Wednesday, March 18, 2009

MARILAH BERMUHASABAH

Apabila ada jerung yang tersenarai pada pengumuman Lembaga Disiplin UMNO semalam baru semua orang terbeliak mata.

Tapi hakikatnya di dalam UMNO memang begitu. Gejala politik wang masih berlaku.
Ia bermula di peringkat akar umbi lagi. Bermula dengan pemilihan Ketua Cawangan, ahli jawatankuasa Bahagian, G7 dan semua jawatan yang dipertandingkan.

Namun tidak dinafikan, pada akhirnya perwakilan akan memilih calon yang terbaik daripada kalangan yang baik-baik. Tapi jika sebaliknya yang berlaku, parti akan dipimpin oleh mereka yang rasuah.

Perjuangan untuk menentang politik wang dalam UMNO tidak semudah sebagaimana yang dislogankan. Ia memerlukan komitmen yang tinggi oleh setiap ahli parti.

Sebagai ahli UMNO saya amat kecewa dengan senerio itu. Apa yang termampu, hanya berdoa agar UMNO tidak terkubur seperti terkuburnya beberapa parti di negara lain.


Daripada keputusan yang diumumkan itu, cuma satu pesanan saya kepada Presiden dan Timbalan Presiden parti serta Panel Rayuan Lembaga Disiplin UMNO. Jika rayuan mereka diterima setelah Lembaga Disiplin mendapati mereka bersalah, ia akan dilihat lemah dan fungsi lembaga itu tidak akan berguna lagi.

Kepada ahli-ahli UMNO, bacalah apa yang terkandung dalam tiga rencana yang tersiar di Utusan Malaysia ini. Ambil iktibar dan bermuhasabahlah!

RENCANA 1 :
BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

AWANG amat faham perasaan Ali Rustam pada masa ini. Awang juga boleh menyelami perasaan para penyokongnya sekarang.

Keputusan Lembaga Disiplin UMNO semalam yang menyabitkan Ali dengan salah laku tataetika parti harus dijadikan iktibar oleh semua pihak.

Anggaplah keputusan itu sebagai satu pengajaran, yang walaupun pahit, tetapi untuk kesejahteraan UMNO dan umat Melayu.

Sebagai pemimpin besar dalam UMNO, kita pasti Ali lebih mengutamakan kepentingan parti daripada segala-galanya. Tindak-tanduk yang songsang hanya akan merugikan semua pihak.

Jika dulu Tan Sri Isa Samad boleh menghadapinya dengan penuh sabar, mengapa tidak Ali dan pengikutnya?

Sebagai pemimpin dinamik yang berupaya membawa negeri Melaka ke tahap yang terbaik, kita yakin lambat laun Ali akan berjaya juga di dalam perjuangannya itu.

Awang sentiasa percaya apa yang berlaku itu mempunyai nilai hikmah yang cukup tinggi.
Hikmah itu bukan sahaja untuk Ali dan pengikutnya, malah lebih daripada itu ialah untuk direnungi oleh ahli-ahli dan para pemimpin parti itu keseluruhannya.

Oleh itu, Awang berharap Ali dan para pengikutnya bertenang, bersabar - rapatkan semua barisan demi agama, bangsa dan negara.

Awang – Berserah kepada Allah SWT

RENCANA 2 :
Demi parti akurlah keputusan Lembaga Disiplin UMNO
LEMBAGA Disiplin UMNO telah membuat keputusan - calon Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam tidak dibenarkan bertanding pada pemilihan parti akhir bulan ini. Sementara beberapa pemimpin yang bertanding jawatan utama parti itu diberi amaran dan dibebaskan kerana tidak bersalah.

Bagi sesetengah ahli UMNO keputusan ini mengejutkan dan boleh dipersoalkan. Maka pelbagai versi dan teori tentang pertimbangan yang diambil oleh Lembaga Disiplin UMNO akan dikaji dan diperhalusi dengan membandingkan kes-kes hampir serupa yang terdahulu.

Dalam jarak masa pemilihan UMNO hanya minggu depan sudah tentu keputusan itu mengundang rasa terkilan dan marah di kalangan para penyokong pemimpin berkenaan.

Tetapi mereka kena ingat bahawa inilah dunia politik. Mereka perlu faham - politik itu segalanya serba bermungkinan.

Sebenarnya politik wang wujud dalam banyak parti politik termasuk pembangkang, tetapi dalam UMNO, ia dilakukan secara terbuka lebih-lebih lagi ketika pemilihan agung parti. Ini lebih berbahaya.

Soalnya, di mana letaknya integriti pemimpin UMNO sekarang hingga tidak rasa malu untuk melakukan amalan politik wang?

Apa pun Lembaga Disiplin UMNO telah menjalankan amanah dan permintaan Presiden UMNO Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya kes politik wang diselesaikan sebelum seseorang yang didakwa itu bertanding.

Dan seperti mana kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak, kita juga berharap semua ahli UMNO terutama Mohd. Ali sendiri boleh menerima keputusan Lembaga Disiplin UMNO ini dengan hati terbuka.

Dalam keadaan sekarang yang mana UMNO dilihat lemah, tindakan disiplin ini jangan dijadikan senjata untuk memporak-perandakan rumah tangga UMNO dengan bibit-bibit perpecahan.

Bahang kempen pemilihan yang semakin dekat ini tidak wajar diperhangatkan dengan berita berbaur fitnah dan bukan-bukan untuk disebar luas melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

Demi kestabilan politik dalaman UMNO, perkara yang memudaratkan imej parti perlu dihentikan. Usah dilayan dan disebarkan bahan-bahan SMS dan laporan blog yang berunsur tohmahan.

Semua ahli UMNO perlu akur dengan keputusan Lembaga Disiplin. Bukan UMNO tidak sayang terhadap pemimpin tertentu, tetapi nama baik parti lebih utama.

Perkara yang lebih penting, mereka harus disedarkan kenapa langkah-langkah tegas seumpama ini perlu diambil sekarang.

Hakikatnya UMNO perlu tunjukkan keberanian untuk memerangi politik wang. Inilah masanya membuktikan UMNO serius untuk memerangi masalah politik wang dalam parti.

Ahli-ahli UMNO perlu sedar bahawa kegagalan mereka menangani politik wang, secara langsung akan menjejaskan lagi keyakinan orang Melayu kepada parti ini.

Pemilihan parti perlu dijalankan dengan telus dan bersih kerana ia merupakan peluang untuk membersihkan nama baik UMNO yang terjejas sejak kebelakangan ini.

Jadi UMNO perlu tunjukkan keseriusan memerangi gejala politik wang bagi memastikan parti itu kukuh dan disenangi rakyat. Rakyat sedang memerhatikan tingkah laku dan arah tuju perjuangan politik orang UMNO.

Kita berharap semua pemimpin dan ahli parti Melayu ini bersikap terbuka terhadap sebarang tindakan disiplin ke atas mereka yang didapati bersalah.

Kepada calon yang dikenakan tindakan serta penyokong-penyokongnya, akurlah demi agama, bangsa dan negara

RENCANA 3 :
Suburkan kembali perjuangan UMNO
Oleh ANUAR AHMAD
Pertandingan untuk merebut jawatan di dalam Parti UMNO akan berlangsung lagi akhir bulan Mac ini. Pada masa yang sama seperti selalunya, bekas pimpinan UMNO yang sayangkan parti unggul untuk orang Melayu ini memberikan nasihat. Ahli-ahli parti khususnya di kalangan pemimpin digesa segera berubah jika parti ini ingin terus berkuasa.

Malangnya teguran dan nasihat mereka dipandang sepi oleh kepimpinan UMNO khususnya di peringkat cawangan dan bahagian. Unsur-unsur negatif seperti politik wang semacam sudah sebati dengan sebahagian kepimpinan UMNO hari ini.

Pelbagai saranan dan cadangan untuk UMNO juga diberikan bagi memulihkan kembali kredibiliti UMNO di mata rakyat. Selain diwujudkan Jawatankuasa Disiplin Parti dan membawa pemimpin yang mengamalkan politik wang ke muka pengadilan parti, tidak kurang ada juga yang telah digantung dan dipecat daripada jawatan parti kerana pelbagai jenis kesalahan khususnya yang melibatkan politik wang.

Semua keadaan ini menunjukkan sangat perlu kepimpinan UMNO kembali diinsafkan dengan sejarah perjuangan UMNO yang terbina lebih 60 tahun lalu tatkala menentang Malayan Union. Malah mungkin ramai di kalangan pimpinan muda dalam UMNO yang sudah mulai lupa sejarah awal kewujudan UMNO demi melindungi orang Melayu daripada cengkaman kuasa asing khususnya British melalui Malayan Union.

Idea mewujudkan sebuah kesatuan atau perkumpulan untuk melindungi serta menjaga orang Melayu mula disuarakan pada awal tahun- tahun 1920-an. Kesedaran tentang pentingnya sebuah badan politik Melayu diwujudkan sering dizahirkan melalui tulisan-tulisan golongan intelektual Melayu dari kaum muda di dalam akhbar Seruan Azhar, Al Iman, Lembaga Melayu dan juga Majlis.

Idea ini sebenarnya dikembangkan oleh pengaruh yang diperolehi semasa mengikuti pengajian mereka di Asia Barat khususnya Mesir dan Arab Saudi. Pada tahun 1938, tertubuhlah Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang bergerak meniup semangat nasionalis Melayu dan mula menuntut kebebasan daripada pemerintahan British.

Malangnya KMM tidak mendapat perhatian masyarakat Melayu. Ketika itu orang Melayu belum sepenuhnya memahami perjuangan nasionalis yang berbeza dengan bentuk penentangan bersenjata yang dipimpin oleh Mat Kilau, Dato Bahaman, Dol Said dan Datuk Maharaja Lela yang bersifat kenegerian.

Tamatnya Perang Dunia Kedua membuka babak kewujudan UMNO sebagai parti tunggal orang Melayu. UMNO adalah tanda bersatunya orang Melayu menentang cadangan Malayan Union yang dibawa oleh British melalui wakilnya Sir Harold Mac Micheal.

Kewujudan Malayan Union jelas sekali menghakis kedaulatan Raja-Raja Melayu serta mencabar hak kuasa politik orang Melayu. Malayan Union menyebabkan orang Melayu bangun untuk menyuarakan hak serta rasa tidak puas hati mereka kepada kerajaan British.

Sebagai tindak balas terhadap cadangan Malayan Union, pemimpin Melayu telah berhimpun di Ipoh pada 30 November 1945, sebulan selepas cadangan Malayan Union dikemukakan kepada raja-raja Melayu. Sebagai menyatakan sokongan kepada perhimpunan ini, raja-raja Melayu juga telah turut hadir.

Sepanduk 'Hidup Melayu' menjadi identiti kepada perhimpunan orang Melayu. Kemuncak kepada perhimpunan menentang Malayan Union ialah Kongres Melayu Se-Malaya Kedua yang diadakan pada 11 dan 12 Mei 1946 di Istana Besar Johor Bahru. Hasil kongres ini dengan sebulat suara meluluskan penubuhan Parti Melayu yang pertama di kenali sebagai Pertubuhan Melayu Bersatu. Zaa'ba kemudiannya mencadangkan ditambah perkataan National atau Kebangsaan menjadi namanya United Malays National Organizatiton (UMNO).

Selanjutnya satu mesyuarat agung UMNO yang pertama telah diadakan pada 12 Mei 1946 dan Dato' Onn Jaafar dipilih sebagai Yang Dipertua UMNO yang pertama. Kerajaan British dalam situasi ini tiada pilihan selain mengiktiraf UMNO sebagai badan tunggal yang mewakili orang Melayu.

Maka sejak itulah UMNO dizahirkan sebagai satu-satunya wadah penyatuan orang Melayu. Dalam UMNO terkandung para ahlinya yang terdiri daripada pentadbir kerajaan, guru, alim ulama dan sebagainya. Hasil kesatuan yang kuat di kalangan orang Melayu maka UMNO berjaya mendesak sebuah kerajaan imperalisme British untuk menarik balik pelaksanaan Malayan Union.

Akhirnya akibat tekanan serta desakan kuat UMNO, Malayan Union telah digantikan dengan konsep Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948 dan kuasa raja-raja Melayu dikembalikan semula.

Fasa UMNO di bawah Dato' Onn merupakan fasa orang Melayu bersatu menentang Malayan Union dan orang Melayu berjaya melakukannya dengan berkesan sekali. Fasa kedua di bawah Tunku Abdul Rahman juga menyaksikan penyatuan orang Melayu bersama kaum Cina dan India untuk mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 dan orang Melayu sekali lagi berjaya melakukannya.

Era UMNO pada zaman Tun Abdul Razak menyaksikan Dasar Ekonomi Baru (DEB) diwujudkan bagi memastikan orang Melayu berjaya di dalam bidang ekonomi dan pendidikan. Walaupun belum mencapai 30 peratus seperti yang disasarkan sehingga tahun 1990, orang Melayu kini telah memiliki 18 peratus ekuiti di dalam negaranya sendiri. Sekurang-kurangnya Tun Abdul Razak berjaya menyusun satu perancangan untuk memastikan kemajuan orang Melayu ditingkatkan.

Malangya peranan UMNO pada awal abad ke-21 gagal menyaksikan kegemilangan penyatuan Melayu subur seperti di awal penubuhannya. Imej rasuah, kronisme, kepentingan kebendaan dan meletakkan kepentingan peribadi melebihi parti menyebabkan perjuangan UMNO hilang semangat murninya.

Apalah lagi yang boleh difikirkan oleh rakyat kalau dengan hanya sepenggal menjadi wakil rakyat sudah ada di kalangan Yang Berhormat mempunyai koleksi kereta mewah dan kediaman mewah jutaan ringgit, jauh melampaui pendapatan tahunan serta elaun keraian yang diperolehi sepanjang berkhidmat untuk rakyat.

Siapakah yang bakal menggantikan tokoh lagenda seperti Tun Abdul Razak yang meninggal dunia tanpa memiliki kediaman sendiri kerana sibuk menguruskan kebajikan rakyat? Malah betapa sedihnya bila bekas Perdana Menteri ini pergi meninggalkan kita tanpa memberitahu keluarganya sendiri penyakit yang dihadapinya.

Beliau lebih rela memberikan sepenuh masanya untuk kebajikan rakyat dan terus memimpin orang Melayu walaupun tahu nyawanya sudah sampai di penghujung. Orang Melayu bertuah memiliki pemimpin seperti Tun Abdul Razak dan kita memerlukan lebih ramai pemimpin Tun Abdul Razak untuk memimpin kita hari ini dan masa depan.

Pemimpin UMNO harus menyedari bahawa selain mempertahankan perkara-perkara yang tersebut di dalam perlembagaan seperti kedaulatan raja-raja Melayu dan hak keistimewaan bumiputera, tiga perkara lain yang menjadikan seseorang pemimpin sentiasa dekat di hati orang Melayu.

Pertama ialah pemimpin yang memperjuangkan agar orang Melayu segera keluar daripada kemiskinan. Kedua, pemimpin yang dapat merealisasikan impian orang Melayu untuk menjadi muslim sejati dan ketiga pemimpin yang memiliki sikap yang bersederhana tetapi bermoral tinggi.

Pemimpin muda UMNO yang mempunyai ketiga-tiga perkara ini dan dapat menterjemahkannnya dalam bentuk tindakan akan diterima oleh orang Melayu sepenuhnya.

Malah jika semua pemimpin UMNO menggerakkan tindakan kepada ketiga-tiga perkara di atas, parti UMNO tentu akan kembali diterima oleh orang Melayu dalam masa yang singkat.

Percayalah bahawa kebanyakan undi ketika PRU 12 untuk pembangkang dalam pakatan pembangkang merupakan undi protes orang Melayu semata-mata terhadap kepimpinan UMNO, sedangkan hati mereka masih kukuh dan percaya kepada semangat perjuangan UMNO.

Oleh kerana orang Melayu merupakan teras dalam Barisan Nasional (BN), pimpinan UMNO harus berani untuk mengutamakan prinsip-prinsip Melayu-Islam-DEB dalam ideologi UMNO dan BN.

Jika UMNO segera keluar daripada kepompong bobrok kebendaan dan kembali kepada perjuangan asal bangsa Melayu era merdeka pasti UMNO akan kembali kuat mendapat sokongan orang Melayu.

Secara sejarah, orang Melayu bukanlah 'penganut' kapitalisme yang bernafsu besar, mereka lebih cenderung untuk hidup aman dan bahagia dalam keadaan yang sederhana. Menjanjikan dan 'menghadiahkan' kepada orang Melayu dengan segala janji kemewahan dunia setiap kali pilihan raya tidak akan membawa UMNO dekat di hati orang Melayu.

Semoga imej UMNO kembali pulih demi survival Melayu di Malaysia. Pemimpin Melayu mesti menyedari bahawa kekuatan bangsa datangnya daripada kesatuan yang jitu. Demokrasi dialu-alukan untuk mewujudkan sebuah negara yang adil dan saksama tetapi itu tidak bermakna pemimpin Melayu perlu mengorbankan asas-asas kesatuan bangsa Melayu semata-mata wujudnya pandangan yang berbeza di antara mereka. Hidup Melayu, Melayu Bersatu.

Penulis merupakan Pensyarah Sosiologi Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

No comments: