Friday, September 19, 2008

NAJIB SEBAK TINGGALKAN 'MINDEF' SELEPAS 14 TAHUN BERSAMA


KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Setelah 14 tahun berkhidmat sebagai Menteri Pertahanan, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, hari ini dengan sebak mengucapkan salam perpisahan kepada warga KementerLian Pertahanan dalam satu upacara di Wisma Pertahanan di sini. Malah, ramai antara 2,000 orang kakitangan kementerian yang hadir khususnya penjawat awam, kelihatan menangis semasa Najib bersalaman dengan mereka.

Beliau bertukar portfolio dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dua hari lepas dengan mengambil alih Kementerian Kewangan manakala Abdullah kini menjadi Menteri Pertahanan.

Upacara perpisahan didahului dengan Najib menerima tabik hormat sebelum memeriksa kawalan kehormatan terdiri daripada pegawai dan anggota daripada Batalion 1, Rejimen Askar Melayu Diraja.


Najib kemudian menaiki kenderaan istiadat dengan ditarik oleh 20 pegawai berpangkat Leftenan Kolonel dan setaraf daripada ketiga-tiga cabang angkatan tentera Malaysia iaitu darat, laut dan udara.

Turut hadir Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Wira Abu Seman Yusop, Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Abdul Aziz Zainal, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin dan Panglima Tentera Laut laksamana Datuk Abdul Aziz Jaafar.Jen Abdul Aziz berkata Najib telah membawa banyak perubahan dan kemajuan bukan sahaja dalam ATM tetapi juga dalam kualiti hidup termasuk peluang pegawai dan anggota melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi.

"Sudah pasti kami merasa sedih, sayu dan pilu kerana terpaksa berpisah dengan Datuk Seri Najib kerana dalam tempoh beliau menjadi Menteri Pertahanan banyak pembaharuan yang dilakukan," katanya selepas majlis tersebut.

Katanya beliau yakin Perdana Menteri yang akan memegang portfolio itu mampu terus membawa ATM ke tahap lebih tinggi.

"PM pernah menjadi Menteri Pertahanan sebelum ini, pastinya dia mampu melakukannya," katanya.

Laksamana Abdul Aziz pula berkata ATM kehilangan pemimpin yang bijak, cergas dan mempunyai visi yang jitu.

Katanya sepanjang menjadi Menteri Pertahanan, Najib sanggup berkorban masa dan tenaga untuk bersama anggota tentera serta mengambil berat soal kebajikan.

"Sedih kerana sukar mencari pemimpin sepertinya. Beliau menjadi tempat berteduh kerana beliau amat mementingkan soal kebajikan dan kesejahteraan anggota serta kementerian," katanya.-- BERNAMA

No comments: