Saturday, October 20, 2007

KEMBARA (3) - PAKISTAN

Kemelut politik yang melanda Pakistan dan kepulangan bekas Perdana Menteri Benazir Bhutto selepas lapan tahun dalam buangan, mengimbau kenangan ketika membuat tugasan di negara itu lama dulu.

Kepulangan Benazir disambut meriah penyokongnya, walaupun ancaman bunuh oleh Al-Qaeda dan Taliban tidak boleh dipandang ringan. Dan akhirnya selepas 10 jam berada di negara tumpah darahnya, letupan bom bunuh diri benar-benar berlaku. Lebih 130 orang terbunuh dan beratus-ratus lagi orang awam cedera.

Bulan lalu bekas Perdana Menteri, Nawaz Sharif yang tinggal dalam buangan di Arab Saudi cuba untuk pulang ke Pakistan tetapi gagal. Beliau dihalang untuk memasuki negara setibanya di Lapangan Terbang Karachi.

Kepulangan Benazir pula mendapat restu Presiden Jeneral Pervez Musharraf walaupun beliau tiba lebih awal daripada yang dibenarkan. Benazir dan Musharraf dijangka berkongsi kuasa selepas pilihan raya Januari depan. Kaedah itu dikatakan yang terbaik selepas Musharraf semakin tertekan dan kehilangan kuasa.

Pergolakan politik di Pakistan memang tidak berkesudahan sejak dulu. Kemelut politiknya akan berakhir dengan pembunuhan dan ia sesuatu yang tidak berlaku di negara ini. Keadaan itu berlaku kerana perwatakan masyarakatnya yang agak kasar dan kehidupan mereka yang penuh dengan tekanan.

Ketika saya berkunjung ke Pakistan ketika itu Nawaz Sharif sebagai Perdana Menteri. Saya berkesempatan menyaksikan perbarisan Hari Kemerdekaannya yang ke-50 secara besar-besaran yang disertai pelbagai kelengkapan tentera. Saya juga berkesempatan singgah ke kediaman rasmi Perdana Menteri di sebuah bukit di Islamabad.

Islamabad adalah bandaraya pentadbiran seperti juga Putrajaya, lebih tenang berbanding Karachi. Namun jalanrayanya ketika itu masih berdebu. Teksinya kebanyakan berusia lebih 15 tahun, kecil berbanding orang-orang Pakistan yang bertubuh besar.

Pernah saya dan teman-teman menaiki teksi ke atas bukit peranginan untuk melihat salji menggunakan teksi. Alangkah terkejutnya kami apabila menuruni bukit itu, mendapati keempat-empat tayarnya tiada bunga. Itupun kami sedar setelah pemandu teksi berhenti menukarkan tayar kenderaannya yang kempis.

Saya sempat juga membeli permaidani dan beberapa jaket kulit di Islamabad. Walaupun murah, kuali kulit jaketnya tidaklah selembut yang dijual di Karachi atau tempat-tempat lain di dunia.

(Bergambar di depan PTC)


(Di kediaman rasmi Perdana Menteri Pakistan)


No comments: