Bapak dan Emak di barisan belakang. Barisan depan dari kiri : Samahah, Zahid, Kak Sam (sepupu dan pengasuh), Lokman dan Hakim.
Apabila terlihat gambar lama bersama-sama keluarga, ia mengimbau beberapa peristiwa yang telah berlalu. Gambar hitam putih itu diambil sempena bapa hendak berangkat ke tanah suci Makkah. Ketika itu umur saya belum mencecah satu tahun, masih merupakan anak bongsu dalam keluarga.
Saya diberitahu, bapa mengambil masa sehingga berbulan-bulan untuk kembali dari mengerjakan haji kerana pengangkutan ke Makkah ketika itu menggunakan kapal laut.
Sebelum ke Makkah bapa menggunakan nama Hamidi. Oleh itu keempat-empat adik-beradik menggunakan nama Hamidi selepas nama masing-masing iaitu Ahmad Zahid Hamidi, Abdul Hakim Hamidi, Samahah Hamidi dan Mohd Lokman Hamidi.
Namun selepas kembali dari Makkah sudah menjadi trend ketika itu, nama asal ditukar selepas mendapat gelaran Haji. Menurut bapa, untuk memberi keberkatan - nama baru yang memberi makna yang sesuai dipilih.
Selepas haji, bapa menggunakan nama Haji Ahmad Tarmidzi dan kemudian didaftarkan sebagai Hamidi@Radin Haji Ahmad Tarmidzi Bin Radin Haji Abdul Fatteh.
Pertukaran nama bapa itu turut ditimbulkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali ketika saya dan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Jaamaluddin Jarjis sama-sama berbual di sebuah hotel di Bangalore, India dua tahun lalu.
Datuk Seri Tajol sendiri yang menjelaskan perkara itu kepada Datuk Seri Dr JJ kerana beliau tahu ada adik-beradik kami menggunakan nama Haji Ahmad Tarmidzi selepas nama mereka.
Memang benar, selepas saya, semua lima adik-adik saya menggunakan nama Haji Ahmad Tarmidzi di belakang nama mereka.
Antaranya Mohd Nasaee Haji Ahmad Tarmidzi iaitu mantan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datoh dan mantan Naib Ketua Pemuda UMNO Perak, yang begitu rapat dengan Datuk Seri Tajol.
Selain Nasaee mereka yang menggunakan nama Haji Ahmad Tarmidzi di hujung nama mereka ialah Nurul Hilal, Najmah, Najmuddin dan Ahmad Dzulfikri (Nanang). Tetapi bagi Najmuddin, nama beliau didaftarkan menggunakan kedua-dua nama bapa iaitu Hamidi@Haji Ahmad Tarmidzi.
Bagi sesetengah orang yang tidak mengenali rapat keluarga kami mungkin menganggap emak pernah berkahwin dua. Namun itulah hakikatnya apabila bapa menggunakan banyak nama.
Bapa bukan sahaja dikenali dengan dua nama itu. Di kampung bapa juga dikenali sebagai Uztaz Daroji dan Uztaz Humaidi. Jadi kalau hendak bertanyakan bapa kepada orang-orang kampung, tanyalah bapa dengan keempat-empat nama itu.
2 comments:
citer yg menarik... =)
Assalamualaikum. Saya Kamarulzaman bin Abd Rahman, sahabat waktu remaja kepada najamuddin di Slim River. Sudah terputus hubungan sejak kakaknya (Cikgu Samahah) dan abang iparnya (Wahab) berpindah dari Slim River sekitar hujung 80an. Berhasrat mengadakan Reunion semula. Email saya zkamal169@yahoo.com. Harap dapat disampaikan, terimakasih
Post a Comment