Thursday, February 28, 2008

ZAHID TERPAKSA KERJA KERAS



Seperti calon-calon lain, Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi mempunyai aturcara padat setiap hari untuk berkempen. Setiap hari ada kira-kira 15 program kempen yang perlu dihadiri.

Calon DUN kawasan N54 Hutan Melintang, Thangasvari Suppiah yang baru diperkenalkan kepada penduduk Bagan Datoh terpaksa mengekori Datuk Zahid ke mana sahaja beliau pergi. Pengamal undang-undang berusia 60 tahun itu dikatakan tidak fasih berbahasa Melayu dan terpaksa akur dengan kelemahannya dengan 'menempik' Datuk Zahid.

Thangasvari adalah Naib Ketua Wanita MIC Pusat dan Ketua Wanita MIC Perak. Beliau bukan penduduk tempatan dan kini terpaksa berkampung di Bagan Datoh dan terpisah daripada keluarganya di Ipoh.

Bagi Datuk Zahid walaupun tidak perlu bekerja keras, tetapi prestasi beliau turut diukur dengan kemenangan cemerlang kedua-dua calon DUN di Parlimen Bagan Datoh, iaitu Hutan Melintang dan Rungkup.

Seperti kempen-kempen pilihan raya umum sebelum ini, ramai kenalan dan sahabat Datuk Zahid bertandang di Kampung Sungai Nipah Darat untuk memberikan sokongan moral kepada beliau. Semalam penulis lirik terkenal, Habshah Hassan (Kak Cah) turut datang bersama suaminya.

Tuesday, February 26, 2008

HASRAT BN TAWAN KUBU PAS DI PENGKALAN CHEPA BANTUT



Hari penamaan calon Ahad lalu saya berada di perkarangan Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa (1). Antara mereka yang mendaftar sebagai calon pagi itu Menteri Besar, Datuk Nik Abd Aziz Nik Mat.

Beliau ditentang oleh Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, Datuk Dr Nik Mohd Zain Haji Omar. Ketika tempoh bantahan, tersebar berita Nik Aziz mungkin menang tanpa bertanding kerana calon BN tidak menandatangani borang pencalonan.

Wartawan yang membuat liputan di perkarangan dewan itu terus meluru ke papan yang mempamerkan borang pencalonan semua calon itu. Ternyata, Datuk Dr Nik Mohd Zain tidak menandatangani borang pencalonannya.

Di kalangan wartawan Kelantan mula membuat pelbagai tafsiran. Antaranya mungkin ia sebagai protes kepada pucuk pimpinan UMNO Kelantan terutama Datuk Seri Anuar Musa.

Datuk Dr Nik Mohd Zain dikatakan tidak senang dengan kerusi Dewan Undangan Negeri(DUN) Chempaka yang diberikan kepadanya. Kerusi itu yang turut ditandingi oleh Datuk Nik Aziz adalah kubu kuat PAS dan tidak mungkin dapat ditawan BN.

Bisik-bisik itu didengar oleh wartawan selepas majlis pengumuman calon-calon BN Kelantan oleh Datuk Seri Anuar. Datuk Dr Nik Mohd Zain didengar menyatakan beliau lebih selesa jika diberikan kerusi parlimen Pengkalan Chepa. Kerusi itu kini diberikan kepada seorang pesara, Rahim Mohd Zain untuk berdepan dengan veteran PAS, Datuk Ab Halim Ab Rahman.

Namun apa yang berlaku sebaliknya, selepas pengumuman nama calon yang bertanding. Ahli Dewan Negara daripada PAS, Wan Ubaidah Omar diisytiharkan menang tanpa bertanding selepas Mustopha Ahmed bekas Pengurus Besar Telekom Malaysia Kelantan ditolak pencalonannya kerana masalah berkaitan sebagai penjamin.

Masing-masing yang berada di situ ketika itu mempersalahkan pucuk pimpinan UMNO Kelantan kerana tidak meneliti masalah itu. “Ramai lagi orang yang nak jadi calon, buatlah macam UMNO Selangor, check dengan BPR, Insolvensi dan Polis”, bisik seorang penyokong BN yang tidak dikenali.

Sebelum itu tepat jam 11 pagi ketika masa bantahan tamat, saya menerima SMS daripada Datuk Rahman Palil dari Selangor. Mesejnya ringkas, “Alhamdullilah menang tanpa bertanding”. Kerana sibuk ketika itu, saya hanya sekadar membalas, “tahniah”.

Bagaimanapun beberapa minit selepas itu saya sempat menelefonnya dan mengucapkan tahniah kerana menang tanpa bertanding di DUN Sementa dan menjadi satu-satunya calon BN yang menang tanpa bertanding di Selangor.

Selepas proses menamaan calon selesai, saya baru menyedari rupa-rupanya ramai lagi calon yang tidak menandatangani borang penamaan calon tetapi masih diterima bertanding, antaranya Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Rafidah Aziz.

Friday, February 22, 2008

BAKAL MB KELANTAN JANJI TARIK PELABURAN

KOTA BAHARU (JUMAAT) - BARISAN NASIONAL KELANTAN BERJANJI AKAN MENGANDAKAN JUMLAH PERUNTUKAN YANG ADA BAGI MEMBANGUNKAN NEGERI ITU JIKA BERKUASA.

CALON MENTERI BESAR, DATUK DR AWANG ADIK HUSSIN BERKATA LANGKAH ITU PENTING SUPAYA SEMUA RAKYAT KELANTAN DAPAT KELUAR DARIPADA KEPONGPONG KEMISKINAN DAN DAPAT MENGECAPI PEMBANGUNAN.

MENURUTNYA JIKA B-N DIBERI PELUANG MEMERINTAH KELANTAN MENERUSI PILIHAN RAYA UMUM INI, KERAJAAN NEGERI YANG BAKAL DIPIMPINNYA AKAN MENUBUHKAN PASUKAN PELABURAN KE LUAR NEGARA.

PENDEKATAN LEBIH MESRA AKAN DIGUNAKAN BAGI MENARIK LEBIH RAMAI PELABUR, YANG SEKALI GUS AKAN MEMBERI PELUANG MENIKMATI FAEDAH EKONOMI KEPADA RAKYAT KELANTAN.

MENGENAI MANIFESTO PAS YANG MENGUGURKAN PENUBUHAN KERAJAAN ISLAM DAN MENUMPU KEPADA NEGARA KEBAJIKAN, DATUK DR AWANG ADIK BERKATA IA HANYA GIMIK POLITIK.

BELIAU JUGA SEHUBUNGAN ITU BERJANJI AKAN MELAKSANAKAN JANJI B-N UNTUK MEMBINA DAN MEMPERBAIKI SETIAP MASJID DI KELANTAN, JIKA B-N BERJAYA MENUBUHKAN KERAJAAN DI NEGERI ITU.

DAN MENGENAI PENERIMAAN PEMIMPIN B-N NEGERI TERHADAP KEPEMIMPINANNYA DATUK DR AWANG ADIK BERKATA IA SUDAH DITERJEMAHKAN DENGAN SOKONGAN MEREKA PADA MAJLIS PENGUMUMAN CALON B-N OLEH PENGERUSI PERHUBUNGAN UMNO KEANTAN, DATUK SERI ANUAR MUSA SEMALAM.

DATUK DR AWANG ADIK YANG JUGA TIMBALAN MENTERI KEWANGAN MERASMIKAN PERKAMPUNGAN HADHARI DI DATARAN WARISAN KADA, KOK LANAS, KOTA BAHARU.

TURUT HADIR PENGERUSI BADAN PERHUBUNGAN UMNO KELANTAN YANG JUGA PENGERUSI KADA, DATUK SERI ANUAR MUSA.

Wednesday, February 20, 2008

DATUK ZAHID BERGELAR 'DR'

Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi sudah lulus viva dan senat untuk tesis PhDnya minggu lalu. Pengajian peringkat Doktor Falsafah itu telah dilakukannya di UPM sejak tujuh tahun lalu. Kajiannya mengenai perbandingan laporan akhbar dalam tempoh kempen Pilihan Raya Umum sejak Tun Dr Mahathir Mohamad mentadbir negara. Majlis konvokesyen kemungkinan berlangsung Ogos depan.

Menurutnya kajiannya lambat disiapkan kerana selain bebanan tugas ia diselia oleh tiga orang yang berlainan fahaman politik iaitu PAS, Keadilan dan UMNO. Namun kajian itu yang memerlukan disiplin dan ketekunan yang tinggi membuktikan seseorang itu masih boleh belajar selagi dia pandai membahagikan masa.

Bagaimanapun, ada juga di kalangan ahli politik yang mendapat PhD tanpa memerlukan mereka membuat kajian dan tak tau pun istilah 'research method' dan 'viva'.

Wednesday, February 13, 2008

PARLIMEN DIBUBAR DAN JANGAN LENGAH EDAR AIR MINUMAN

Parlimen telah dibubarkan dan ia telah diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebenar tadi. Esok SPR akan mengadaan mesyuarat bagi menentukan tarikh Penamaan Calon dan seterusnya Hari Mengundi. Namun apapun antara yang perlu diberi tumpuan oleh jentera pilihan raya dalam PRU kali ini:

Logistik – hanya biskut sudah dibekalkan di Pusat Logistik Bahagian (Parlimen/DUN). Setiap Pusat Daerah Mengundi hanya dibekalkan dengan satu tin biskut. Mengapa? Sebab pada tahun 2004 (Pilihan Raya Umum ke-11) petugas Jentera Pilihan Raya dikatakan tidak gemar memakan biksut. Tetapi kali ini, mereka juga lebih memerlukan Fizza! Sponsor ler……

Air minuman (drinking water) hanya dapat dibekalkan minggu ini. Bekalan diterima daripada Perhubungan Negeri dan Ibu Pejabat parti. Jumlah pengedaran bekalan lojistik pada tahun ini lebih banyak iaitu tambahan 15% daripada tahun 2004.

Polling Agent/Counting Agent - amat penting diberikan kursus sekali lagi supaya undian tidak sia-sia. Polling Agent tidak banyak ditekankan kerana tugas mereka cuma memastikan nama pengundi yang disebut pegawai SPR ada dalam senarai parti, dan mereka hanya mengariskan nama itu.

Counting Agent inilah yang menjadi wakil parti ketika kiraan undi dilakukan. Sebarang bantahan dan pertikaian adalah tugas mereka. Bantahan perlu memihak kepada parti agar undi yang dikatakan ‘rosak’ tidak benar-benar rosak dan dapat menyumbang kepada pertambahan undi yang menyokong parti yang diwakili.

Hand Bill/ Kad Kenderaan – akan diedarkan . Inilah kaedah pemantauan yang efektif. Kaedah yang terbaru akan diperkenalkan, tetapi tak boleh cakap lagi!

Isu Tempatan – sudah dikenalpasti. Inilah yang diberikan keutamaan kepada penceramah-penceramah di samping isu nasional (biarkan Presiden dan Timbalan Presiden serta pemimpin pusat yang menanganinya).

Ceramah umum/kelompok – akan disusun semula penjadualannya. Kedua-duanya penting. Terserah, bagaimana hendak menyusun strateginya.

Monday, February 11, 2008

DIPAKSA JADI PELAKON

Malam Media Kerajaan Negeri Selangor minggu lalu yang dianjurkan oleh Pusat Pelaburan Negeri Selangor (SSIC) mempunyai kelainannya berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Kali ini wakil organisasi media dikehendaki mengadakan persembahan berbentuk drama pentas yang pendek. Hadiahnya cukup lumayan, RM10, 000 bagi juara. Namun pada malam itu hanya sembilan kumpulan mengambil bahagian termasuk Jabatan Berita dan Ehwal Semasa TV9.

Bagi TV9 mereka cuma berpeluang membuat persediaan sehari sebelum persembahan. Oleh kerana kakitangan tidak ramai, semuanya terlibat sama ada bos atau bukan bos. Dan oleh kerana tiada masa untuk menghafal dialog, rakaman suara dilakukan manakala persembahan menggunakan teknik ‘miming’.

Kumpulan yang lain cukup hebat dari segi persediaan, tetapi ada yang tenggelam punca dan tiada mesej yang hendak disampaikan. Manakala ada kumpulan terlalu profesional untuk menyertai pertandingan seumpama itu.

Kumpulan dari RTM sepatutnya tidak layak menyertainya kerana pemain-pemainnya terdiri daripada ahli-ahli Kelab Kebudayaan dan Kesenian, bukan dari kalangan wartawan.

Drama RTM yang memenangi tempat pertama malam itu adalah naskah yang telah menjuarai pertandingan drama peringkat nasonal. Saya juga pernah menyaksikan drama itu dipersembahankan ketika Majlis Sepetang Bersama Menteri Penerangan baru-baru ini. Naskah yang menggunakan props antaranya tangga, cangkul dan audio visual yang mengambarkan pembangunan negara sempena 50 tahun merdeka itu, diarahkan oleh Angrasih Selamat, kakak kepada penyanyi Syafinaz Selamat.

Selain itu kumpulan daripada Radio Selangor FM yang menduduki tempat kedua, lebih memukau dengan persembahan sinis dan bersahaja, tetapi masih menggunakan props yang beraneka. Manakala Jabatan Majalah TV3 yang menggunakan kostium berat dan mahal mengambarkan ‘orang kraton’ atau ‘istana Jawa’ mendapat tempat ketiga.

Namun TV9 yang tidak menamatkan tiga lagi babak kerana sebab-sebab tertentu dan menggunakan pops dan kostium yang biasa-biasa, masih mampu meraih tempat kelima. Lakonan TV9 berkisar kepada kehidupan wartawan dan karenah mereka di pejabat dan lokasi. Dan saya yang tidak pernah berlakon ‘dipaksa’ juga berlakon sebagai menteri.

Watak saya hanya sekadar menjawab soalan-soalan wartawan ‘diva’. Dailog saya cuma menjawab “itu kena tanya Perdana Menteri’ dalam loghat utara setiap kali soalan diajukan.

Manakala dialog wartawan pula begini, “asyik jawab kena tanya Perdana Menteri lebih baik tak payah buat PC (sidang akhbar)”.

Ketika mendapat ‘Q’ untuk saya ke belakang pentas menyertai kumpulan dramatis TV9 itu, saya terpaksa menghilangkan diri secara senyap. Dato’ Mokhtar Dahlan (Exco Selangor) yang duduk di sebelah kiri saya di meja VIP8 dan Dato Ismail Kijo (ADUN Lembah Jaya) di sebelah kanan, tidak tahu saya menyertai kumpulan itu sehingga tiba-tiba saya berada di atas pentas.

Dan apabila saya tiba-tiba duduk semula bersama mereka, YB Norliza Ahmad (ADUN Selat Klang) yang duduk di sebelah kanan Dato Ismail pula menegur, “jadi menteri nampak!”, manakala yang lain sekadar mengucapkan tahniah. Saya hanya membalas dengan berkata, “jadi bidan terjun, apa nak buat!”.

Tetapi yang saya perasan, semua pelakon TV9 (kecuali stringer Roslan) sudah ‘hilang’ ketika saya naik ke pentas menerima tropi penghargaan media dan ‘hamper’ saguhati daripada Menteri Besar.

Rupa-rupanya kisah kumpulan TV9 yang tidak menamatkan tiga lagi babak dan ‘terkucil’ kerana sedikit masalah teknikal yang berlaku, terus menjadi bahan ketawa mereka di pejabat, sehari selepas persembahan itu.

Kumpulan yang diketuai Tengku Dalia Tengku Ali (Penerbit) mahu babak itu diteruskan. Manakala satu lagi kumpulan yang pemihak kepada Saadullah Che Nor (Ketua Pengarang) mahu ia dihentikan setakat itu sahaja. Bagi Saad ia tidak perlu dilanjutkan kerana tidak mahu terus dimalukan serta mengelak dirinya daripada ‘dipaksa’ berlakon di atas pentas.

Apapun, persembahan itu satu percubaan yang berani oleh Jabatan Berita Dan Ehwal Semasa TV9 yang ‘seciput’ sahaja kakitangannya.

Hamper dan duit RM200 tu kenalah rasa sama-sama, tapi yang tolong ambil tak rasa pun tak apa! Syabas!

Wednesday, February 6, 2008

SEMUA YANG TERTANGGUH SUDAH TERTUNAI

FARRIS MASUK BALIK ASRAMA
Alhamdullilah sepanjang minggu ini banyak perkara yang tertangguh sudah menampakkan hasilnya. Rayuan kemasukan asrama anak lelaki saya di sebuah sekolah di Shah Alam akhirnya diluluskan.

Sebelum ini selama sebulan, saya terpaksa menghantar Farris Helmy setiap pagi ke sekolahnya di Shah Alam. Saya terpaksa keluar rumah setiap hari, sejurus selepas masuk waktu subuh. Dan sebelah petang, giliran emaknya pula mengambilnya.

Walaupun Farris bakal menduduki PMR tahun ini, tetapi tindakan warden asrama yang bertindak ‘lebih sudu daripada kuah’ menjadikan kehidupan harian kami kelam kabut. Alhamdulillah berkat usaha tanpa jemu dan di atas bantuan serta keprihatinan pengetua baru, masalah telah diselesaikan. Farris diterima semula memasuki asrama.

ALIYAH SERTAI AMIRAH DI SEKOLAH MENENGAH AGAMA
Minggu ini juga rayuan kemasukan seorang lagi anak, Nur Aliyah ke Sekolah Menengah Agama tajaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), diluluskan. Sebelum ini kembarnya, Nur Amirah telah ditawarkan ke tingkatan satu sekolah berkenaan.

Proses rayuan yang pada mulanya dianggap mudah, rupanya terpaksa melalui halangan birokrasi yang cukup membosankan. Rayuan pertama diserahkan kepada Ketua Penolong Pengarah JAIS (Bahagian Pendidikan), Haji Mohamad Amir Haji Danuri pada awal tahun.

Kerana khuatir tidak diendahkan (memang tepat sangkaan itu) saya meminta bantuan daripada EXCO Selangor, Dato Haji Abd Rahman Palil. Beberapa hari selepas surat sokongan itu sampai ke pejabatnya, saya dihubungi oleh Haji Amir.

Haji Amir memberitahu rayuan boleh diluluskan, tetapi surat sokongan Dato Rahman tidak disertai keputusan peperiksaan Sekolah Rendah Agama (SRA). Kerana hasrat rayuan itu tinggi, isteri saya menghantar salinan keputusan SRA selepas itu juga.

Tetapi kami dikecewakan lagi apabila senarai mereka yang diluluskan pada rayuan kali ini tidak termasuk anak saya, Nur Aliyah. Saya sekali lagi menemui Haji Amir pada hari kumpulan pelajar itu mendaftar ke sekolah-sekolah yang dipilih iaitu pada 24 Januari lalu.

Pada hari itu, saya sudah berada di ruang menunggu pejabatnya di Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam setengah jam sebelum beliau tiba. Setelah menemuinya, Haji Amir mengeluarkan satu lagi ‘minit’ supaya Nur Aliyah diberikan tempat di sekolah berkenaan jika ada kekosongan.

Menurutnya kakitangan yang melaksanakan proses pengambilan itu ialah Uztaz Haji Jaafar Kamari dan seorang lagi yang dikenali sebagai Uztazah Latifah.

Pada hari itu juga saya menghantar SMS kepada Dato Rahman. Antara mesejnya ‘Salam Dato, dukacita dimaklumkan anak saya gagal dalam rayuan ke sekolah berkenaan. Nampaknya ‘decision maker’ bukan Haji Amir tetapi Haji Jaafar Kamari.”

Sejurus selepas saya menghantar SMS itu, Dato Rahman membuat panggilan kepada saya. Menurutnya mungkin kelulusan anak saya itu tidak menepati syarat kemasukkan.

Namun selepas saya katakan ada pelajar yang kelulusannya lebih rendah daripada Aliyah tetapi sudah ditempatkan di beberapa sekolah terpilih, Dato Rahman terdiam. Dato Rahman lantas meminta saya SMS kepada beliau butiran anak saya sekejap itu juga.

Sekali lagi khuatir dengan birokrasi di peringkat Haji Jaafar, saya mengambil pendekatan lain. Dan Isnin lalu, saya dan isteri menemui Pengetua sekolah yang menempatkan Amirah (kembar Aliyah yang sudah memulakan pengajian awal tahun ini).

Tujuan kami menemuinya hanya untuk mengetahui sekiranya ada lagi kekosongan (asrama dan kelas) di sekolah itu, sebelum tindakan selanjutnya diambil.

Setelah meneliti kelulusan Aliyah yang sememangnya layak dan sedia maklum dengan perasaan antara saudara kembar, tanpa banyak karenah permohanan kami diluluskan. Dan Aliyah dikehendaki mendaftar pada 11 Februari ini selepas cuti Tahun Baru Cina.

PIBG TERIMA SUMBANGAN YANG DIJANJIKAN
Pada minggu ini juga PIBG yang saya terajui menerima sumbangan yang dijanjikan, sempena penganjuran Malam Gemilang 50 Tahun Merdeka yang diadakan pada 1 September tahun lalu.

Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi, pada malam itu menjanjikan sumbangan RM10,000 kepada PIBG kerana gembira dengan kehadiran ibubapa dan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum. Dan minggu ini cek sumbangan peribadi beliau diterima.

Satu lagi sumbangan diterima daripada Ahli Parlimen Puchong, YB Lau Yeng Peng. Dolak-dalihnya selama ini untuk menjelaskan sumbangan ini berakhir selepas beberapa kali ditangguh. Dan isnin lalu, saya dipanggil ke pejabat beliau untuk menerima cek sebanyak RM8,000 untuk PIBG.

Minggu lalu Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor Kawasan Sri Serdang merangkap Timbalan Speaker DUN Selangor, Dato Dr Mohd Satim Diman turut memberikan peruntukan RM20,000 untuk membina bumbung ‘gajah menyusur’ (walk-away) di depan sekolah.

Permohonan PIBG itu sebenarnya diberikan kepada YB Lau dan Dato Satim bulan lalu. Namun kerana YB Lau banyak dolak dalihnya, Dato Satim mengalihkan peruntukan itu dari sekolah lain ke Sekolah Menengah Kebangsaan Pusat Bandar Puchong (1), yang saya terajui PIBGnya. Namun selepas ini saya dikehendaki melaksanakan tugas yang diamanahkan oleh parti!

Keputusan itu dibuatnya selepas saya membisikkan kepadanya semasa kami di atas pentas pada satu majlis minggu itu. Sejurus selepas majlis selesai, kontrator yang dipilih datang membuat kerja-kerja mengukur bagi memulakan pembinaan. Semalam saya diberitahu, peruntukan ditambah untuk menyelesaikan keseluruhan projek itu sebanyak RM45,000.

Dan kini saya rasa lega, dan boleh menyerahkan jawatan kepada orang lain pada Mesyuarat Agung 16 haribulan ini.

* Semalam Tan Sri Lee Lam Thye telah menghubungi saya dan bersetuju merasmikan mesyuarat itu di samping bersedia mengadakan pameran PLKN untuk ibubapa yang hadir.

Friday, February 1, 2008

GAMBAR LAMA DAN NAMA BAPAK

Bapak dan Emak di barisan belakang. Barisan depan dari kiri : Samahah, Zahid, Kak Sam (sepupu dan pengasuh), Lokman dan Hakim.

Apabila terlihat gambar lama bersama-sama keluarga, ia mengimbau beberapa peristiwa yang telah berlalu. Gambar hitam putih itu diambil sempena bapa hendak berangkat ke tanah suci Makkah. Ketika itu umur saya belum mencecah satu tahun, masih merupakan anak bongsu dalam keluarga.

Saya diberitahu, bapa mengambil masa sehingga berbulan-bulan untuk kembali dari mengerjakan haji kerana pengangkutan ke Makkah ketika itu menggunakan kapal laut.

Sebelum ke Makkah bapa menggunakan nama Hamidi. Oleh itu keempat-empat adik-beradik menggunakan nama Hamidi selepas nama masing-masing iaitu Ahmad Zahid Hamidi, Abdul Hakim Hamidi, Samahah Hamidi dan Mohd Lokman Hamidi.

Namun selepas kembali dari Makkah sudah menjadi trend ketika itu, nama asal ditukar selepas mendapat gelaran Haji. Menurut bapa, untuk memberi keberkatan - nama baru yang memberi makna yang sesuai dipilih.

Selepas haji, bapa menggunakan nama Haji Ahmad Tarmidzi dan kemudian didaftarkan sebagai Hamidi@Radin Haji Ahmad Tarmidzi Bin Radin Haji Abdul Fatteh.

Pertukaran nama bapa itu turut ditimbulkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali ketika saya dan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Jaamaluddin Jarjis sama-sama berbual di sebuah hotel di Bangalore, India dua tahun lalu.

Datuk Seri Tajol sendiri yang menjelaskan perkara itu kepada Datuk Seri Dr JJ kerana beliau tahu ada adik-beradik kami menggunakan nama Haji Ahmad Tarmidzi selepas nama mereka.

Memang benar, selepas saya, semua lima adik-adik saya menggunakan nama Haji Ahmad Tarmidzi di belakang nama mereka.

Antaranya Mohd Nasaee Haji Ahmad Tarmidzi iaitu mantan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datoh dan mantan Naib Ketua Pemuda UMNO Perak, yang begitu rapat dengan Datuk Seri Tajol.

Selain Nasaee mereka yang menggunakan nama Haji Ahmad Tarmidzi di hujung nama mereka ialah Nurul Hilal, Najmah, Najmuddin dan Ahmad Dzulfikri (Nanang). Tetapi bagi Najmuddin, nama beliau didaftarkan menggunakan kedua-dua nama bapa iaitu Hamidi@Haji Ahmad Tarmidzi.

Bagi sesetengah orang yang tidak mengenali rapat keluarga kami mungkin menganggap emak pernah berkahwin dua. Namun itulah hakikatnya apabila bapa menggunakan banyak nama.

Bapa bukan sahaja dikenali dengan dua nama itu. Di kampung bapa juga dikenali sebagai Uztaz Daroji dan Uztaz Humaidi. Jadi kalau hendak bertanyakan bapa kepada orang-orang kampung, tanyalah bapa dengan keempat-empat nama itu.