Saturday, September 6, 2008

NAJIB RASMI HOTEL FELDA DI MEKAH

CHINI, 6 Sept (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak akan merasmikan pembukaan hotel apartmen dan medan selera milik Felda di Mekah pada 20 September ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata hotel bertaraf empat bintang dengan 54 bilik itu merupakan hotel pertama milik agensi berkenaan di luar negara.

"Medan selera milik Felda yang diurus oleh syarikat katering D'Saji itu pula menyediakan masakan Melayu bagi keperluan jemaah dari negara ini.

"Felda kini berjaya meneroka bukan sahaja di sini tetapi juga di luar negara," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan bantuan kepada 50 ibu tunggal dan 65 warga emas di Masjid Chini 1 di sini, Sabtu.

Najib berkata dengan pembukaan hotel dan medan selera itu, Felda diiktiraf sebagai organisasi bertaraf multinasional.Beliau berkata hotel yang bernilai RM100 juta itu terletak hanya 50 meter dari pintu Abdul Aziz Masjidil Haram yang memudahkan penginapnya melakukan ibadat di Tanah Suci.

"Hotel itu telah beroperasi sejak awal bulan lepas dan diuruskan oleh Felda Global Ventures Mecca iaitu anak syarikat milik penuh Felda," katanya.
-- BERNAMA

No comments: