Friday, March 13, 2009

MINUM PAGI DI RESTORAN MAMAK

Kesempatan cuti hari ini saya diajak oleh isteri untuk pekena teh tarik dan toseh di restoran mamak. Ketika sedang berbual, sambil minum dan melayari internet di telefon bimbit menggunakan perkhidmatan wifi percuma, kami didatangi dua lelaki warga emas untuk minta duduk di sebelah.

Warga emas keturunan Cina itu sudah mencecah lebih 80 tahun umurnya. Sambil membaca akhbar berbahasa Cina mereka mengulas mengenai kandungan berita di dalamnya.

Kerana tertarik dengan perbahasan kedua-duanya walaupun tidak mengetahui maksud yang dibincangkan, saya bertanya mereka apa isu yang dibualkan.

Salah seorang yang agak peramah menjelaskan mengenai hukuman tiga tahun penjara yang dikenakan terhadap wartawan Iraq yang membaling kasutnya ke arah bekas Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush.

Wartawan televisyen Al-Baghdadiya, Muntadar Al-Zeidi didapati bersalah atas tuduhan menyerang seorang pemimpin asing.

Muntadar, 30 tahun kini menjadi terkenal di seluruh dunia dan mendapat sanjungan penduduk Arab dan banyak negara lain.

Kata lelaki itu, apalah sangat penjara tiga tahun, tetapi kesannya amat mendalam dan apabila keluar penjara nanti dia boleh berbangga serta mendabik dada kerana perbuatannya yang memalukan pemimpin yang dibenci dunia itu.

Lelaki itu kemudian melanjutkan perbualan dengan kami mengenai pelbagai isu masakini.
Gelagatnya yang bersemangat berbual dengan kami menarik perhatian pelanggan lain di restoran itu.

Menurutnya sebenarnya Malaysia lebih kaya daripada Singapura. "Singapo ta lak kaya, dia itu ada kapal mari saja. Tapi Malaysia ada sawit, ada minyak, ada mayak. Tapi apa pasat talak kaya?"

Itu olang besat-besat talak baghuit. Mayak under table.

Itu menteli besat nombor satu sapa? Itu Malaysia punya menteli besat", sambil meminta saya memberi jawapan.

"Itu mini sudah mati, belakang lagi mayak susah lagi dia dapat", sambung dia.
Saya masih tidak dapat menangkap lagi maksud dia.

"Isa Samad ka? negeri sembilan punya Menteri Besar?" jawap saya.

"Bukan lah itu olang.......", jelasnya dengan panjang lebar.

"Perdana Menteri ka?" jawap saya. "A...iya, iya.

"Apa pasal sama dia?" tanya saya.

"Itu ha, macam cina cakap, olang sudah gali lubang dalam-dalam, dia lagi kasi gali itu lubang."

"Itu menteli tol dulu, bikin kawin anak, ada mayak besat kenduli, saya ada latang sama saya punya menantu, mayak besat itu kenduli. Mana dia dapat itu luit?".

Saya dan isteri hanya banyak mendengar, dan sesekali menyampuk.

"Itu Sultan Selangor mayak baghuit. Dia kasi minta itu menteli tunjuk harta. Kasi tunjuk la berapa rumah, kereta. Nanti kalau sudah satu tahun mayak rumah, banyak kereta. Itu luit mana dapat, orang tau ho..."

Saya kemudian mencelah, "itu Anwar apa macam?".

"Ha..ada baghuit, tapi dia mayak salah. situ salah, sini salah", katanya.

"Jadi apa uncle mahu?" saya tanya lagi.

"Aya...apa mau mayak-mayak. Itu pemimpin ha, kasi tolong sama orang sudah la...tolong sama orang susah".

Menyedari jam sudah hampir pukul 10 pagi, kami berdua minta diri untuk beredar.

Di kaunter bayaran, mamak cashier memberitahu ada empat warga emas macam dua lelaki itu setiap pagi minum di restorannya.

1 comment:

Anonymous said...

cerita warga emas tak habis..