed Yakcop tiada kegawatan ekonomi berlaku. Apa yang dihadapi negara hanya disifatkan sebagai cabaran ekonomi.

Antara fokus Bajet 2009 ialah memastikan rakyat berpendapatan rendah terlepas daripada bebanan ekonomi (tumpuan kepada 'Social Safety Net').

Beberapa perkara berkaitan golongan itu yang perlu ditekankan ialah prasarana awam, pengangkutan awam serta pengeluaran makanan.

Peranan sektor swasta dalam menjana ekonomi negara turun diiktiraf dengan beberapa insentif dijangka diumumkan.

Di samping itu, sumber asas yang berpotensi menjana pendapatan negara akan turut diberi tumpuan. Antaranya sektor kewangan Islam, pelancongan, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan. Manakala latihan bagi meningkatkan sekil kepakaran bidang-bidang tertentu akan dipergiatkan.

Friday, August 22, 2008

TAMAN TAMADDUN ISLAM TIDAK DISELENGGARA SEMPURNA




Keindahan dan keunikan Taman Tamaddun Islam di Pulau Wan Man, Kuala Terengganu terserlah.

Namun penyelenggaraanya masih tidak sempurna walaupun baru beberapa bulan dibuka kepada orang ramai.

Di celah-celah sudut beberapa bangunan replika terdapat tong-tong cat kosong dan sampah sarap tidak dibersihkan.

Manakala masjid kristal yang tersergam indah tidak kukuh. Pemegang kayu pada salah satu pintunya sudah terkulai.

HARGA MINYAK TURUN MULAI ESOK

Harga diesel dan petrol akan turun antara lapan sen dan 22 sen seliter mulai esok, demikian diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, hari ini.

Beliau berkata Kabinet memutuskan harga runcit petrol RON97 akan dikurangkan sebanyak 15 sen daripada RM2.70 seliter kepada RM2.55 seliter manakala harga runcit petrol RON92 akan dikurangkan sebanyak 22 sen iaitu daripada RM2.62 seliter kepada RM2.40 seliter.

"Harga runcit diesel akan dikurangkan sebanyak lapan sen seliter daripada RM2.58 seliter kepada RM2.50 seliter," katanya dalam kenyataan akhbar di sini.

Harga baru bahan api itu ditentukan dengan mengambil kira harga sebenar petrol daripada 1 Ogos hingga 21 Ogos serta penetapan subsidi 30 sen seliter manakala subsidi yang ditanggung oleh kerajaan untuk diesel berdasarkan harga baru itu ialah sebanyak 50 sen setiap liter.

“Jemaah Menteri hari ini mengambil keputusan untuk mempercepatkan tarikh penguatkuasaan pelarasan harga petrol baru,” katanya

Wednesday, August 20, 2008

SIRI DEBAT KEDUA AKAN DIADAKAN MALAM INI

Grafik : Agendadaily

Program Siri Debat Agendadaily yang akan mempertemukan dua orang kuat Pulau Pinang, akan berlangsung pada jam 9 malam ini di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka,Kuala Lumpur.

Agendadaily selaku penganjur debat berkenaan akan bekerjasama lagi dengan Televisyen Kumpulan Media Prima untuk menjayakan debat berkenaan.

Tajuk yang dipersetujui ialah "Kisah Benar Kontroversi Tanah di Pulau Pinang".

Siaran langsung akan dapat diikuti melalui TV9 dan NTV7, manakala siaran terunda di TV3 selepas siaran berita Nightline.
(Gong Badak)

Monday, August 18, 2008

CHUN WAI BERSANTAI DI LAUTAN

Lupakan bebanan tugas di pejabat atau kemelut parti gerakan di Pulau Pinang serta pilihanraya kecil Permatang Pauh.

Bagi Ketua Pengarang Kumpulan The Star, Datuk Wong Chun Wai, bersantai di buritan Bot Tempur milik TLDM di periaran Sabah, sesuatu nikmat yang jarang ditemui walaupun meletihkan.

Wednesday, August 13, 2008

HUBUNGAN ATM DAN PDRM SEMAKIN ERAT

(KPN dan PAT berpakat untuk berduet) -Foto : LH
Kini hubungan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) semakin erat. Keikraban dua organisasi keselamatan itu bukan sahaja ditunjukkan melalui latihan dan operasi bersama, tetapi terbukti dengan aksi foto ini.

Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Abd Aziz Zainal dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan secara senyap-senyap berpakat untuk mendendang lagu To All The Girls I've Loved Before nyanyian Julio Iglesias pada sesi jamuan malam di Terumbu Layang-Layang malam Selasa lalu.

HASSAN OMAR SELESA BERTUGAS DI SABAH

Hassan Omar (kanan) pernah jadi Setiausaha Pemuda UMNO cawangan

Wartawan Berita Harian, Hassan Omar yang melaporkan kenyataan TPM dan Ketua Polis Negara dari Terumbu Layang-Layang sebelum ini bertugas di meja berita, Berita Harian di Kuala Lumpur.

Kini beliau ditempatkan di biro Berita Harian di Kota Kinabalu.

Hassan yang tinggal di Pusat Bandar Puchong sebelum ini adalah Setiausaha Pemuda UMNO Cawangan, ketika saya menjadi Ketua Cawangan. Selepas dipindahkan ke Sabah, Pemuda cawangan tidak mempunyai setiausaha sehinggalah selepas Persidangan Agung Cawangan dua minggu lalu.

Isterinya seorang guru ketika itu mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Pusat Bandar Puchong dimana saya menjadi YDP PIBGnya. Urusan perpindahan isterinya memakan masa agak lama setelah pelbagai rayuan dibuat. Saya juga turut membantu dengan mengajukan surat rayuan kepada Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Isteri Hassan kini mengajar di sebuah sekolah agama di Kota Kinabalu.

Ketika bertemu beliau, Hassan dilihat begitu selesa bertugas di Sabah sehingga bercakap dengan saya pun lebih Sabahan daripada orang Sabah.

PDRM MAHU TAMBAH 21 BUAH HELIKOPTER


Oleh : Hassan Omar
TERUMBU LAYANG-LAYANG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) yakin memperoleh tambahan 21 helikopter termasuk dua yang mampu memuatkan anggota Pasukan Gerak Am (PGA) bagi memperkukuh operasi membanteras jenayah dan penyeludupan, terutama di perairan Sabah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata setakat ini kerajaan memberi maklum balas positif terhadap permohonan PDRM mendapatkan helikopter berkenaan, selain 12 helikopter sedia ada. Beliau berkata, pengukuhan Unit Udara PDRM penting bagi membolehkan PDRM membantu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengawal perairan negara dan mencegah jenayah, terutama penyeludupan melalui jalan laut.

"Setakat ini, maklum balas daripada kerajaan baik. Insya-Allah, mungkin dalam bajet akan datang," katanya ketika ditemui selepas menyertai lawatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Stesen Lima TLDM di sini, semalam. Najib dalam rangka lawatan kerja dua hari di Sabah mulai kelmarin bagi meninjau Operasi Pandanan/Sipadan (Ops Pasir) di Pantai Timur Sabah dan barisan hadapan pertahanan negara di terumbu itu. Musa berkata, pengukuhan Unit Udara PDRM bukan bertujuan menyaingi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), sebaliknya memperkukuh kerjasama antara PDRM dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam memastikan keamanan dan kedaulatan negara.

Beliau berkata, Polis Marin yang ditugaskan mengawal perairan negara di kawasan kurang 12 batu nautika turut membantu APMM dan TLDM mengurangkan jenayah dan penyeludupan, selain memastikan perairan negara tidak dicerobohi nelayan asing.
-Berita Harian

KEHADIRAN TLDM DI AMBALAT PENTING

TPM bersama-sama PAT, IGP, PTD dan PTL di Layang-Layang. Foto LH

Oleh : Hassan Omar
TERUMBU LAYANG-LAYANG: Datuk Seri Najib Razak berkata, kehadiran anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di perairan Ambalat yang menjadi pertikaian antara Malaysia dan Indonesia, penting bagi menyokong tuntutan pemilikan negara terhadap kawasan itu jika ia dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan perlu memastikan faktor kehadiran rakyat Malaysia di situ tidak dianggap remeh kerana ia bakal mempengaruhi pertimbangan hakim ICJ. Hakikat itu, tegasnya, adalah berdasarkan pengalaman Malaysia kehilangan hak dalam tuntutan kedaulatan terhadap Batu Puteh, beberapa bulan lalu.

Bagaimanapun, katanya, ia bukan bermakna Malaysia tidak akan berbincang dengan Indonesia berhubung tuntutan berkenaan kerana setiap pertindihan tuntutan wilayah harus diselesaikan menerusi rundingan demi keamanan serantau.

“Jika sesuatu tuntutan dirujuk kepada ICJ, satu daripada faktor utama pertimbangan ialah penguasaan sesuatu pulau membabitkan pemilikan atau penempatan rakyat kita untuk menyokong tuntutan itu,” katanya pada sidang media selepas melawat Stesen Lima TLDM di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman; Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin; Panglima TLDM, Laksamana Datuk Abdul Aziz Jaafar; Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan. Kelmarin, Najib yang juga Menteri Pertahanan, meninjau operasi Pandanan/Sipadan (Ops Pasir) di Semporna yang dilaksanakan Angkatan Tugas Bersama (ATB) bagi meningkatkan kemampuan ATM, Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Terumbu Layang-Layang adalah antara barisan hadapan TLDM dalam memelihara perairan negara. Beliau berkata, Kementerian Pertahanan bercadang memanjangkan landasan kapal terbang dan terusan di terumbu itu, masing-masing sepanjang 1,367 meter dan 42 meter bagi membolehkan pendaratan pesawat lebih besar selain membenarkan kapal peronda TLDM hampir lebih dekat.

Sementara itu, Najib berkata, kapal selam pertama Malaysia, KD Tun Razak akan dilancarkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin, di Sepanyol pada 8 Oktober ini. Najib berkata, kehadiran TLDM di Ambalat difahami Kerajaan China berdasarkan sejarah penempatan sejak 1984.

Terumbu seluas 2.5 km persegi itu turut menempatkan pusat kajian Jabatan Perikanan dan pusat peranginan. “Ia bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan. Segala usaha memajukannya tidak boleh memusnahkan ekosistem di keliling terumbu ini kerana ia menjadi tumpuan pelancong seluruh dunia,” katanya.

Mengenai tinjauan di Terumbu Layang-Layang dan Ops Pasir, Timbalan Perdana Menteri berkata, penempatan ATM di Pantai Timur Sabah sejak September 2000 berjaya memelihara kedaulatan negara dan keselamatan penduduk tempatan serta pelancong. Berucap pada majlis makan malam kelmarin, Najib berkata, perbelanjaan besar kerajaan dalam bidang ketenteraan bukan bertujuan membazir wang rakyat tetapi memastikan kedaulatan negara terpelihara.

Katanya, penguasaan Malaysia di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) tidak mampu dizahirkan jika sistem pertahanan lemah dan mudah diceroboh pihak asing.
-Berita Harian

Saturday, August 9, 2008

NANTIKAN OLE-OLE DARI STESEN LIMA

Awal pagi esok saya akan menyertai lawatan ke kawasan operasi dan pangkalan hadapan ATM di Sabah. Antara mereka yang akan bersua, skot saya di RMC - Panglima 5 Bgd, Brig Jen Masrani Paiman.

Jadi saya harus tidor awal. Nantikan ole-ole dari sana!

MAJLIS PEGUAM AKUR, TAPI MANA PERGI....

Di atas desakan dan kesatuan suara daripada semua kelompok masyarakat Islam, akhirnya forum terbuka 'memeluk Islam' ditamatkan tiga jam lebih awal.

Majlis Peguam perlu akur realitinya. Masyarakat Islam sanggup mengetepikan fahaman politik, jika agama Islam disentuh oleh mereka yang bukan ahlinya, terutama apabila membabitkan perbincangan terbuka.

Terima kasih Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Nik Aziz, Datuk Seri Ali Rustam, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, NGO-NGO, pemimpin-pemimpin parti politik, orang perseorangan yang telah memberi komen yang lantang.

Semangat yang ada pada perhimpunan di depan bangunan Majlis Peguam pagi tadi perlu diteruskan.

Pada perhimpunan itu, Salahuddin Ayub memberi ulasan, Zulkifli Nordin memberi amaran, GPMS memberi kata dua. Walaupun ada ahli-ahli UMNO yang hadir, tapi mana perginya pemimpin-pemimpin UMNO? Mana wakil Pemuda, Putera dan Puteri UMNO? Media tercari-cari mereka siang tadi.......

Thursday, August 7, 2008

ZAHID TAWAR DIRI JAWATAN NAIB PRESIDEN ATAS SOKONGAN KAWAN-KAWAN

Berikut kenyataan media oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengenai hasratnya menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti Disember ini.

Kenyataan media ini dihantar oleh beliau sendiri melalui SMS.


1. Setelah diambilkira pendapat, pandangan & sokongan di kalangan kawan-kawan, saya menawarkan diri sebagai Naib Presiden UMNO.
2. Mereka menyeru saya mencuba nasib bagi jawatan berkenaan. Selebihnya saya serahkan kepada keadaan, perwakilan dan takdir untuk menentukan.
3. Saya menghormati Naib-Naib Presiden yang sedia ada, namun mungkin masih ada sedikit ruang kosong untuk calon baru seperti saya bagi turut menyumbang bakti serta membariskan diri dalam kepimpinan UMNO di lapisan ketiga.
4. Semoga dengan pengumuman ini akan bernoktahlah keresahan kawan-kawan yang meminta saya mengesahkan untuk pencalonan Naib Presiden.
5. Mudah-mudahan saya akan diberi kesempatan untuk terus memperkukuhkan parti bersama-sama dengan Presiden dan Timbalan Presiden serta syaf kepimpinan yang lain dalam pemilihan 16 Disember nanti.
Drp : Zahid Hamidi

Wednesday, August 6, 2008

ANWAR AKAN DIDAKWA ESOK

Pejabat Peguam Negara akan mendakwa Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Sesyen di Jalan Duta, esok.

Notis bertulis untuk Anwar hadir di mahkamah telah disampaikan kepada beliau tengah hari ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dalam kenyataannya di sini hari ini berkata, polis telah selesai menjalankan siasatan kes jenayah seksual melibatkan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii yang melibatkan Anwar.

Katanya, ia berlandaskan prinsip undang-undang dan prosedur sedia wujud dalam sistem perundangan negara.

Menurut beliau, kertas siasatan telah dimajukan ke pejabat Peguam Negara untuk mendapatkan nasihat dan keputusan dan memutuskan untuk mendakwa Anwar di Mahkamah.

Notis bertulis itu telah diserahkan oleh Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Brickfields, Deputi Supritendan Jude Pareira kepada Anwar di kediamannya di Segambut Dalam di sini pada pukul 12.05 tengah hari ini.- Utusan.

Sunday, August 3, 2008

MESYUARAT UMNO CAWANGAN DI KELAB GOLF

Foto tahun lalu ketika Persidangan Agung Tahunan Cawangan yang diadakan di kabin. Dari kiri; Lokman, Zawavai, Haji Esa dan Pengerusi Tetap Haji Salleh
Siang tadi sekali lagi saya menjadi wakil bahagian pada Persidangan Agung sebuah cawangan UMNO. Secara khusus setiap AJK Bahagian dikehendaki menjadi wakil bahagian untuk dua cawangan UMNO yang menjadi cawangan angkat. Bapa angkat perlu memantau perjalanan mesyuarat tahunan itu tanpa campur tangan dalam apa juga keputusan. Ini penting lebih-lebih lagi dalam suasana pemilihan kali ini.

Namun apa yang hendak diperkatakan ini bukan mengenai perjalanan mesyuarat itu, tetapi tempat mesyuarat yang dijalankan. Inilah satu-satunya cawangan yang mengadakan mesyuarat di sebuah Kelab Golf bertaraf hotel di Bahagian Puchong. Alasannya kerana kabin yang digunakan sebagai pejabat UMNO Cawangan dipertikaikan oleh Ahli Parlimen baru daripada DAP.

Setelah Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dilapor akan mengambilalih hak milik sejumlah kabin berkenaan, banyak cawangan mengadakan mesyuarat di 'tempat tumpang' termasuk restoran.

Namun bagi UMNO Cawangan Bukit Puchong yang diterajui Zarwavai Suratman, pemilihan Kelab Golf sebagai tempat mesyuarat ada hikmahnya.

Pada pemilihan UMNO cawangan kali ini Zarwavai melepaskan jawatan Ketua Cawangan dan bertukar jawatan dengan timbalannya, Haji Esa Md Yunos yang usianya boleh dianggap sebagai bapanya.

Alasan Zarwavai, beliau mahu memberi tumpuan kepada jawatan di peringkat bahagian yang ditandinginya. Di samping itu beliau mahu memberi ruang kepada Haji Esa meneruskan bakti kepada UMNO.

Ini kerana Haji Esa yang berpengalaman luas dan pernah menjadi AJK Bahagian Mersing, Johor selama 15 tahun, belum merasa memegang jawatan Ketua Cawangan.

Dan bagi Haji Esa pula, jawatan tidak penting. Menurutnya selama berpuluh tahun berbakti kepada UMNO, tidak ada harta yang diperolehinya sebagai habuan, selain untuk berbakti kepada bangsa.

Malah pemimpin yang beliau bantu selama berkhidmat dengan UMNO Mersing, seolah-olah 'seperti kacang lupakan kulit'. Namun itu semua tidak menjadi batu penghalang untuk beliau terus berjuang.

NIK RUZI DAH TAK KENAL KAWAN SELEPAS SERTAI ASTRO

Khamis lalu ketika menghadirkan diri pada majlis Malam Bersama Media oleh seorang Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, saya terpandang seorang kenalan yang pernah bertugas di Bahagian Komunikasi Korporat, stesen TV Dekat Di Hati.

Beliau meninggalkan stesen TV itu tahun lalu dan kini menyandang jawatan sebagai Penolong Pengurus, Perhubungan Kerajaan dan Awam di Astro.

Ketika mendekati beliau di sebuah meja di sebelah meja saya, beliau memberikan kad namanya.

Tetapi saya berasa pelik, selepas beberapa minit beliau tidak mengenali saya ketika saya bersalaman dengannya untuk pulang.

Namun apabila seorang pegawai menteri itu menyebut nama saya baru beliau menyedari saya, dan sekali lagi hendak menghulurkan kad namanya.

Menurutnya, beliau tidak mengecam saya kerana berpakaian batik 'sedondon' dengan kebanyakkan pegawai kerajaan yang hadir.

Nik Ruzi....., mungkin salah saya kerana berpakaian batik. Tapi masa di meja, ko tak kenal aku la ya? Apapun semuga sukses di tempat baru.