Wednesday, October 31, 2007

PAS KURANG YAKIN MENANG

KOTA BAHARU, 31 Okt (Bernama) -- Sasaran Pas memenangi 40 kerusi Parlimen di seluruh negara pada pilihan raya umum akan datang kini berubah apabila naib presiden parti itu yakin hanya memenangi 20 sehingga 30 kerusi.

Datuk Husam Musa yang juga anggota exco kerajaan negeri Kelantan berkata Pas mempunyai dua sasaran berbeza berasaskan perubahan semasa mood pengundi.

"Dapat 40 kerusi itu sasaran A, sasaran utama kita, tetapi, kita juga ada sasaran B, dapatkan 20 hingga 30 kerusi. Memang dah ada cuma saya tak umum saja sasaran B ni, sengaja kita sembunyi," katanya kepada pemberita selepas di sini hari ini.

Katanya, jika Pas gagal mencapai sasaran A, mungkin mendapat bilangan kerusi lebih rendah di bawah sasaran B.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas berapa kerusi yang mampu dimenangi Pas ketika ini walaupun pernah mengumumkan parti itu yakin menang 40 kerusi parlimen pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata, pihaknya masih meneliti peratusan semasa sokongan terhadap Pas.

"Ia tertakluk kepada perubahan, jika 'swing' penyokong Pas lebih daripada 15 peratus, kita akan capai B. Jika 'swing' kurang daripada 15 peratus, kita masih boleh capai A," katanya.

Dalam pada itu, langkah kerajaan pusat memperkenalkan beberapa pelan pembangunan wilayah termasuk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) sekarang ini dipercayai mampu mengalih sokongan rakyat kepada Barisan Nasional termasuk di negeri Kelantan, satu-satunya negeri yang diperintah Pas.

Pada pilihan raya umum 2004, Pas hanya mengekalkan tujuh dari 27 kerusi Parlimen yang dimenanginya pada pilihan raya umum 1999.
-- BERNAMA


Berdasarkan laporan Bernama itu memang nyata PAS semakin kurang berkeyakinan untuk menang besar pada pilihan raya umum akan datang.

Seorang teman yang baru pulang dari Kelantan juga membawa cerita yang sama. Pemimpin UMNO di Kelantan menyatakan sukar untuk menawan semula negeri itu daripada PAS. Keyakinan BN hanya 50-50.

Itu BN. Tetapi apabila ditanya pemimpin PAS mengenai peluang mengekalkan kerusi di Kelantan rupanya rata-rata mereka juga memberikan jawapan 50-50.

Selepas ini mampukah Datuk Seri Anuar Musa dan Datuk Nik Aziz Nik Mat meningkatkan peratusan itu?

No comments: