Sunday, August 3, 2008

MESYUARAT UMNO CAWANGAN DI KELAB GOLF

Foto tahun lalu ketika Persidangan Agung Tahunan Cawangan yang diadakan di kabin. Dari kiri; Lokman, Zawavai, Haji Esa dan Pengerusi Tetap Haji Salleh
Siang tadi sekali lagi saya menjadi wakil bahagian pada Persidangan Agung sebuah cawangan UMNO. Secara khusus setiap AJK Bahagian dikehendaki menjadi wakil bahagian untuk dua cawangan UMNO yang menjadi cawangan angkat. Bapa angkat perlu memantau perjalanan mesyuarat tahunan itu tanpa campur tangan dalam apa juga keputusan. Ini penting lebih-lebih lagi dalam suasana pemilihan kali ini.

Namun apa yang hendak diperkatakan ini bukan mengenai perjalanan mesyuarat itu, tetapi tempat mesyuarat yang dijalankan. Inilah satu-satunya cawangan yang mengadakan mesyuarat di sebuah Kelab Golf bertaraf hotel di Bahagian Puchong. Alasannya kerana kabin yang digunakan sebagai pejabat UMNO Cawangan dipertikaikan oleh Ahli Parlimen baru daripada DAP.

Setelah Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dilapor akan mengambilalih hak milik sejumlah kabin berkenaan, banyak cawangan mengadakan mesyuarat di 'tempat tumpang' termasuk restoran.

Namun bagi UMNO Cawangan Bukit Puchong yang diterajui Zarwavai Suratman, pemilihan Kelab Golf sebagai tempat mesyuarat ada hikmahnya.

Pada pemilihan UMNO cawangan kali ini Zarwavai melepaskan jawatan Ketua Cawangan dan bertukar jawatan dengan timbalannya, Haji Esa Md Yunos yang usianya boleh dianggap sebagai bapanya.

Alasan Zarwavai, beliau mahu memberi tumpuan kepada jawatan di peringkat bahagian yang ditandinginya. Di samping itu beliau mahu memberi ruang kepada Haji Esa meneruskan bakti kepada UMNO.

Ini kerana Haji Esa yang berpengalaman luas dan pernah menjadi AJK Bahagian Mersing, Johor selama 15 tahun, belum merasa memegang jawatan Ketua Cawangan.

Dan bagi Haji Esa pula, jawatan tidak penting. Menurutnya selama berpuluh tahun berbakti kepada UMNO, tidak ada harta yang diperolehinya sebagai habuan, selain untuk berbakti kepada bangsa.

Malah pemimpin yang beliau bantu selama berkhidmat dengan UMNO Mersing, seolah-olah 'seperti kacang lupakan kulit'. Namun itu semua tidak menjadi batu penghalang untuk beliau terus berjuang.

No comments: