Tuesday, March 10, 2009

BAJET RM10 BILION TIDAK CUKUP

Bajet Mini akan dibentangkan di Parlimen petang ini oleh Timbalan Perdana Menteri, yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Bajet melebihi RM10 bilion itu dijangka memberi inisiatif dan insentif untuk merangsang semula ekonomi. Ia juga sebagai langkah untuk mengelak Negara daripada terjerumus ke dalam kegawatan ekonomi.

Sektor perkilangan khususnya industri kecil dan sederhana (IKS) dijangka menerima durian runtuh untuk memastikannya kekal bertahan dalam menghadapi cabaran yang semakin sukar.

Bajet mini itu juga dijangka menumpu langkah untuk meningkatkan pendapatan serta menambah perbelanjaan pengguna.

Namun apa yang perlu diakui bahawa rakyat harus menerima hakikat bahawa situasi ekonomi negara terkesan hasil daripada keadaan ekonomi global yang dipelopori Amerika Syarikat.

Sebelum ini November lalu, sejumlah RM7 bilion peruntukan diumumkan. Maklumat daripada beberapa pegawai kerajaan menyatakan RM5 bilion akan digunakan untuk perbelanjaan operasi manakala selebihnya untuk perbelanjaan pembangunan.

Adakah bajet RM10 billion itu cukup untuk mengeluarkan Malaysia daripada situasi ekonomi global?

Kebanyakkan ahli ekonomi lebih cenderung untuk melihat sekurang-kurangnya sejumlah RM15 bilion diperuntukkan. Jumlah itu dikatakan angka yang wajar untuk membolehkan defisit bajet kerajaan meletakkan KDNK pada sasaran melebihi 7 peratus, berbanding 4.8 % ketika ini.

Mengambil kira sejumlah RM7 bilion yang diumumkan sebelum ini, jumlah keseluruhan bajet adalah sebanyak RM17 bilion, atau kira-kira 2.5 % daripada KDNK.

Apapun keputusannya, tunggu pembentangannya petang ini.

No comments: