Monday, February 11, 2008

DIPAKSA JADI PELAKON

Malam Media Kerajaan Negeri Selangor minggu lalu yang dianjurkan oleh Pusat Pelaburan Negeri Selangor (SSIC) mempunyai kelainannya berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Kali ini wakil organisasi media dikehendaki mengadakan persembahan berbentuk drama pentas yang pendek. Hadiahnya cukup lumayan, RM10, 000 bagi juara. Namun pada malam itu hanya sembilan kumpulan mengambil bahagian termasuk Jabatan Berita dan Ehwal Semasa TV9.

Bagi TV9 mereka cuma berpeluang membuat persediaan sehari sebelum persembahan. Oleh kerana kakitangan tidak ramai, semuanya terlibat sama ada bos atau bukan bos. Dan oleh kerana tiada masa untuk menghafal dialog, rakaman suara dilakukan manakala persembahan menggunakan teknik ‘miming’.

Kumpulan yang lain cukup hebat dari segi persediaan, tetapi ada yang tenggelam punca dan tiada mesej yang hendak disampaikan. Manakala ada kumpulan terlalu profesional untuk menyertai pertandingan seumpama itu.

Kumpulan dari RTM sepatutnya tidak layak menyertainya kerana pemain-pemainnya terdiri daripada ahli-ahli Kelab Kebudayaan dan Kesenian, bukan dari kalangan wartawan.

Drama RTM yang memenangi tempat pertama malam itu adalah naskah yang telah menjuarai pertandingan drama peringkat nasonal. Saya juga pernah menyaksikan drama itu dipersembahankan ketika Majlis Sepetang Bersama Menteri Penerangan baru-baru ini. Naskah yang menggunakan props antaranya tangga, cangkul dan audio visual yang mengambarkan pembangunan negara sempena 50 tahun merdeka itu, diarahkan oleh Angrasih Selamat, kakak kepada penyanyi Syafinaz Selamat.

Selain itu kumpulan daripada Radio Selangor FM yang menduduki tempat kedua, lebih memukau dengan persembahan sinis dan bersahaja, tetapi masih menggunakan props yang beraneka. Manakala Jabatan Majalah TV3 yang menggunakan kostium berat dan mahal mengambarkan ‘orang kraton’ atau ‘istana Jawa’ mendapat tempat ketiga.

Namun TV9 yang tidak menamatkan tiga lagi babak kerana sebab-sebab tertentu dan menggunakan pops dan kostium yang biasa-biasa, masih mampu meraih tempat kelima. Lakonan TV9 berkisar kepada kehidupan wartawan dan karenah mereka di pejabat dan lokasi. Dan saya yang tidak pernah berlakon ‘dipaksa’ juga berlakon sebagai menteri.

Watak saya hanya sekadar menjawab soalan-soalan wartawan ‘diva’. Dailog saya cuma menjawab “itu kena tanya Perdana Menteri’ dalam loghat utara setiap kali soalan diajukan.

Manakala dialog wartawan pula begini, “asyik jawab kena tanya Perdana Menteri lebih baik tak payah buat PC (sidang akhbar)”.

Ketika mendapat ‘Q’ untuk saya ke belakang pentas menyertai kumpulan dramatis TV9 itu, saya terpaksa menghilangkan diri secara senyap. Dato’ Mokhtar Dahlan (Exco Selangor) yang duduk di sebelah kiri saya di meja VIP8 dan Dato Ismail Kijo (ADUN Lembah Jaya) di sebelah kanan, tidak tahu saya menyertai kumpulan itu sehingga tiba-tiba saya berada di atas pentas.

Dan apabila saya tiba-tiba duduk semula bersama mereka, YB Norliza Ahmad (ADUN Selat Klang) yang duduk di sebelah kanan Dato Ismail pula menegur, “jadi menteri nampak!”, manakala yang lain sekadar mengucapkan tahniah. Saya hanya membalas dengan berkata, “jadi bidan terjun, apa nak buat!”.

Tetapi yang saya perasan, semua pelakon TV9 (kecuali stringer Roslan) sudah ‘hilang’ ketika saya naik ke pentas menerima tropi penghargaan media dan ‘hamper’ saguhati daripada Menteri Besar.

Rupa-rupanya kisah kumpulan TV9 yang tidak menamatkan tiga lagi babak dan ‘terkucil’ kerana sedikit masalah teknikal yang berlaku, terus menjadi bahan ketawa mereka di pejabat, sehari selepas persembahan itu.

Kumpulan yang diketuai Tengku Dalia Tengku Ali (Penerbit) mahu babak itu diteruskan. Manakala satu lagi kumpulan yang pemihak kepada Saadullah Che Nor (Ketua Pengarang) mahu ia dihentikan setakat itu sahaja. Bagi Saad ia tidak perlu dilanjutkan kerana tidak mahu terus dimalukan serta mengelak dirinya daripada ‘dipaksa’ berlakon di atas pentas.

Apapun, persembahan itu satu percubaan yang berani oleh Jabatan Berita Dan Ehwal Semasa TV9 yang ‘seciput’ sahaja kakitangannya.

Hamper dan duit RM200 tu kenalah rasa sama-sama, tapi yang tolong ambil tak rasa pun tak apa! Syabas!

2 comments:

ibrahim yahaya said...

Sdr Look,

Wah, dah jadi pelakon. Oklah tu.

Tahun-tahun sebelum ini, ketika Datuk Mhd Jabar Kembali yang menguruskan majlis berkenaan, saya mendapat jemputan. Tetapi dua tahun kebelakangan ini, tiada lagi jemputan mungkin mereka anggap saya ini "bukan orang media" kot. Tetapi takpe. Sebenarnya saya adalah wartawan seumur hidup, tidak kira dalam media perdana atau media lain. Tetap menulis dan berkarya kerana ia satu kenikmatan. Journalist forever.

LEKLOOK said...

Datuk Ibrahim, terima kasih. Sebenarnya malam itu saya tercari-cari jugak saudara. Bukan apa, sebab kawan-kawan kita yang tidak lagi berada di media juga hadir termasuk Datuk Hafifi Hafiz dan ramai lagi. Siap dapat anugerah lagi.

Datuk Jabar Kembali masih dengan SICC dan berada di sebelah MB ketika penyampaian hadiah dan anugerah.

Tak per lah..dunia sentiasa berubah. Masa saya esok tak tahulah macam mana pulak nasibnya!