Wednesday, October 31, 2007

PAS KURANG YAKIN MENANG

KOTA BAHARU, 31 Okt (Bernama) -- Sasaran Pas memenangi 40 kerusi Parlimen di seluruh negara pada pilihan raya umum akan datang kini berubah apabila naib presiden parti itu yakin hanya memenangi 20 sehingga 30 kerusi.

Datuk Husam Musa yang juga anggota exco kerajaan negeri Kelantan berkata Pas mempunyai dua sasaran berbeza berasaskan perubahan semasa mood pengundi.

"Dapat 40 kerusi itu sasaran A, sasaran utama kita, tetapi, kita juga ada sasaran B, dapatkan 20 hingga 30 kerusi. Memang dah ada cuma saya tak umum saja sasaran B ni, sengaja kita sembunyi," katanya kepada pemberita selepas di sini hari ini.

Katanya, jika Pas gagal mencapai sasaran A, mungkin mendapat bilangan kerusi lebih rendah di bawah sasaran B.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas berapa kerusi yang mampu dimenangi Pas ketika ini walaupun pernah mengumumkan parti itu yakin menang 40 kerusi parlimen pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata, pihaknya masih meneliti peratusan semasa sokongan terhadap Pas.

"Ia tertakluk kepada perubahan, jika 'swing' penyokong Pas lebih daripada 15 peratus, kita akan capai B. Jika 'swing' kurang daripada 15 peratus, kita masih boleh capai A," katanya.

Dalam pada itu, langkah kerajaan pusat memperkenalkan beberapa pelan pembangunan wilayah termasuk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) sekarang ini dipercayai mampu mengalih sokongan rakyat kepada Barisan Nasional termasuk di negeri Kelantan, satu-satunya negeri yang diperintah Pas.

Pada pilihan raya umum 2004, Pas hanya mengekalkan tujuh dari 27 kerusi Parlimen yang dimenanginya pada pilihan raya umum 1999.
-- BERNAMA


Berdasarkan laporan Bernama itu memang nyata PAS semakin kurang berkeyakinan untuk menang besar pada pilihan raya umum akan datang.

Seorang teman yang baru pulang dari Kelantan juga membawa cerita yang sama. Pemimpin UMNO di Kelantan menyatakan sukar untuk menawan semula negeri itu daripada PAS. Keyakinan BN hanya 50-50.

Itu BN. Tetapi apabila ditanya pemimpin PAS mengenai peluang mengekalkan kerusi di Kelantan rupanya rata-rata mereka juga memberikan jawapan 50-50.

Selepas ini mampukah Datuk Seri Anuar Musa dan Datuk Nik Aziz Nik Mat meningkatkan peratusan itu?

PASANGAN PENYAMPAI BERITA BERCINTA?

Benarke pasangan Penyampai Berita ini sedang bercinta?

Mereka dilihat begitu mesra pada majlis Rumah Terbuka seorang teman. Fadzil Rais adalah penyampai berita sukan di Buletin Utama manakala Haizi Rani sering muncul menyampaikan berita "Buletin Pagi" dan "Buletin 130" di TV3.

Apapun gossip yang dilontarkan terhadap mereka, hanya mereka berdua yang tahu.


Monday, October 29, 2007

RUMAH TERBUKA DATUK ZAHID SESAK

(Datuk Ibrahim Yahaya atau Tiger dan Rosli Ismail, orang kuat AgendaDaily - antara tetamu setia Datuk Zahid)


(Turut hadir wakil Mindef, Lt Kol Fadzlette bertudung hitam bersama staf Berita TV9)

Selepas rumah terbuka di Sri Pentas, pada sebelah malamnya ada diantara tetamu turut menghadiri rumah terbuka Datuk Ahmad Zahid Hamidi di kediamannya (kuaters kerajaan) di Putrajaya.

Deretan kereta tetamu memenuhi sepanjang jalan menuju ke kediamannya, malah barisan kereta melimpah sehingga ke jalan besar menuju ke kediaman rasmi Perdana Menteri di Sri Perdana.

Sesetengah tetamu tersalah rumah dan bertandang ke rumah Datuk Dr Latiff (Timbalan Menteri Kesihatan) yang turut mengadakan rumah terbuka malam itu. Rumah Datuk Zahid dan Datuk Dr Latiff berada di lorong yang sama dan terletak hanya selang beberapa rumah diantara satu dengan lain.

Kedua-dua mereka tidak menyangka untuk mengadakan rumah terbuka pada hari dan waktu yang sama. Malah warna pada khemah mereka juga sama, putih dan jingga.

Sesetengah tetamu bergurau, "bertuah Datuk Dr Latiff kerana mendapat tetamu Datuk Zahid yang melimpah ke rumahnya".

Ketua Pemuda UMNO Wilayah dan juga ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Norza yang turut tersalah rumah pula berkata beliau sekadar bersalaman dengan Dr Latiff dan tidak menjamah makanan dengan alasan sudah kenyang.

Manakala Dr Latiff sendiri mengakui kad kehadiran yang sepatutnya diberikan kepada setiap tetamu jauh tidak mencukupi.

Tahun depan Datuk Dr Latiff mahu kedua-dua mereka berbincang tarikh sebelum mengadakan rumah terbuka untuk mengelak kesesakan lalulintas.

Namun Datuk Zahid berkata ia tidak perlu kerana beliau akan berpindah semula ke rumahnya yang siap diperbaiki di Country Height, Kajang.

Saturday, October 27, 2007

AKSI-AKSI RUMAH TERBUKA MEDIA PRIMA

Semalam seperti tahun-tahun sebelumnya Kumpulan Media Prima mengadakan rumah terbuka untuk kakitangan dan tetamu jemputan.
Sesi pertama majlis dari jam 10 pagi hingga 1 tengahari dikhaskan untuk warga kerja Media Prima (TV3, NTV7, 8TV, TV9 serta anak-anak syarikatnya yang lain).
Sesi kedua bermula jam 3 petang dikhaskan pula untuk tetamu jemputan.
Pelbagai juadah disediakan. Setiap jabatan dan anak-anak syarikat dikehendaki menyediakan gerai sendiri dengan juadah pilihan masing-masing. Persembahan dan juadah yang disediakan akan diadili oleh panel profesional dari luar.
Divisyen Berita Dan Ehwal Semasa TV3 umpamanya masih meneruskan menu nasi lemak specialnya 'Nasi Lemak DKZ' sempena nama bosnya Datuk Kamarulzaman Zainal.
TV9 pula dengan hidangan nasi beriani istimewa dengan tetamu dilayan khas oleh kakitangan bertugas.
Manakala bahagian kejuruteraan menyediakan sup 'gear box' nya yang sukar untuk dijamah.
(Datuk Kamarulzaman (kiri) dengan 'bunting' Nasi Lemak DKZ)


(LH dan Abu Bakar Atan turut meraikan Datuk Anthony Bujang yang baru mendapat Darjah Kebesaran)


(Orang Arab dengan 'unta'nya - persembahan daripada krew Jejak Rasul dan Al-Khulliyah)

Thursday, October 25, 2007

SRI PENTAS DIBANJIRI DATUK

(Rakan sebilik ketika mengerjakan umrah, Anthony Bujang (kiri) kini turut bergelar Datuk)


Sri Pentas khususnya Media Prima semakin dibanjiri orang bergelar Datuk. Terbaharu Pengarah Operasi TV3, Athony Firdaus Bujang mendapat anugerah Darjah Kebesaran Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk.

Turut mendapat DIMP sempena Hari Keputeraan Sultan Pahang ke-77 ialah Ketua Pegawai Eksekutif NTV7, Amrin Awaluddin.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Farid Ridzuan turut mengutip satu lagi gelaran sempena hari keputeraan itu. Beliau kini bergelar Datuk Seri apabila dianugerahkan Darjah Kebesaran Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP).

Sebelum ini mereka yang bergelar Datuk di Media Prima yang berpejabat di Sri Pentas (selain ahli lembaga pengarah bebas) ialah Pengerusi Media Prima Datuk Abdul Mutalib Razak, Pengarah Kumpulan Berita Dan Ehwal Semasa Media Prima, Datuk Kamarulzaman Zainal dan bekas Pengurus Besar Berita Dan Ehwal Semasa TV3, Datuk Chamil Wariya.

Selepas ini kemungkinan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Media Prima, Abdul Rahman Ahmad, Ketua Pegawai Operasi TV9, Bukhari Che Muda dan Ketua Pegawai Eksekutif 8TV, Ahmad Izham Omar turut bergelar Datuk.

Sekiranya Datuk Ibrahim Yahaya (Tiger) masih berkhidmat di Divisyen Berita dan Ehwal Semasa TV3, senarai orang yang bergelar Datuk di Sri Pentas akan lebih panjang. Dan ia akan lebih panjang lagi, apabila bekas penyampai berita TV3, Mahadzir Lokman yang turut dianugerahkan DIMP bersama-sama Anthony dan Amrin, kekal di TV3.

Senarai itu semakin berjela apabila dimasukkan nama-nama kakitangan kumpulan Media Prima dari Balai Berita di jalan Riong, Bangsar. Antaranya Datuk Hishamuddin Aun, Datuk Manja Ismail, Datuk Syed Faisal dan Datuk Syed Nadzri Syed Harun.

Tahniah kepada mereka yang baru mendapat gelaran Datuk. Saya hanya perlu tunggu dapat cucu untuk bergelar Atuk.

Monday, October 22, 2007

RUMAH TERBUKA DI BAGAN DATOH

(Datuk Zahid bersama AJK Bahagian menanti tetamu)

(Pemimpin IPF pun 'nak jugak')

(Deretan kereta tetamu)


(Soto atau Sup Bagan Datoh)

(Taufu Fa)


Setelah lebih seminggu berada dalam bulan syawal, masing-masing mengadakan rumah terbuka di sana sini. Sama ada ahli politik, golongan korporat, syarikat-syarikat, organisasi dan individu. Sampai tak larat nak pergi….

Sabtu lalu saya berkesempatan pulang ke kampung untuk menyertai majlis rumah terbuka yang dianjurkan Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh. Ia diadakan keesokan harinya.

Sebelum itu pada hari sabtu, selepas isyak diadakan majlis Forum Perdana di perkarangan Maahad Tahfiz di sebelah rumah ibubapa kami. Ia dianjurkan oleh Jawatankuasa Islam Hadhari Malaysia.

Seperti biasa rumah terbuka beliau dan UMNO Bahagian Bagan Datoh mendapat sambutan meriah penduduk tempatan yang turut disertai pemimpin-pemimpin dan anggota-anggota parti komponen Barisan Nasional.

Antara menu yang menjadi kegemaran pengunjung, sup Bagan Datoh dan air Taufu Fa.

Selepas ini Datuk Zahid akan mengadakan rumah terbuka di kediamannya di Putrajaya, pada 26 haribulan ini, pada sebelah malam.

Saturday, October 20, 2007

KEMBARA (3) - PAKISTAN

Kemelut politik yang melanda Pakistan dan kepulangan bekas Perdana Menteri Benazir Bhutto selepas lapan tahun dalam buangan, mengimbau kenangan ketika membuat tugasan di negara itu lama dulu.

Kepulangan Benazir disambut meriah penyokongnya, walaupun ancaman bunuh oleh Al-Qaeda dan Taliban tidak boleh dipandang ringan. Dan akhirnya selepas 10 jam berada di negara tumpah darahnya, letupan bom bunuh diri benar-benar berlaku. Lebih 130 orang terbunuh dan beratus-ratus lagi orang awam cedera.

Bulan lalu bekas Perdana Menteri, Nawaz Sharif yang tinggal dalam buangan di Arab Saudi cuba untuk pulang ke Pakistan tetapi gagal. Beliau dihalang untuk memasuki negara setibanya di Lapangan Terbang Karachi.

Kepulangan Benazir pula mendapat restu Presiden Jeneral Pervez Musharraf walaupun beliau tiba lebih awal daripada yang dibenarkan. Benazir dan Musharraf dijangka berkongsi kuasa selepas pilihan raya Januari depan. Kaedah itu dikatakan yang terbaik selepas Musharraf semakin tertekan dan kehilangan kuasa.

Pergolakan politik di Pakistan memang tidak berkesudahan sejak dulu. Kemelut politiknya akan berakhir dengan pembunuhan dan ia sesuatu yang tidak berlaku di negara ini. Keadaan itu berlaku kerana perwatakan masyarakatnya yang agak kasar dan kehidupan mereka yang penuh dengan tekanan.

Ketika saya berkunjung ke Pakistan ketika itu Nawaz Sharif sebagai Perdana Menteri. Saya berkesempatan menyaksikan perbarisan Hari Kemerdekaannya yang ke-50 secara besar-besaran yang disertai pelbagai kelengkapan tentera. Saya juga berkesempatan singgah ke kediaman rasmi Perdana Menteri di sebuah bukit di Islamabad.

Islamabad adalah bandaraya pentadbiran seperti juga Putrajaya, lebih tenang berbanding Karachi. Namun jalanrayanya ketika itu masih berdebu. Teksinya kebanyakan berusia lebih 15 tahun, kecil berbanding orang-orang Pakistan yang bertubuh besar.

Pernah saya dan teman-teman menaiki teksi ke atas bukit peranginan untuk melihat salji menggunakan teksi. Alangkah terkejutnya kami apabila menuruni bukit itu, mendapati keempat-empat tayarnya tiada bunga. Itupun kami sedar setelah pemandu teksi berhenti menukarkan tayar kenderaannya yang kempis.

Saya sempat juga membeli permaidani dan beberapa jaket kulit di Islamabad. Walaupun murah, kuali kulit jaketnya tidaklah selembut yang dijual di Karachi atau tempat-tempat lain di dunia.

(Bergambar di depan PTC)


(Di kediaman rasmi Perdana Menteri Pakistan)


Thursday, October 18, 2007

BERAYA DI HOSPITAL



Tahun ini juga menjadi pengalaman baru bagi kami kerana berhari raya di hospital. Walaupun terasa sedih, ia pengalaman yang sukar dicari.

Selepas bersolat sunat aidil fitri di kawasan perumahan masing-masing, semua adik-beradik berkumpul di hospital.

BERHARI RAYA BERSAMA PERANTAU


Bersembahyang raya di kawasan kediaman sendiri kerana rumah di kampung tidak berpenghuni, memberi pengalaman baru bersama pelajar-pelajar asing.

Jumlah mereka lebih ramai berbanding rakyat tempatan kerana kebanyakan jiran pulang ke kampung.

Bagi saya, ia bagaikan berhari raya di negara asing.

Wednesday, October 10, 2007

DR SHEIKH MUSZAPHAR ORANG ISLAM KE-9 KE ANGKASA



(Sumber AP)
Fakta :

Sembilan minit selepas dilancarkan Soyuz sudah berada pada altitud kira-kira 200 kilometer dari bumi, dan ketika itu bilik kawalan di Moscow mengumumkan kapal angkasa TMA-11 sudah memasuki orbit.

Dr. Sheikh Muszaphar Shukor, menjadi orang Islam yang kesembilan berada di angkasa lepas, selain menjadi rakyat Malaysia yang pertama sebagai angkasawan. Beliau juga menjadi orang Islam pertama menyambut Aidil Fitri di angkasa lepas.

Peggy Whitson dari Beaconsfield, Iowa pula menjadi wanita pertama mengetuai misi di stesen angkasa lepas antarabangsa, ISS.
ISS bernilai 100 bilion dolar AS.

Rundingan untuk menjadikan misi angkasa lepas negara sebagai realiti telah mula diadakan dengan Russia sejak tahun 2003, dengan kos pengendalian sebanyak 25 juta dolar AS.
Persetujuan turut membabitkan timbal balik pembelian 18 buah pesawat pejuang Sukhoi dengan nilaian sebanyak 900 juta dolar AS.

Tuesday, October 9, 2007

ANGKASAWAN NEGARA BERLEPAS KE ISS


(Sila klik untuk ANGKASAWAN LIVE)
Esok kira-kira jam 9:21 malam waktu Malaysia (7:21 malam waktu Baikonur, Kazakhstan), negara bakal mencatat sejarah dalam bidang angkasa lepas, apabila Soyuz TMA II dilancarkan ke angkasa. Sebagai rakyat Malaysia, saya turut berbangga dengan kejayaan ini.

Walaupun anda sendiri sebagai rakyat Malaysia sudah sedia maklum dengan perkembangan itu, namun peristiwa itu saya jadikan catatan peribadi saya dalam blog ini.

Berikut rasa hati angkasawan pertama negara, Dr Sheikh Muszaphar Sheikh Mustapha di atas sokongan yang diberikan seluruh rakyat Malaysia.

To all Malaysians , I am truly honored and grateful to all the wishes that I have been getting from all walks of life . The messages keep on pouring in and at this moment , it truly helps me emotionally to prepare myself mentally for my journey to space.

Believe me , I read every word of it and it really touches me to do my very best for the nation. I promise to make Malaysia proud. That's a promise I plan to keep !

Many asked me what kind of food am I bringing to space ?

The followings are the menu that has been approved and will be brought up to the ISS.Biryani ChickenSatay AyamRendang TokSliced dried MangoBanana rollsTempeGinger JellyRoselle Granola BarKuih Raya Bangkit. (Lagi catatan Dr Sheikh di sini).

Monday, October 8, 2007

RAFIDAH SUDAH ADA PENCABAR BARU

UMNO Bahagian Cheras membuat kejutan apabila secara terbuka menyatakan sokongan kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman Said untuk merebut jawatan Ketua Wanita UMNO Malaysia.

Sokongan terbuka itu dilihat menarik kerana Ketua Wanita UMNO Bahagian itu, Faridah Abu Hassan merupakan Penolong Setiausaha Wanita UMNO Malaysiayang juga orang kuat Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Rafidah Aziz.

Walaupun gendang perang pemilihan UMNO masih belum dipalu secara rasmi, hakikatnya, bahang dan cakap-cakap pemilihan yang akan berlangsung tahun hadapan sudah mula dirasai.

Yang tersurat Datuk Seri Rafidah sudah ada calon untuk menentangnya untuk kali kedua selepas pernah kecundang di tangan Datuk Dr Siti Zaharah Sulaiman.

Tetapi dalam politik yang tersirat lebih menarik daripada yang tersurat. Butirannya klik di sini.

Selepas ini akan lebih menarik untuk melihat perebutan jawatan Naib-naib Presiden, ahli-ahli Majlis Tertinggi, Ketua Pemuda, Naib Ketua Pemuda, selain Ketua Puteri.

KEMBARA (2) - SAHARA BARAT

Berada pada minggu terakhir Ramadan teringat saya kepada tugasan di Maghribi dan Sahara Barat tahun lalu. Walaupun berada di tengah gurun terbesar di dunia, ia tidaklah terasa terlalu panas sebagaimana yang dibayangkan sebelumnya.

Pertikaian berpanjangan di antara kerajaan Maghribi dengan Barisan Pembebasan Polisario menyebabkan pasukan pengaman PBB ditempatkan di gurun itu.

Walaupun berbekalkan senjata lama, pihak Polisario masih bertahan dan menguasai bahagian selatan Sahara Barat.

Berkunjung di salah sebuah khemah milik sebuah keluarga suku Shahrawi iaitu anggota militan Polisario, tidak terasa terasing dan gementar.

Mereka begitu gembira dan mengalu-alukan kedatangan kami. Ia berbeza dengan reaksi pendatang Maghribi yang menguasai sebahagian Laayoune (El Aaiun) terhadap kami.

Laayoune adalah bandar terancang yang terbesar di Sahara Barat yang di kuasai pemerintah Maghribi.

Bersiar-siar di Bandar ini pula terasa seperti berada di pinggir Rabat atau Casablanca.






Sunday, October 7, 2007

TIADA LAGI RAYA DI KAMPUNG

Sabtu depan umat Islam di Malaysia akan menyambut Aidil Fitri. Bagi masyarkat Islam Malaysia, berkumpul bersama keluarga sudah menjadi amalan. Yang jauh didekatkan, yang didekat dimesra-mesrakan.

Namun suasana itu tidak akan berlaku kepada keluarga kami tahun ini. Emak masih terlantar di ICU. Manakala bapak dijaga oleh kakak di Tanjung Malim.

Kini rumah di kampung yang biasanya tidak putus-putus dikunjungi tetamu, akan tinggal sunyi tidak berpenghuni. Suasana riuh rendah anak-anak cucu emak tidak akan kedengaran lagi.

Suasana bermaaf-maafan dengan emak, bapak, adik-beradik, ipar-duai serta anak-anak saudara tidak akan berlaku lagi. Kemeriahan bergambar beramai-ramai di depan rumah, hanya tinggal kenangan.

Kami mungkin secara bergilir-gilir akan mengunjungi emak dan memohon maaf kepada emak di sisi katilnya di ICU.
Tetapi emak tidak akan menangis seperti dulu lagi. Emak tidak akan memberi nasihat seperti dulu lagi. Emak sudah tidak boleh bercakap. Hanya yang mampu emak lakukan, sesekali membuka matanya merenung tepat ke muka kami.

Selepas berkumpul di Pusat Perubatan Kampung Baru, Kuala Lumpur sesetengah daripada kami mungkin berkumpul di rumah kakak meraikan hari raya bersama-sama bapak.

Namun kami masih bersyukur, kami masih ada emak dan bapak berbanding mereka yang sudah kehilangan orang yang disayangi.
(Saat-saat begini akan sentiasa dirindui)



(Emak dan bapak bergambar selepas majlis 'bermaaf-maafan' raya tahun lalu)


(Bergambar di tepi pagar rumah)



(Bersiap-siap untuk bergambar di depan rumah)

Thursday, October 4, 2007

KEMBARA (1) - ISTANA MALACANAG

(Malacanag - pemandangan dari arah sungai. Di belakang istana inilah bekas Presiden Joseph Ejercito Estrada cuba melarikan diri ketika rampasan kuasa oleh Aroyo)

(Presiden Aroyo di satu sudut istana)

(Antara beberapa pintu istana)


(LH 'berucap' di salah satu sudut di Istana Malacanag)

Mengikuti lawatan rasmi pertama Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri ke Filipina memberi peluang kepada saya meninjau istana Presiden yang dikenali sebagai Malacanag Palace.

Istana itu sebenarnya dibina pada tahun 1802 oleh aristokrat Sepanyol Don Luis Rocha sebagai rumah rehat. Ia kemudian mengalami pelbagai perubahan sehingga menjadi kediaman rasmi Presiden.

Malacanang lebih terkenal pada zaman kegemilangan Presiden Ferdinand Marcos dan isteri Imelda yang menjadi Ketua negara dan kerajaan Filipina pada tahun1965-1986.

Kompleks istana lama itu terletak di tengah-tengah kawasan padat penduduk di pinggir bandaraya Manila. Ia dkelilingi ribuan penduduk miskin dengan rumah yang tidak teraturan.

Segala upacara termasuk sambutan rasmi tetamu negara dilakukan di perkarangan istana. Walaupun bangunan lama, ia tetap menarik dengan seni ukiran lama masih terpelihara.