Saya mendapat tahu Tuanku Sultan akan menyentuh berkaitan orang Melayu pada titah ucapan baginda, terutama mengenai kemelut politik yang sedang melanda orang Melayu kini.
Saya menghubungi ADC Sultan, Komander Ramly untuk mengesahkan perkara itu. Namun sahabat saya itu hanya mampu mengesahkannya secara umum kerana isi kandungan titah ucapan masih rahsia dan embargo. Beliau hanya dapat menyatakan titah ucapan Tuanku Sultan kali ini 'class' dan sebagai 'wake-up call' kepada orang Melayu.
Ternyata setelah mengikuti titah ucapan itu hadirin termasuk saya rasa tersentuh terutama apabila Tuanku Sultan melafazkan ayat-ayat di bawah.
" Pepatah Melayu ada mengatakan "Takkan Melayu Hilang Di Dunia", tetapi memandangkan keadaan kucar-kacir yang berlaku di kalangan orang-orang Melayu, adakah orang Melayu akan kekal di dunia ini? Jawapannya, tentulah kekal, tetapi apalah gunanya jika orang Melayu itu tidak bertamadun, tidak dihormati dan boleh dipermainkan serta diperalatkan".
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang duduk di barisan atas (high table) dilihat tersenyum-senyum seolah-olah ucapan itu hanya ditujukan khusus kepada kumpulan pesaing beliau.
"Beta merasa kesal, mengapa sejak kebelakangan ini tersebar di media elektronik dan media cetak suara-suara lantang yang mempersoalkan tentang kedudukan orang-orang Melayu, kedudukan Raja-Raja Melayu di negara ini, padahal seperti yang Beta katakan tadi perkara ini telah dipersetujui sebelum negara ini mencapai kemerdekaan dan telah termaktub di dalam Perlembagaan Negeri dan Persekutuan. Apa yang lebih menyedihkan Beta, suara-suara lantang ini datangnya daripada orang Melayu sendiri yang biadap, tidak berbudi-bahasa dan tidak merasa segan atau malu".
Menyedari pentingnya mesej yang disampaikan Sultan, pihak istana termasuk Komander Ramly menghantarkan email teks titah ucapan itu kepada saya. Malam itu juga kedua-dua stesen TV9 dan TV3 memuatkan intipati titah ucapan baginda sebagai berita utama dengan panjang lebar.
p/s : Yang saya tidak lupa keikhlasan dan kesudian Komander Ramly menjemput saya makan semeja dengan beliau bersama-sama pegawai-pagawai Istana dan Pejabat Menteri Besar, walaupun saya hanya berbaju kemeja lengan pendek dan tidak bersongkok berbanding mereka yang lengkap berbaju Melayu.
Cuma yang tak sedapnya, Setiausaha Sulit MB tidak menunjukkan kemesraan kepada saya berbanding yang lain.
No comments:
Post a Comment