Perhimpunan Agung UMNO bermula malam ini dengan perasmian serentak Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
Sejak pagi tadi ruang legar Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dipenuhi ahli-ahli UMNO dan pemerhati dari seluruh negara.
Keadaan ruang legar itu akan menjadi semakin sesak Rabu ini apabila Perhimpunan Agung UMNO bermula dengan ucapan dasar Presiden parti Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada sebelah pagi. Ia akan terus sesak sehingga petang Jumaat ini apabila Presiden parti dan kepimpinan tertinggi UMNO membuat pengulungan.
Sebagaimana dijangka, perbahasan akan berkisar kepada perjuangan UMNO untuk 50 tahun akan datang dengan merujuk sumbangan UMNO untuk tempoh 50 tahun lalu.
Isu yang dibangkitkan pada perhimpunan tahunan itu semestinya dilapor dan dikupas oleh semua media, dan tidak perlu diulas di sini. Begitu juga dengan cerita-cerita sampingan di sepanjang persidangan itu.
Bagi anggota media, selain mencari bahan berita, kehadiran mereka juga untuk bertemu rakan-rakan lama. Walaupun tidak bertugas, hadir pada Perhimpunan Agung UMNO setahun sekali, seakan menjadi satu kemestian.
Pernah beberapa tahun lalu selepas beberapa hari menjalani pembedahan, saya hadir juga di PWTC semata-mata untuk menikmati suasana di sekitar persidangan selain untuk bertemu rakan lama media dan politik.
Sesungguhnya Perhimpunan Agung UMNO ada nilai sentimental yang menakjubkan dan sukar dipisahkan. Walaupun tahun ini kurang berperanan kerana pertukaran tuntutan kerja, kehadiran di PWTC masih pasti.
No comments:
Post a Comment