Tuesday, November 20, 2007

HAJI SIRAJUDDIN MOKHTAR DALAM KENANGAN

(Israfil mewakili keluarga menyampaikan kata-kata sebelum jenazah dibawa ke tanah perkuburan di Cheras Baru)
Foto : Agenda Daily

(Datuk Zahid antara keluarga terdekat yang hadir) Foto : Agenda Daily

Sepupu saya bekas wartawan Utusan, Haji Sirajuddin Mokhtar kembali ke rahmatullah Ahad lalu (18 November) dalam usia 66 tahun.

Sejurus selepas menerima SMS daripada adiknya Israfil (bukan malaikat) malam itu, yang menyatakan abang sulungnya meninggal dunia, saya sudah merancang untuk menulis sesuatu mengenai Allahyarham di sini. Namun disebabkan tiada masa terluang saya tidak dapat melakukannya.

Semalam sekembali dari menziarahi dan menyertai saudara -mara dan sahabat-handai melakukan solat jenazah ke atas Allahyarham, saya juga tidak berkesempatan untuk menulis. Saya hanya singgah di rumah untuk mandi sebelum pergi kerja.

Malam kematiannya juga saya tidak dapat pergi ke rumah Allahyarham di Ampang kerana giliran saya menunggu emak di hospital.

Malam tadi saya merancang lagi untuk menulis mengenai Allahyarham tetapi tidak menjadi. Hasrat saya untuk menyiarkan foto Allahyarham dalam entry tidak kesampaian. Foto terakhir Allahyarham yang saya ambil ketika penamaan calon Pilihanraya Kecil di Ijok hilang dalam simpanan di komputer.

Allahyarham Haji Sirajuddin adalah satu-satunya saudara saya yang terlibat dalam bidang kewartawanan sebelum ada ahli-ahli keluarga lain menyertainya.

Selepas menamatkan tugas di Utusan, Allahyarham aktif dalam pelbagai pertubuhan. Di dalam politik beliau adalah Ketua Penerangan UMNO Bahagian Ampang Jaya.

Sifat mudah mesra beliau menyebabkan Allahyarham mempunyai ramai kenalan. Ini terbukti apabila ramai sahabat beliau datang memberi penghormatan terakhir.

Antara yang kelihatan hari itu, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Datuk Khalid Mohd, bekas wartawan utusan yang bertukar menjadi ahli politik Datuk Rosnah Majid, bekas Ahli Parlimen Hulu Langat Datuk Badrul Hisham, Ketua Pengarang Agenda Daily Rosli Ismail dan orang kuatnya, Hanafiah Man serta ramai lagi wartawan-wartawan veteran yang saya tidak kenal kecuali Aimi Jar.

Untuk mengetahui di sebalik nama Haji Sirajuddin Mokhtar, sila ikuti sebahagian tulisan daripada seorang sahabat Allahyarham yang hadir untuk memberi penghormatan terakhir di surau berhampiran rumahnya, Isnin lalu.

Saya fokuskan catatan saya kali ini kepada seorang rakan senior yang baru kembali menyahut seruan Ilahi tatkala saya baru sahaja membuka komputer kira-kira pukul 8.00 malam Ahad 18 November. Ketika itulah telefon bimbit saya berbunyi memberi isyarat ada pesanan ringkas yang baru diterima.

Bukan satu, tetapi dua sekali. Satu SMS datangnya daripada Rosli Ismail (Ketua Pengarang Agendadaily) dan satu lagi daripada Rosle Azmi, pegawai Utusan yang cukup rapat dengan saya. Kedua-dua mereka menghantar SMS yang sama iaitu memberitahu Haji Sirajuddin Mohktar, wartawan Utusan yang kemudiannya menjadi Pegawai Kebajikan, telah kembali ke rahmatullah kira-kira setengah jam sebelumnya. Sambil membaca Al-Fatihah, saya lantas terkenangkan Allahyarham ketika saya mula-mula menyertai Utusan Melayu.

Allahyarham Sirajuddin, mempunyai kolumnya sendiri dalam Utusan Malaysia yang disiarkan setiap Isnin. Kolumnya diberi nama Dari Fail Polis manakala beliau menggunakan nama HC Raj.

Saya amat gemar membaca ruangannya sejak sebelum menyertai Utusan lagi. Ruangannya dipenuhi dengan catatan semula penuh dramatis mengenai kisah-kisah benar yang beliau liputi.

Cara penyampaiannya amat menarik, sehingga terasa seolah-olah beliau berada di tempat kejadian kerana penggarapan yang realistik. Sebahagian daripada ratusan rakan dan saudara-mara yang menziarah jenazah Allahyarham Sirajudin Mohktar di Ampang, Selangor, Isnin.

Satu lagi ruangan yang cukup menarik ialah Kisah Dari Mahkamah, catatan semula oleh Ahmad Jais Hashim – wartawan dari meja mahkamah. Seperti juga HC Raj, Ahmad Jais menulis dengan penuh lakaran dan perincian walaupun beliau hanya mendapatkan bahan berdasarkan fakta-fakta yang diperoleh dari mahkamah. Susah untuk mendapat ruangan menarik seperti kedua-dua orang wartawan cemerlang Utusan berkenaan.

Tatkala menyetai Utusan pada tahun 1984, saya dapati hanya HC Raj wartawan veteran yang masih turun padang mendapatkan berita untuk meja jenayah. Yang seusia dan seangkatan dengan beliau, semuanya telah dipindahkan ke meja penyunting atau berada di pejabatr-pejabat cawangan yang berselerakan di seluruh Negara. Ramai juga yang meninggalkan Utusan kerana menyertai Allahyarham Khalid Jeffri yang menjadi ‘boss’ Harian Nasional yang dibuka pada tahun 1983.

Walaupun kelihatan ‘miss-fit’ dengan kelompok wartawan muda, sebahagiannya layak dipanggil anak, namun HC Raj tetap pandai menyesuaikan diri. Di pejabat, panggilan glamornya ialah Haji. Tidak ada yang memanggil namanya Siraj kerana nama yang sama dirujuk kepada seorang lagi wartawan tersohor iaitu Ketua Penyunting dan kemudiannya Penolong Ketua Pengarang, Dato’ Sirajuddin Rafia.

Pada waktu petang, akan terdengarlah jeritan Siraj kepada HC Raj bertanyakan apa berita besar yang boleh dijadikan berita utama. “Belum ada lagi, nanti kita cari.’’ Begitu HC Raj memberi jaminan kepada Siraj tatkala menghadapi suasana kering iaitu tiada berita menarik yang layak dijadikan berita utama.

Ada, ketikanya, HC Raj boleh menghasilkan berita-berita besar dengan membuat satu panggilan telefon sahaja kepada sumber beritanya. Sumber-sumber beliau memang hebat, kalau setakat Ketua Polis Daerah, beliau tak perlu telefon kerana pegawai-pegawai berkenaan akan menelefon beliau.

Pegawai-pegawai kanan di Bukit Aman adalah rakan sepermainan dan rakan semakan-minumnya. Begitulah HC Raj.

Allahyarham seorang yang pemurah. Banyak selok belok penulisan berita dan rencana jenayah yang saya pelajari daripada beliau. Beliau tidak lokek ilmu, sentiasa mahu menunjukajar – bukan sahaja cara-cara penulisan yang baik, tetapi menjalin dan mengekalkan perhubungan dengan sumber .

Suatu petang, tatkala kami menurun tangga pejabat untuk pulang, HC Raj menjerit-jerit memanggil nama saya dan beberapa rakan yang lain. “Di Kajang, ada bas ekspres dari Singapura terhumban. Boleh tolong pergi tak…” . Beliau tidak mengarahkan kami pergi, tetapi sekadar bertanya. Begitulah diplomasi dan ‘public relations’ yang beliau amalkan.

Kami semua, iaitu saya, Wahi Ahmad (raja gelak Utusan), Mohd. Nor A. Samad (pelatih ITM ketika itu – kini pengarang di akhbar Kosmo) serta pelatih dari UKM, Shamsiah Mohd. Amin, setuju pergi.

Kami menghala ke Kajang dan apabila selesai tugas, kami kembali ke pejabat kira-kira pukul 9.30 malam untuk menghasilkan berita. HC Raj juga, rupa-rupanya tidak balik ke rumah, beliau menunggu kami untuk ‘clear story’. Begitulah sifat kepimpinan beliau walaupun beliau bukan ketua meja jenayah (ketika itu tiada jawatan ketua), tetapi rasa bertanggungjawabnya sangat tinggi.

Suatu hari, kira-kira pukul 9.00 malam, ketika menghala ke kereta untuk pulang, HC Raj bertanya bolehkah saya membantunya untuk meninjau lokasi kemalangan jalan raya di Lebuhraya KL-Seremban iaitu berdekatan dengan Bangi.

“Ada kamerakan… cuba ambil gambar, kalau menarik, esok boleh pakai,;; katanya dengan penuh sopan.

Oleh kerana lokasi tidak jauh dari rumah, saya pergi ke tempat kejadian. Melihat kesan-kesan kemalangan, memang menyahat hati. Saya ternampak botol susu, kereta sorong dan anak patung bertaburan di celah-celah semak. Tidak lama kemudian, kelihatan beberapa orang kakitangan PLUS dan anggota polis berkejar ke arah semak berkenaan.

Rupa-rupanya mereka terdengar tangisan bayi….. Ya Allah.. masih ada mangsa yang belum dapat dikesan……

HC Raj sentiasa tersenyum orangnya. Mukanya sentiasa kelihatan manis – sama seperti sepupunya, Datuk Ahmad Zahid Hamidi iaitu Timbalan Menteri Penerangan. Sirajuddin Mohktar dan Ahmad Zahid Hamidi kedua-duanya nama Melayu, tetapi mereka keturunan Jawa.

Sekali-sekala HC Raj pandai juga membuat lawak, apatah lagi jika beregu dengan seorang lagi rakan veteran berjiwa muda iaitu Wahi Ahmad, wartawan sukan yang fanatik kepada pasukan bolasepak Selangor.

Hampir setiap petang, rakan-rakan wartawan dari akhbar lain, khususnya yang berbahasa Cina akan menelefon HC Raj. “Haji, ini hari apa ada..?’’ begitulah pertanyaan yang sering dihamburkan kepada beliau kerana rakan-rakan lain memang cukup takut kena scoop iaitu istilah taboo di kalangan wartawan.

Skup bermaksud hanya satu akhbar sahaja yang dapat sesuatu berita berkenaan manakala yang lain ternganga sahaja. Jika kena skup, maka panaslah punggung kena sapu dengan boss.

Jika ada rakan yang sakit dan terlantar di hospital, HC Raj adalah di antara orang yang terawal memaklumkan kepada rakan-rakan dan menganjurkan program ziarah. Begitu jugalah jika ada kematian di kalangan rakan-rakan sepejabat atau ahli-ahli-ahli keluarga, HC Raj jugalah yang akan sibuk bersama Ali Marican membuat pelbagai urusan dan persiapan.

Jiwanya terpahat di Utusan hingga ke akhir hayat. Selepas bersara dari Utusan, HC Raj bergiat pula bersama-sama Datuk Zainuddin Maidin dalam Kelab Veteran Utusan Melayu – satu badan yang menggabungkan semua bekas kakitangan Utusan demi merapatkan siratulrahim.
Banyak rakan di Utusan tertanya-tanya kenapa HC Raj ‘tercicir’ di meja jenayah. Ramai yang dapat mengagak, tetapi biarlah ia menjadi rahsia Utusan.

Rezeki tetap ada. HC Raj akhirnya dipelawa menjadi pegawai di Jabatan Korporat. Saya rasa, majikan telah membuat pemerhatian dan penilaian terbaik terhadap kakitangan yang seorang ini. Memang begitulah HC Raj, beliau memang terlibat dalam banyak hal berkaitan kebajikan kakitangan di samping menjadi salah seorang penggerak utama surau di Utusan.

Malah, di luar Utusan, beliau juga terlibat dalam banyak urusan kebajikan dan khairat kematian. Oleh itu memang wajarlah beliau dilantik sebagai Pegawai Kebajikan – satu jawatan yang paling sesuai dan dipegang hingga ke akhir perkhidmatannya.

Sekali lagi…Al-Fatihah untuk Allahyarham Sirajuddin Mokhtar. Semoga rohnya dicucuri Rahmat. - 19/11/2007

(dipetik daripada Agenda Daily)

1 comment:

AJAH (Ahmad Jais Hashim) said...

Assalamualaikum ..
terima kasih atas penghargaan maya saudara.
Allahyarham HC Raj dan semangat arwah sentiasa dalam ingatan..juga dalam diri saya.. Al-Fatihah. Tak sempat hadir ke pengkebumian Allahyarham..
salam takziah dari Ahmad Jais Hashim..Anak Air, Kesang Tua, Melaka