Wednesday, July 23, 2008

SIARAN BERITA TV PERLU ADA PENYAMPAI BAHASA ISYARAT

Penonton di Malaysia selepas ini kemungkinan akan menyaksikan siaran berita di semua TV memaparkan penyampaian secara bahasa isyarat.

Ketika ini hanya RTM melaksanakan keperluan itu. Bagaimanapun RTM hanya memperuntukan masa terhad dalam siaran Warta Perdananya, tidak meliputi berita ekonomi dan sukan.

Jika arahan daripada Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) tidak boleh disanggah, semua penonton harus akur dengan penampilan penyampai berita tambahan itu.

Bagaimanapun pengalaman RTM dalam melaksanakan kaedah itu perlu diambil kira.
Kekurangan penyampai bahasa isyarat yang mahir di negara ini masih menjadi bebanan, di samping beberapa masalah lain.

Menurut Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD), setakat ini hanya terdapat 10 orang yang mahir menyampaikan bahasa isyarat di seluruh negara. Namun keperluan itu mungkin dapat diatasi jika seramai 2,000 penuntut yang kini masih belajar di institusi tertentu dapat dikeluarkan menjelang Mac 2009. Bagaimanapun tahap kemahiran mereka masih pada peringkat asas.

Beberapa permintaan yang dikemukakan oleh MFD kepada stesen TV membuatkan sesetengahnya ‘pening kepala’. Antaranya MFD mencadangkan penampilan penyampai bahasa isyarat harus memenuhi 25 peratus daripada keseluruhan kaca TV.

Alasan mereka, saiz kecil di sudut bawah sebagaimana yang dipaparkan di RTM kini, tidak jelas dan menyebabkan kerosakan mata. Menurut mereka di Finland, penyampai bahasa isyarat di TV negara itu memenuhi separuh daripada keseluruhan skrin.

Dengan lulusnya akta berkaitan di parlimen, nampak gayanya semua stesen TV perlu melaksanakan keperluan itu bagi memenuhi permintaan 30 ribu orang pekak yang berdaftar di seluruh negara.

No comments: