Tuesday, November 6, 2007

SAMY VELLU TIDAK ADAKAN RUMAH TERBUKA

Setiausaha Akhbar Menteri Kerja Raya, saudara Sivabalan menghantar dua SMS yang bercanggah. Semuanya berhubung majlis rumah terbuka sempena Deepavali dan kaitannya dengan perobohan kuil Hindu.

SMS pertama pada jam 1:18 petang memaklumkan, Presiden MIC itu menyatakan partinya tidak akan mengadakan majlis sambutan Deepavali. Kenyataan penuh akan difakskan kemudian.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan kemudian pula menyebut, Presiden MIC menasihatkan pemimpin parti termasuk Timbalan Menteri dan Setiauasaha Parlimen dari partinya tidak perlu mengadakan majlis rumah terbuka bagi menghormati perasaan masyarakat Hindu.

Ia berpunca daripada tindakan merobohkan kuil Hindu di Selangor. Bagaimanapun majlis sambutan Deepavali hanya akan diadakan secara tertutup di kalangan rakan dan sahabat terdekat.

Namun SMS kedua yang diterima pada jam 6.54 petang mengeluarkan kenyataan yang bercanggah.

Mesej itu menyatakan disebabkan permintaan ramai dari kalangan penganut Hindu supaya MIC mengadakan rumah terbuka, maka semua Wakil Rakyat MIC akan meneruskan untuk mengadakan majlis rumah terbuka pada hari Deepavali.


Menurut SMS Siva lagi, "sila abaikan kenyataan terdahulu Datuk Seri S Samy Vellu. Kenyataan terbaru daripada Presiden MIC akan menyusul".

Kenyataan itu juga menyebut Datuk Seri Samy Vellu tidak akan mengadakan rumah terbuka tahun ini berikutan kematian seorang saudara kandungnya baru-baru ini.

No comments: