Tuesday, November 25, 2008

TAHNIAH! AZNIL GUNA PAKEJ HAJI RM100 RIBU

AWAL Disember nanti berangkatlah pengacara dan penyampai Era, Aznil Nawawi berseorangan diri menyambut panggilan Kaabah sekali gus menunaikan rukun Islam kelima.

Siapa sangka, tanpa perlu menunggu lama, tiba-tiba peluang untuk mengerjakan ibadah Haji terbentang luas buat pengacara nombor satu negara ini.

Rezeki tuhan, memang tiada siapa dapat menduga. Justeru, apabila mendapat tahu namanya tersenarai untuk menjadi tetamu Allah tahun ini, Aznil menyambut berita itu dengan penuh kesyukuran.

Malah menurut Aznil segala urusannya untuk membolehkannya menunaikan ibadah itu seolah-olah dipermudahkan Tuhan.

(Nota : Risik-risik dengan TH Travel, Aznil rupanya menggunakan pakej haji paling mahal iaitu Al-Mas bernilai RM120 ribu. Menawarkan bilik mewah untuk seorang. Dan ketika berwukuf pula tinggal di khemah yang istimewa berhampiran Jamrah, tidak seperti kebanyakan jemaah haji. Tahun lalu hanya tujuh orang menggunakan pakej itu termasuk Datuk Seri K dan Datuk Siti Nurhaliza. Apapun cabaran haji tetap ada bergantung kepada ketentuan Allah s.w.t)

Sunday, November 23, 2008

LAUTAN MANUSIA DI MAKKAH

Lautan manusia mula memenuhi kota Makkah. Setiap waktu selepas solat fardhu begitulah keadaannya. Pada hari wukuf nanti di padang Arafah dijangkakan kira-kira 3.5 juta umat Islam akan berhimpun.

Desakan tugas tidak mengira tempat. Penyelia Siaran/Sukan Radio Malaysia Alor Star, Nor Rashid Rejab dan Timbalan Ketua Pengarang Bernama Zulkifli Salleh terpaksa menggunakan kemudahan terhad di dalam bilik untuk menyiapkan laporan berita mereka.

Sekadar berjinak-jinak dengan pakaian yang dipakai oleh kebanyakan mereka yang berada di Makkah.

Friday, November 21, 2008

JEMAAH SEMAKIN MEMENUHI SETIAP SUDUT MASJIDIL HARAM

Bahagian bumbung Masjidil Haram mula dibuka semula tiga hari lalu. Jumlah jemaah semakin hari semakin ramai menjelang hari wukuf 16 hari lagi. Wajah-wajah mirip bangsa Cina dan Eropah mula kelihatan di masjid, yang sebelum ini didominasi oleh wajah-wajah Turki, bangsa Asia Selatan dan Nusantara.

Dataran Kaabah kini sendat dengan jemaah yang mengerjakan tawaf pada sebilangan masa kecuali ketika solat fardhu berjemaah. Untuk bersolat di dataran atau pada aras bawah perlu sentiasa berada di masjid untuk beriktikaf. Jemaah yang lewat hanya ditawarkan bersolat di aras dua atau bumbung.

Masjidil Haram kini dalam proses pembesaran sejak Februari tahun lalu. Projek itu berupaya menampung peningkatan jumlah jemaah sehingga 35 peratus pada masa depan. Kini Masjidil Haram atau hanya disebut ’haram’ oleh masyarakat tempatan mampu menempatkan 1.2 juta jemaah pada satu satu masa.

Seorang kawan apabila saya membawanya ke bahagian pintu hadapan masjid (Babul Malik Abdul Aziz) berhampiran Mecca Tower, baru dia terasa berada di depan masjid teragung itu.

Selama ini kami hanya menggunakan pintu tempat mengerjakan sa’ie berhampiran Babul Salam yang kini ditutup. Bahagian itu kini sentiasa berdebu kerana kerja-kerja perluasan kawasan masjid sehingga 300 meter daripada kawasan sekarang.

Wednesday, November 19, 2008

JEMAAH HAJI MALAYSIA BANYAK BERBELANJA

Menjelang 18 hari lagi sebelum wukuf, jemaah haji Malaysia di Makkah sudah mula merancang untuk melakukan ibadah korban. Namun Tabung haji hanya menetapkan lima ribu unit sahaja untuk melakukan ibadah itu pada hari nahar atau hari-hari tasyrik, walaupun menjangkakan permintaan untuk korban amat tinggi.

Sebenarnya ibadah korban di Makkah diselaraskan oleh agensi korban yang dilantik kerajaan iaitu al-Rajhi. Bagaimanapun Tabung Haji sekadar untuk memberi perkhidmatan tambahan itu bagi memudahkan sebahagian jemaah.

Disebabkan Tabung haji tidak dapat menampung permintaan yang tinggi itu, seorang jemaah hanya dibenarkan melaksanakan dua korban dengan satu unit bernilai SR400.

"Bagi urusan korban kita akan buka kaunter di mana jemaah boleh debit akaun melalui Tabung Haji mereka. Urusan korban untuk tahun ini kita sediakan sehingga lima ribu unit sahaja, kata Pengarah Operasi Kewangan musim haji ini, Adi Azuan Abd Ghani.

Bagaimanapun menurutnya bayaran dam tiada had dan jemaah yang mengerjakan haji tamattu boleh juga membuat bayaran selepas musim haji.

Mengenai pengeluaran wang, setakad ini sebanyak RM18 juta telah dikeluarkan oleh jemaah di Madinah dan Makkah. Beliau menjangkakan sebanyak lebih RM100 juta akan dikeluarkan oleh jemaah sehingga akhir musim haji, sebagaimana dilakukan tahun lalu.

Jemaah haji ketika ini dibenarkan mengeluarkan simpanan mereka sehingga SR10 ribu setiap hari. Bagaimanapun purata jemaah hanya mengeluarkan satu ribu riyal setiap transaksi.

Beliau juga mengingatkan jemaah supaya tidak mengeluarkan dalam jumlah yang banyak kerana dikhuatiri tidak selamat, manakala kaunter dibuka dua sesi setiap hari sehingga jam 10 malam di sebahagian besar hotel penginapan.

Menurut Adi sebanyak kira-kira RM303 juta dikeluarkan bagi menampung kos operasi haji sepanjang musim ini. Jumlah itu tidak termasuk tambang penerbangan sebanyak RM6,300 bagi setiap jemaah.

Dengan kos operasi yang meningkat, tambahan sebanyak RM70 juta terpaksa ditampung oleh Tabung Haji atau subsidi lebih dua ribu ringgit bagi setiap jemaah.

Ketika ini setiap jemaah muasasah dikenakan sebanyak RM8,973 sebagai wang pembiayaan haji, berbanding kos sebenar sebanyak RM11,500.

Adi juga turut menjangkakan kos bagi setiap jemaah akan meningkat kepada RM13,500 tahun depan.

Tuesday, November 18, 2008

KONSUL JENERAL JAMU MAKAN DI JEDDAH



Setelah lebih seminggu di Makkah, semalam saya bersama rakan media lain dibawa ke Jeddah. Kami mengunjungi Konsul Jeneral Malaysia, Hidayat Abdul Hamid.

Beliau memberikan sidang media antara lain mengenai pembabitan syarikat Malaysia dalam projek pembangunan di Arab Saudi terutama di wilayah barat membabitkan beberapa kota termasuk Makkah, Madinah dan Jeddah.

Antara projek terbesar membabitkan kompleks Jamrat di Mina yang menempatkan tiga Jamrah, projek tenaga dan air di Suhaibah serta pembinaan Universiti Sains dan Teknologi Raja Abdullah berhampiran Jeddah.

Sehingga kini kira-kira dua ribu rakyat Malaysia yang terdiri daripada golongan profesioanl bekerja di Arab Saudi.

Selepas bersolat berjemaah yang diimamkan oleh Konsul, Abdul Rahman Shariff di pejabat konsul, kami kemudian dijamu makan tengah hari di sebuah restoran.

Menurut Rahman, kanak-kanak penduduk tempatan di Makkah sering bermain-main di sekitar Kaabah di luar musim haji dan umrah. Mereka dikatakan sering berbasikal di sekeliling Kaabah.
Foto : Bersama Adnan Ghailan berkereta ke Jeddah

Friday, November 14, 2008

WAJAH-WAJAH DI MADINAH DAN MAKKAH

Foto : selepas tahlul Umrah

Foto : Kumpulan media Malaysia

Foto : Di hadapan Masjid Nabawi

Tuesday, November 11, 2008

TIBA DI MAKKAH AWAL PAGI

Foto : berihram sebelum bertolak ke Makkah.

Foto : bergambar di mikat, Bir Ali ketika membuat tinjauan tempat berniat Ihram.
Saya tiba di Makkah dari Madinah kira-kira jam 2 pagi tadi. Setengah jam selepas tiba, saya dan rakan-rakan mengerjakan tawaf dan sa’ie. Dan selepas bertahlul dan membotakkan kepala saya menyertai jemaah solat subuh.

Kami berehat sebelum menyertai solat Zuhur.

Saturday, November 8, 2008

KEMUDAHAN JEMAAH DI MADINAH DIPERTINGKATKAN

Foto : Bersama Azhari di samping kereta untuk bertugas di Madinah

Pembesaran Masjid Nabawi dilakukan pada masa ini. Ia termasuk membina lebih banyak tempat berbumbung di sekitar masjid. Setiap bumbung berpayung yang berkeluasan 26 meter boleh menempatkan 800 jemaah pada satu satu masa.

Di bawah pelan pembesaran itu ruang tambahan yang memuatkan kira-kira 270 ribu jemaah akan dilaksanakan termasuk meningkatkan kemudahan prasarana lain. Projek berkenaan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun.

Projek itu dilancarkan tahun 2006 lalu ketika Raja Abdullah melakukan lawatan ke Masjid Nabawi. Menurut Gabernor Madinah, Putera Abdul Aziz Bin Majed, projek perluasan itu dianggarkan menelan belanja kira-kira 4.7 bilion Riyal.

Di bawah projek itu juga, kawasan kenderaan dan tempat meletak kereta turut dibina. Ketika ini tempat meletak kereta di bawah tanah telah disediakan di dua aras. Ia terletak di ruang terbuka kawasan masjid di bahagian utara, selatan dan barat. Sejumlah 4,444 kereta dapat ditempatkan di ruang seluas 290 ribu meter persegi itu.

Selain itu projek pengangkutan diantara Makkah dan Madinah juga akan turut dilaksanakan. Yang dikenali sebagai Makkah-Madinah Rail Link (MMRL). Ia dianggarkan bernilai kira-kira 20 bilion Riyal.

Projek itu akan membabitkan tren yang berkelajuan lebih 300 kilometer sejam. Dan akan mengurangkan tempoh perjalanan di antara Makkah dan Madinah selama 30 minit, manakala diantara Jeddah dan Madinah tidak kurang dari dua jam.

Foto : dari kiri - Rashid (Radio RTM Kedah) dan Haji Nurzilan (Tabung Haji)

Friday, November 7, 2008

JEMAAH MULA BERGERAK KE MAKKAH

Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia akan bergerak ke Makkah malam ini (Jumaat). Sebelum meninggalkan Madinah mereka perlu melakukan ziarah wida’ di makam Rasullullah.

Untuk memasuki masjid Nabawi juga perlu ada tertib. Seperti juga di masjid lain, jemaah disunatkan mendahulukan kaki kanan sebelum memasuki masjid. Dan mengucapkan ”Bismillah, wassalamu ’ala Rasulillah, allahuma iftah li abwaba rahmatika”.

Ketika keluar dari masjid disunnahkan untuk mendahulukan kaki kiri dan mengucapkan, ”Bismillah, wassalamu ’ala Rasulillah, allahumma Inni asalua min fadhlika”.

Walaupun tidak termasuk rukun haji, jemaah haji akan merebut peluang untuk melaksanakan solat Arba’in iaitu solat fardhu 40 waktu di Masjid Nabawi sebelum atau selepas menuniakan haji di Makkah.

Wednesday, November 5, 2008

SUASANA DI LUAR PERSEKITARAN MASJID NABAWI

Malam tadi kami berkesempatan meninjau Pusat Perkhidmatan Muasasah Haji yang mengendalikan pasport serta urusan jemaah.

National Adilla Establishment adalah agensi yang diberi tanggungjawab mengendalikan jemaah dari Asia Tenggara termasuk China. Kira-kira 80 ribu jemaah di bawah urusan mereka. Namun bagi jemaah Indonesia yang seramai kira-kira 280 ribu, ada agensi khusus mengendalikan mereka.

Pejabat agensi di bawah Kementerian Haji dan Wakaf Arab Saudi ini tidaklah sehebat mana. Susun atur dan suasana tidak lebih kedai sekolah memandu di kebanyakan tempat di Malaysia. Mana tidaknya, untuk memproses urusan data pasport pun masih di lantai.

Malam tadi juga kami berkesempatan berjalan meninjau stesen Al-Hijrah iaitu pusat pemeriksaan pasport bagi jemaah dari Makkah ke Madinah atau sebaliknya.

Pelbagai suasana dirakamkan di sepanjang perjalanan. Rupanya di pinggir kota, deretan kedai tidak ubah seperti di Dubai. Banyak pakaian wanita yang seksi dipamerkan. Namun pakai itu hanya dipakai ketika bersama golongan sesama perempuan dan ahli keluarga dibenarkan sahaja. Di Madinah merakamkan gambar dilarang keras.

Monday, November 3, 2008

BERSYUKUR BERADA DI MADINAH


Sudah empat hari berada di kota Madinah Al-Munawarah. Alhamdullillah, di samping bekerja setakat ini masih diizinkan Allah untuk bersolat di masjid Nabawi.

Bilangan jemaah saban hari semakin bertambah. Ketika mula tiba malam hari Jumaat lalu hanya jemaah dari Malaysia, Turki dan India yang mendominasi ruang di masjid. Kini pelbagai identiti bangsa dengan pelbagai tanda warna pada pakaian mereka, mula mengisi ruang sehingga hampir ke pintu akhir di sebelah belakang masjid.

Bersolat di Raudah akan melihat jemaah yang amat khuzuk dan tinggi darjat keimanannya. Mereka membaca Al-Quran, bertasbih dan berdoa disamping menunaikan solat-solat sunat.

Di ruang tengah masjid pula, suasana begitu mula berkurangan walaupun masih ramai yang tekun menambahkan amalan-amalan sunat.

Manakala di bahagian belakang, jemaah berpusu-pusu dan berlari-lari apabila Iqamah tamat tetapi mereka belum tiba di ruang solat. Malah ada yang tertinggal satu dua rakaat.

Untuk bersolat di Raudah perlukan pengorbanan masa. Datang awal dan banyakkan bersolat sunat, bertasbih dan membaca Quran. Kerana bebanan kerja kadang-kadang peluang itu terlepas.

Malam ini malam kedua kami bermalam di Hotel Al-Haram. Dua hari lalu kami ditempatkan di Hotel Al-Andalus Dar Al-Khair berhadapan Hotel Movenpick yang menempatkan jemaah Malaysia. Jarak kedua-dua hotel itu hanya kira-kira 50 meter dari pintu pagar Masjid Nabawi.

Foto : Azhari dari TV3 menyediakan laporan berita.