Saturday, July 5, 2008

BUKU 'MANUAL OF MILITARY LEADERSHIP' DIMAKAN ANAI-ANAI

Beberapa buku kesayangan yang dalam simpanan hampir musnah kerana anai-anai.

Antaranya 'Manual Of Military Leadership' yang diterbitkan di India (1980) dan 'A Vision Realised' (2001) - buku pemberian penulisnya, Paddy Bowie ketika kami bertemu di Kampala, Uganda. Manakala buku pertama yang saya beli melalui internet, 'Growing Up Digital' oleh Don Tapscott (1998) hanya mengalami sedikit kecacatan.

'A Vision Realised' tulisan Datuk Paddy Bowie adalah mengenai transformasi yang dialami syarikat minyak negara iaitu Petronas. Buku setebal lebih 400 halaman itu berkisar kepada kejayaan Petronas selama 25 tahun.

Petronas yang lahir pada 17 Ogos 1974 menjadi titik mula bagi Malaysia dalam meneroka secara serius sumber hidro-karbon. Nama-nama yang dikaitkan terhadap penubuhannya termasuk Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein, Tengku Razaleigh Hamzah dan Ananda Krishnan.

Buku 'Growing Up Digital' pula berkisar kepada generasi baru setelah kemunculan teknologi digital. Ia memaparkan bagaimana kanak-kanak masakini memacu perubahan dalam abad ke-21 dengan menggunakan media baru (new media) yang berpusat kepada Internet. Generasi Net atau N-Gen yang semakin berkembang mewujudkan budaya baru di kalangan masyarakat, sekali gus membentuk cara individu dan masyarakat berinteraksi.

Manakala buku yang hampir tiga dekad dalam simpanan saya 'Manual Of Military Leadership' adalah satu-satunya khazanah saki baki ketika saya menuntut dan menjalani latihan ketenteraan di sebuah institusi latihanan ketenteraan di Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Ia adalah buku yang dipesan terus dari India oleh seorang pegawai tentera berpangkat Mejar (OC Company) untuk simpanan dan rujukan kami ketika itu. Buku berkenaan sebenarnya pertama kali dicetak semula di India pada 1980. Pra-katanya ditulis oleh Jeneral G.H Deckor, Ketua Staf Tentera Darat Amerika Syarikat.

Buku ini memperkatakan mengenai asas kepimpinan tentera yang merangkumi pelbagai aspek. Namun matlamat utama kepada kepimpinan ketenteraan adalah melaksanakan misi. Dan antara asas kepada pelaksaan itu merangkumi pengembangan dan pengekalan dari segi keberkesanannya, disiplin organisasi yang membentuk moral yang tinggi serta semangat kekitaan atau 'esprit de corps'.

Selain itu beberapa aspek turut ditekankan termasuk ancaman terhadap kepimpinan, prinsip kepimpinan serta indikator kepimpinan. Walaupun prinsip kepimpinannya menjurus kepada ciri keketenteraan, aplikasinya amat relevan digunakan dalam sektor awam dan swasta.

Buku ini pernah dipinjam untuk beberapa tahun oleh seorang abang saya yang ketika itu menjadi Pengurus Pemasaran Amanah Saham Nasional Berhad yang baru ditubuhkan oleh PNB. Beliau juga banyak merujuk kepada buku berkenaan ketika awal kegiatan politiknya.

2 comments:

Anonymous said...

Lok, tongkat & briefcase yg senget tu ada lagi kesimpan? mejasara

Anonymous said...

Entah mana-mana entah. Tapi cap hijau ada lagi, dah lusohpun.
lok1654