Saturday, September 13, 2008

TAHANAN ISA ZALIMI DIRI SENDIRI

Kerajaan tidak pernah menganiayai tiga individu terbaru yang ditahan di bawa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) semalam, sebaliknya mereka yang menzalimi diri sendiri apabila ada di antaranya tidak mengendahkan pelbagai peringatan yang diberikan sebelum ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, dalam tindakan itu, polis tidak menyalah gunakan kuasa mereka kerana ia bertujuan untuk menjaga dan mengembalikan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Sehubungan itu, beliau turut berpendapat agar polis memperluaskan lagi penahanan individu yang menyentuh isu sensitif yang mencabar Perlembagaan Persekutuan mengikut ISA dan tidak mengehadkan kepada tiga orang sahaja.

``Tidak wajar hanya dikenakan (akta ISA) ke atas tiga orang sahaja kerana yang timbulkan perkara sensitif ini ramai lagi termasuk pengendali blog.

``Polis telah beri amaran sebelum ini, tetapi tidak diendahkan dan apabila tindakan diambil, maka mereka mengatakan kononnya bahawa polis dan kerajaan zalim. Mereka yang menzalimi diri sendiri kerana tidak mengendahkan amaran,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Ihya' Ramadan Tabung Haji (TH) Kelantan di Dewan Balai Islam Lundang di sini hari ini.

Semalam, polis menahan tiga individu di bawah akta itu iaitu Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, Pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin dan wartawan wanita Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng kerana mencetuskan isu perkauman dan persengketaan agama.
UTUSAN

No comments: