Mengapalah terlalu ghairah dan tak sabar-sabar untuk berkuasa sehingga menafikan fakta dan hakikat. Hari ini saya menerima beberapa panggilan telefon mengenai kemungkinan ada anggota Parlimen BN yang melompat.
Mereka betul-betul marah dengan dakyah dan gelagat penyokong sebuah pertubuhan politik yang secara kebetulan dapat berkuasa. Berikut beberapa petikan laporan media hari ini (Jumaat), yang menafikan keghairahan mereka.
Laporan 1 :
PETALING JAYA 5 Sept. — Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan hari ini menafikan laporan sebuah akhbar parti politik tempatan yang mendakwa beliau lumpuh dan berada dalam keadaan nazak selepas menjalani pembedahan pintasan koronari di Institut Jantung Negara (IJN) pada 19 Ogos lalu.
Musa, yang kelihatan sihat dan ceria, berkata beliau kini dalam keadaan yang sihat dan semakin pulih setelah menjalani pembedahan selama empat jam itu dan akan kembali bertugas bulan depan.
Beliau yang berjalan tanpa bantuan tetapi secara perlahan-lahan turut melahirkan rasa kesalnya terhadap berita yang disiarkan dalam akhbar mingguan
"Suara Keadilan" edisi 4-11 Sept 2008, yang seolah-olah menipu rakyat yang sentiasa menantikan perkembangan terbaru mengenai kesihatannya
Laporan 2 :
KUALA LUMPUR 5 Sept. — Agensi berita nasional, Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia) malam ini membuat laporan polis terhadap penyebaran berita palsu menerusi perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) mengenai kononnya tujuh parti komponen Barisan
Nasional (BN) mengadakan sidang akhbar bagi mengumumkan keluar daripada BN.
Laporan polis itu dibuat oleh Pengurus Kanan Teknikal Bernama, Abdul Halim Hafiz yang menyelia trafik perkhidmatan SMS Bernama di Balai Polis Jalan Travers pada pukul 8.45 malam ini.
Abdul Halim dalam laporannya berkata, terdapat pihak tidak bertanggungjawab telah menggunakan nama Bernama untuk menyebar maklumat tidak benar kepada orang ramai.
Abdul Halim berkata, daripada siasatannya, Bernama tidak ada mengeluarkan sebarang berita SMS seperti yang disebarkan oleh orang yang tidak diketahui hari ini.
Laporan 3 :
PUTRAJAYA 5 Sept. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, tidak ada anggota Parlimen Barisan Nasional yang akan meninggalkan parti itu menjelang 16 September ini untuk menyertai pembangkang menubuhkan kerajaan baru.
"Saya pastikan 16 September tidak akan berlaku. Pakatan Rakyat bergantung kepada ahli-ahli parti kita untuk meninggalkan kita tetapi orang kita tidak akan meninggalkan kita," kata Perdana Menteri.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah beberapa kali berkata, bahawa ramai anggota Parlimen BN akan menyertai pembangkang bagi membolehkan mereka membentuk kerajaan pada 16 September ini.
"Kita tidak akan beri peluang untuk mereka menubuhkan kerajaan pada 16 September.
Tidak," kata Abdullah pada sidang akhbar selepas melancarkan Business Licensing Electronic Support System (BLESS) di Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.
Beliau berkata, perkara itu tidak mungkin berlaku jika ia hanya berpaksikan kepada faktor penghijrahan oleh anggota BN ke pembangkang.
Sebaliknya, kata Abdullah, adalah lebih wajar jika perhatian diberi kepada usaha meningkatkan kemajuan negara.
"Kerajaan tumpu pada kerja dan bukan memikirkan sesuatu yang mungkin berlaku. Tumpu pada kerja untuk menjadikan negara ini lebih baik, meningkatkan produktiviti dan keberkesanan dan banyak lagi," katanya.
Perdana Menteri juga berkata, beliau telah menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin untuk memaklumkan segala perkembangan kepada Seri Paduka Baginda.
No comments:
Post a Comment