Thursday, February 5, 2015

BAWA KELUARGA UMRAH (catatan untuk simpanan peribadi)




Alhamdulillah dengan izin Allah saya bersama isteri dan enam orang anak tiba di Madinah pada malam 21 Januari untuk ziarah dan mengerjakan umrah di Makkah.

Perancangan untuk membawa keluarga pergi umrah sudah lama dibuat. Cuma rezeki dan keizinan daripadaNya belum tiba.

Pada awalnya kami merancang untuk pergi bersama-sama jemaah rombongan Mediaprima April depan. Namun kekangan waktu anak-anak tidak mengizinkan. 

Ada yang bekerja, buat internship, menghadapi peperiksaan dan pelbagai lagi halangan lain. Akhirnya saya menarik balik pendaftaran untuk pergi umrah bersama Mediaprima. Dan dengan ketentuan Allah, saya pula berhenti daripada TV9 pada 16 Disember lalu.

Kami juga merancang untuk pergi pada Disember kerana cuti panjang persekolahan. Namun masih belum diizinkan Allah kerana dua daripada anak di IPTA masih menghadapi peperiksaan akhir semesta. Manakala dua yang lain masih membuat internship di Hotel Mariot dan Palm Garden, Putrajaya.




Akhirnya kami menetapkan tarikh 21 Januari hingga 1 Februari sebagai tarikh umrah bersama Zahafiz Travel dengan memilih pakej A. Itupun kami terpaksa memohon cuti untuk anak bongsu kami yang masih dalam minggu orientasi tingkatan satu di sekolah berasrama penuh.

Dugaan dan ujian Allah kepada saya bermula seawal di rumah selepas kami mengadakan majlis doa selamat dan solat hajat di masjid. 

Sepanjang malam selepas majlis itu saya muntah-muntah sehingga ke petang keesokan harinya. Hari yang sepatutnya digunakan untuk 'packing' dihabiskan dengan berbaring di katil dengan keadaan badan yang sangat lesu.

Sepanjang penerbangan sehingga tiba di lapangan terbang Madinah pula saya mengalami cirit birit.










Semua dugaan hanya berakhir setelah saya solat pertama di masjid Nabawi pada subuh pagi itu setelah memperbanyakan berdoa dan solat sunat taubat serta hajat.

Yang membezakan kunjungan kali ini dengan ziarah dan umrah sebelum ini ialah mutawif Ustaz Zawari mengajak jemaah rombongan bertakaruf di sudut dalam masjid Nabawi selepas maghrib hingga Isya.

Apapun pengalaman berkunjung ke Haramain (Makkah dan Madinah) bersama isteri dan semua anak-anak adalah saat yang sangat mengembirakan dalam hidup saya.

Ia berbeza ketika saya mengerjakan umrah sebelum ini dan pertama kali mengerjakan haji tanpa isteri serta ketika mengerjakan haji kedua dengan isteri dua tahun kemudian.

Cabarannya juga berbeza.


Setelah lima hari di Madinah kami berangkat ke Makkah selepas selesai melakukan ziarah wida ke atas makam Rasullulah. Selesai menunaikan solat zuhur dan makan tengah hari, kami mengenakan pakaian ihram. 

Teruja saya melihat anak beranak berpakaian ihram menaiki sebuah van menuju miqat di Bir Ali untuk memulakan ibadah umrah.



Disebabkan sebahagian besar bangunan Majidil Haram dipecah dan dalam proses pengubahsuaian, serta kehadiran jemaah seperti musim haji, ibadah tawaf memberi lebih cabaran kepada kami. 

Dan ini adalah tawaf yang pertama buat saya bersama-sama isteri dan semua anak-anak.




Disebabkan cabaran itu, saya mengalakkan anak-anak mencari masa sendiri untuk membuat tawaf sunat dan berdoa di tempat-tempat yang mustajab.
















Ya Allah Ya Tuhanku! Janganlah jadikan tawaf dan ziarah hambaMu ini sebagai kali yang terakhir di Baitullah yang mulia ini. Jika sekiranya ditakdirkan menjadi yang terakhir, maka hambaMu memohon syurga dengan kemurahanMu, Ya Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihi.