Sunday, October 7, 2007

TIADA LAGI RAYA DI KAMPUNG

Sabtu depan umat Islam di Malaysia akan menyambut Aidil Fitri. Bagi masyarkat Islam Malaysia, berkumpul bersama keluarga sudah menjadi amalan. Yang jauh didekatkan, yang didekat dimesra-mesrakan.

Namun suasana itu tidak akan berlaku kepada keluarga kami tahun ini. Emak masih terlantar di ICU. Manakala bapak dijaga oleh kakak di Tanjung Malim.

Kini rumah di kampung yang biasanya tidak putus-putus dikunjungi tetamu, akan tinggal sunyi tidak berpenghuni. Suasana riuh rendah anak-anak cucu emak tidak akan kedengaran lagi.

Suasana bermaaf-maafan dengan emak, bapak, adik-beradik, ipar-duai serta anak-anak saudara tidak akan berlaku lagi. Kemeriahan bergambar beramai-ramai di depan rumah, hanya tinggal kenangan.

Kami mungkin secara bergilir-gilir akan mengunjungi emak dan memohon maaf kepada emak di sisi katilnya di ICU.
Tetapi emak tidak akan menangis seperti dulu lagi. Emak tidak akan memberi nasihat seperti dulu lagi. Emak sudah tidak boleh bercakap. Hanya yang mampu emak lakukan, sesekali membuka matanya merenung tepat ke muka kami.

Selepas berkumpul di Pusat Perubatan Kampung Baru, Kuala Lumpur sesetengah daripada kami mungkin berkumpul di rumah kakak meraikan hari raya bersama-sama bapak.

Namun kami masih bersyukur, kami masih ada emak dan bapak berbanding mereka yang sudah kehilangan orang yang disayangi.
(Saat-saat begini akan sentiasa dirindui)



(Emak dan bapak bergambar selepas majlis 'bermaaf-maafan' raya tahun lalu)


(Bergambar di tepi pagar rumah)



(Bersiap-siap untuk bergambar di depan rumah)

No comments: