Sunday, September 14, 2008

ZAHID TAK MAHU SEMBERONO

Khamis lalu saya berkesempatan berbuka puasa anjuran AirAsia di sebuah hotel terkemuka di KL Sentral. Kebetulan seorang kawan lama menyertai saya di meja.

Minggu lalu ketika berbuka puasa anjuran Bank Rakyat, saya diberitahu beliau sudah menyertai PKR. Semasa berbual dengannya secara berseloroh saya bertanyakan nombor ahlinya tanpa merujuk kepada keahlian PKRnya. Dia hanya tersenyum sinis dan menyatakan keahlian tak penting.

Empat wartawan wanita dari Bernama yang duduk semeja tanpa mengetahui pendirian politik sahabat saya ini, kemudian berdebat mengenai situasi politik negara masakini.

Dan apabila dia menghulurkan kad tanda sebagai Pengarang Bersekutu 'Suara Keadilan', barulah keempat-empat wanita itu faham di sebalik hujahnya tadi.

Dzulkarnain Taib atau dikenali sebagai DT mendakwa nama Zahid Hamidi ada dalam senarai mereka yang melompat. Saya hanya tersenyum sinis, dan bertanya balik kepada DT apa yang mereka boleh bagi kepada Zahid.

Saya katakan, Zahid terpaksa menempuh survival politik sendiri untuk membersihkan nama yang dikaitkan dengannya, walaupun hakikatnya dia tidak pernah mempunyai hubungan itu. Cabaran politiknya sangat hebat sehingga dia dibenam dalam lumpur dan diminta melucutkan jawatan Ketua Pemuda UMNO yang dipilih oleh perwakilan (mungkin cerita sebenar mengenai perjalanan politiknya boleh dibukukan selepas ini).

Namun DT masih begitu yakin dengan 'rampasan kuasa' yang akan berlaku. Kerana pendirian yang dirasakan 'bias', wanita-wanita itu kemudiannya bertanya pula kepada saya mengenai kemungkinan itu.

Saya dengan penuh yakin beserta alasan-alasan tertentu, mengatakan ia pasti tidak akan berlaku.

Semalam, Zahid ditanya pula oleh media pada satu majlis di Kota Bharu mengenai perkara yang sama. Ini petikan laporan daripada Utusan hari ini;

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi secara berseloroh menyatakan kesediaannya 'melompat' ke pakatan pembangkang sekiranya dijamin jawatan Perdana Menteri.

Sebaliknya, jelas beliau, sekiranya 'kerajaan baru' yang didakwa akan diwujudkan oleh pembangkang itu sekadar mampu memberikan jawatan menteri sama seperti yang disandangnya kini, maka impian kosong itu sewajarnya dilupakan sahaja.

"Dakwaan bahawa saya akan melompat adalah mengarut, saya amat bersyukur dengan kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan kepada saya kini, tetapi mungkin akan fikir balik jika pembangkang jadikan saya Perdana Menteri.

"Kalau sekadar menteri juga, baik tak payah tawar kerana saya sekarang pun sudah jadi menteri. Kalau saya melompat bermakna saya menuju ke alam baqa' karier politik saya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Ihya Ramadan Tabung Haji (TH) Kelantan di Dewan Balai Islam Lundang di sini hari ini.

Hadir sama ialah Pengurus Besar Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat Kumpulan Tabung Haji, Abdul Rashid Hussein dan Pengarah TH negeri, Mohd. Norber Kassim.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO mengulas mengenai dakwaan bahawa beliau akan menyertai pakatan pembangkang berdasarkan hubungan baiknya dengan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

Jelas beliau, walaupun pernah bersama Anwar dalam perjuangan politik sebelum ini, matlamat dan cara perjuangan mereka berdua adalah berlainan.

"Cara dia adalah desperado bagi merealisasikan cita-cita politik dengan mengamalkan pendekatan semberono, cara saya lain dan kami tidak sependapat kerana saya lebih menyukai pendekatan politik berhikmah," katanya.

2 comments:

Anonymous said...

hmm..i can only say that those ppl are still day dreaming..

semoga Allah bersama-sama orang yang bersabar dan redha keatas segala ujian yang mendatang..Amin.

Aku said...

lek,best betul ucapan abah kat kelantan! sapa yg faham tu faham lah. Jgn ada org yg manipulasi sudah. dlm waktu2 mcm ni, ada jer org yg menangguk kat air keruh.

tak habis2 perasan n berlagak terror!