Wednesday, February 6, 2008

SEMUA YANG TERTANGGUH SUDAH TERTUNAI

FARRIS MASUK BALIK ASRAMA
Alhamdullilah sepanjang minggu ini banyak perkara yang tertangguh sudah menampakkan hasilnya. Rayuan kemasukan asrama anak lelaki saya di sebuah sekolah di Shah Alam akhirnya diluluskan.

Sebelum ini selama sebulan, saya terpaksa menghantar Farris Helmy setiap pagi ke sekolahnya di Shah Alam. Saya terpaksa keluar rumah setiap hari, sejurus selepas masuk waktu subuh. Dan sebelah petang, giliran emaknya pula mengambilnya.

Walaupun Farris bakal menduduki PMR tahun ini, tetapi tindakan warden asrama yang bertindak ‘lebih sudu daripada kuah’ menjadikan kehidupan harian kami kelam kabut. Alhamdulillah berkat usaha tanpa jemu dan di atas bantuan serta keprihatinan pengetua baru, masalah telah diselesaikan. Farris diterima semula memasuki asrama.

ALIYAH SERTAI AMIRAH DI SEKOLAH MENENGAH AGAMA
Minggu ini juga rayuan kemasukan seorang lagi anak, Nur Aliyah ke Sekolah Menengah Agama tajaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), diluluskan. Sebelum ini kembarnya, Nur Amirah telah ditawarkan ke tingkatan satu sekolah berkenaan.

Proses rayuan yang pada mulanya dianggap mudah, rupanya terpaksa melalui halangan birokrasi yang cukup membosankan. Rayuan pertama diserahkan kepada Ketua Penolong Pengarah JAIS (Bahagian Pendidikan), Haji Mohamad Amir Haji Danuri pada awal tahun.

Kerana khuatir tidak diendahkan (memang tepat sangkaan itu) saya meminta bantuan daripada EXCO Selangor, Dato Haji Abd Rahman Palil. Beberapa hari selepas surat sokongan itu sampai ke pejabatnya, saya dihubungi oleh Haji Amir.

Haji Amir memberitahu rayuan boleh diluluskan, tetapi surat sokongan Dato Rahman tidak disertai keputusan peperiksaan Sekolah Rendah Agama (SRA). Kerana hasrat rayuan itu tinggi, isteri saya menghantar salinan keputusan SRA selepas itu juga.

Tetapi kami dikecewakan lagi apabila senarai mereka yang diluluskan pada rayuan kali ini tidak termasuk anak saya, Nur Aliyah. Saya sekali lagi menemui Haji Amir pada hari kumpulan pelajar itu mendaftar ke sekolah-sekolah yang dipilih iaitu pada 24 Januari lalu.

Pada hari itu, saya sudah berada di ruang menunggu pejabatnya di Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam setengah jam sebelum beliau tiba. Setelah menemuinya, Haji Amir mengeluarkan satu lagi ‘minit’ supaya Nur Aliyah diberikan tempat di sekolah berkenaan jika ada kekosongan.

Menurutnya kakitangan yang melaksanakan proses pengambilan itu ialah Uztaz Haji Jaafar Kamari dan seorang lagi yang dikenali sebagai Uztazah Latifah.

Pada hari itu juga saya menghantar SMS kepada Dato Rahman. Antara mesejnya ‘Salam Dato, dukacita dimaklumkan anak saya gagal dalam rayuan ke sekolah berkenaan. Nampaknya ‘decision maker’ bukan Haji Amir tetapi Haji Jaafar Kamari.”

Sejurus selepas saya menghantar SMS itu, Dato Rahman membuat panggilan kepada saya. Menurutnya mungkin kelulusan anak saya itu tidak menepati syarat kemasukkan.

Namun selepas saya katakan ada pelajar yang kelulusannya lebih rendah daripada Aliyah tetapi sudah ditempatkan di beberapa sekolah terpilih, Dato Rahman terdiam. Dato Rahman lantas meminta saya SMS kepada beliau butiran anak saya sekejap itu juga.

Sekali lagi khuatir dengan birokrasi di peringkat Haji Jaafar, saya mengambil pendekatan lain. Dan Isnin lalu, saya dan isteri menemui Pengetua sekolah yang menempatkan Amirah (kembar Aliyah yang sudah memulakan pengajian awal tahun ini).

Tujuan kami menemuinya hanya untuk mengetahui sekiranya ada lagi kekosongan (asrama dan kelas) di sekolah itu, sebelum tindakan selanjutnya diambil.

Setelah meneliti kelulusan Aliyah yang sememangnya layak dan sedia maklum dengan perasaan antara saudara kembar, tanpa banyak karenah permohanan kami diluluskan. Dan Aliyah dikehendaki mendaftar pada 11 Februari ini selepas cuti Tahun Baru Cina.

PIBG TERIMA SUMBANGAN YANG DIJANJIKAN
Pada minggu ini juga PIBG yang saya terajui menerima sumbangan yang dijanjikan, sempena penganjuran Malam Gemilang 50 Tahun Merdeka yang diadakan pada 1 September tahun lalu.

Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi, pada malam itu menjanjikan sumbangan RM10,000 kepada PIBG kerana gembira dengan kehadiran ibubapa dan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum. Dan minggu ini cek sumbangan peribadi beliau diterima.

Satu lagi sumbangan diterima daripada Ahli Parlimen Puchong, YB Lau Yeng Peng. Dolak-dalihnya selama ini untuk menjelaskan sumbangan ini berakhir selepas beberapa kali ditangguh. Dan isnin lalu, saya dipanggil ke pejabat beliau untuk menerima cek sebanyak RM8,000 untuk PIBG.

Minggu lalu Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor Kawasan Sri Serdang merangkap Timbalan Speaker DUN Selangor, Dato Dr Mohd Satim Diman turut memberikan peruntukan RM20,000 untuk membina bumbung ‘gajah menyusur’ (walk-away) di depan sekolah.

Permohonan PIBG itu sebenarnya diberikan kepada YB Lau dan Dato Satim bulan lalu. Namun kerana YB Lau banyak dolak dalihnya, Dato Satim mengalihkan peruntukan itu dari sekolah lain ke Sekolah Menengah Kebangsaan Pusat Bandar Puchong (1), yang saya terajui PIBGnya. Namun selepas ini saya dikehendaki melaksanakan tugas yang diamanahkan oleh parti!

Keputusan itu dibuatnya selepas saya membisikkan kepadanya semasa kami di atas pentas pada satu majlis minggu itu. Sejurus selepas majlis selesai, kontrator yang dipilih datang membuat kerja-kerja mengukur bagi memulakan pembinaan. Semalam saya diberitahu, peruntukan ditambah untuk menyelesaikan keseluruhan projek itu sebanyak RM45,000.

Dan kini saya rasa lega, dan boleh menyerahkan jawatan kepada orang lain pada Mesyuarat Agung 16 haribulan ini.

* Semalam Tan Sri Lee Lam Thye telah menghubungi saya dan bersetuju merasmikan mesyuarat itu di samping bersedia mengadakan pameran PLKN untuk ibubapa yang hadir.

2 comments:

Kulupbana said...

Sdr Lokman.
Untungnya jadi orang media. Orang kuat Jabatan Berita stesen TV, adik Timbalan Menteri sekaligus YDP PIBG pulak tu.

Semuanya ini pakej yang menggerunkan sesiapa sahaja yg berurusan dengan saudara. Walau dinafikan, namun tak dapat tidak 'perisai media' banyak membantu. Ianya fenomena lumrah di negara kita ini.

Sahabat baik isteri saya sampai kini masih turun naik pejabat JAIS mahupun JAWI tanpa berputus asa semata-mata 'berjuang' untuk memasukkan anaknya ke mana-mana SMA tajaan JAIS mahupun JAWI.

Saya didatangi minta dibantu kerana pada pemikirannya dan suami bahawa saya ada 'bisa' untuk bersuara pada pihak berkenaan.

Kata saya, setelah berusaha, pasrahlah kita ke atas perjuangan yang murni. Insyaalah, walau jgn diletakkan harapan tinggi.

Saya amat memahami serta bersimpati krn dahulu pun anak sulong saya dapat masuk sekolah berasrama penuh kerana dibantu Timbalan Menteri dan KSU kementerian. Maklum sahaja lah, penempatan hanya 2 ribu sedangkan yang cemerlangnya 22 ribu.

Itu dulu; ketika saya menyandang jawatan kanan di stesen TV.

LEKLOOK said...

Terima kasih Kulupbana, semua itu atas usaha sendiri kerana orang besar di sekeliling kita bukan mudah untuk membantu kita.

Dan saya lebih selesa berusaha sendiri. Urusan persekolahan anak-anakpun saya tidak meminta bantuan daripada abang kandung sendiri. Orang ramai dan rakyat lain lebih memerlukan perkhidmatan beliau.

Biarlah saya naik turun pejabat JAIS sendiri tetapi akhirnya kejayaan itu memberi kepuasaan secara peribadi kepada saya.