Wednesday, July 16, 2008

DEBAT TERBUKA UBAH PERSEPSI MASYARAKAT

(Foto : Agenda Daily)


Debat terbuka di antara Menteri Penerangan Datuk Shabery Cheek dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diadakan malam tadi ada keistimewaannya tersendiri.

Selain memberi ruang lebih ramai rakyat mendekati TV9 yang menyiarkannya secara langsung, ia mengukir sejarah dari sudut penyebaran maklumat di negara ini.

Program yang turut disiarkan secara tertunda di TV3 itu, menimbulkan pelbagai reaksi daripada mereka yang hadir di Dewan Bahasa dan Pustaka, serta mereka yang menonton di rumah.

SMS yang saya terima daripada rakan-rakan media dan politik mengambarkan reaksi begitu. Malah sembang-sembang dengan mereka yang hadir juga mempunyai pelbagai pandangan yang berbeza.

Dr Fuad Zarkashi (Ahli Parlimen Batu Pahat - BN) yang saya dekati menarik saya ke satu sudut di luar dewan selepas berakhirnya debat. Menurut beliau Datuk Seri Anwar menggunakan pendekatan mudah supaya rakyat faham.

Beliau menggunakan formula RM5 bilion digunakan bagi menampung penurunan harga minyak.

Wang itu menurutnya dapat diperoleh dengan penjimatan perbelanjaan kerajaan termasuk mengatasi kebocoran dan ketirisan serta mengurangkan rizab pengeluran tenaga daripada 40 peratus kepada 20 peratus oleh pengeluar tenaga bebas (IPP).

Bagaimanapun Datuk Shabery Cheek pula menjelaskan program itu berjaya membuktikan kepada rakyat mengenai dasar keterbukaan kerajaan pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Sahabat lama saya, Saifuddin Nasution (Ahli Parlimen Machang – PKR) yang diajak berbual pula menunjukkan reaksi lega dan gembira. Beliau mendakwa Datuk Seri Anwar telah menggunakan setiap sudut bagi melemparkan hujah yang bernas dan realistik. Beliau mengakui ia sebagai ‘milleage’ bagi bosnya itu.

Seorang lagi kenalan lama, Johari Abdul (Ahli Parlimen Sungai Petani – PKR) yang mengalahkan bekas Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin pada PRU-12 lalu, dilihat tersenyum lebar.

Bagaimanpun YB Jo yang duduk berhampiran saya di dewan ketika perdebatan berlangusng, sentiasa cuba menenangkan penyokong-penyokong PKR yang kadang-kadang semacam dirasuk hantu ketika tidak berpuas hati dengan hujah Datuk Shabery.

Bagi penganjur - Agenda Daily, perdebatan itu sesuatu yang amat berbaloi. Rosli Ismail (Ketua Editor Agenda Daily) yang menghampiri saya sebelum pulang menjelaskan semuanya ok, cuma sedikit kekecohan di antara sekumpulan anggota media dengan beberapa orang pengawal keselamatan. Namun kehadiran polis yang ramai dapat mengawal keadaan. Seorang lagi sahabat, Hanafiah Man (Editor Agenda Daily) yang kini semacam hendak tak hendak sahaja bercakap dengan saya turut menunjukkan kepuasannya.

Mereka berdua inilah antara ‘orang kuat’ di belakang penganjuran debat terbuka itu. Seorang lagi sahabat, Nizam Isa bekas wartawan di The Star secara bergurau berkata, “lepas ini Rosli dan Hanafiah boleh ambil dua Mini Cooper di luar dewan hadiah daripada Datuk Seri Farid Ridzuan (CEO Rangkaian Televisyen Kumpulan Media Prima).”

Apapun menurut Datuk Ibrahim Yahaya (Dunia Tiger), perdebatan ini masih memperlihatkan sifat ‘wira’ bosnya di Kementerian Penerangan. Sikap berani berdepan untuk berhujah secara terbuka dengan Datuk Seri Anwar menafikan tanggapan sesetengah pihak bahawa pembangkang tidak dibenarkan berjumpa media.

Ketika debat baru bermula sebelum itu, Ketua Pegawai Eksekutif TV3, Datuk Amrin Awaluddin secara berseloroh menyatakan kepada Ketua Pegawai Operasi TV9, Bukhari Che Muda, “kalau macam ni boleh buat selalu”, setelah melihat reaksi positif yang ditunjukan.

No comments: