Saturday, September 13, 2008

CATATAN PERJALANAN "OPS PASIR' - 3

11 & 12 Ogos :
Kami kemudian dibawa menaiki bot pulang semula ke Semporna. Walaupun saya diletakkan dalam kumpulan lain, tapi pada perjalanan kali ini saya memilih untuk bersama-sama krew TV9 iaitu Syed Khair dan Syafinaz. Dan kebetulan dalam bot yang sama krew RTM dan Kol Fadzlette.

Foto : Bot tempur sedia menunggu di Jeti Pulau Danawan untuk membawa pulang kumpulan media ke Semporna.

Dengan tidak disangka, hujan lebat mengiringi kami dalam perjalanan di tengah lautan yang bergelora.

Namun bot tempur milik tentera darat yang dipandu laju terus memecut membelah hujan di tengah lautan, basah dan pucat bagi sesetengah penumpang. Tapi ada juga yang sempat melelapkan mata, mungkin bagi menghilangkan rasa takut.

Foto : Team 'powerboat', bersama-sama krew RTM, Cici (berbaju pink), Kol Lette, Finaz dan Syed Khair

Seorang wanita yang tidak merasa takut dan sentiasa riang dalam perjalanan penuh debaran itu ialah Cici (tak pasti ejaan namanya) atau Nurul Alis Aidil Akhbar dari RTM.

Dia asyik mentertawakan krew lelakinya yang nampak semacam takut dan tidak selesa. Sebenarnya saya hanya baru mengenainya di bot ini. Wanita kecil molek ini rupanya terkenal dengan aktiviti lasak dan kereta lumba. Dia juga sudah 14 tahun bersama dengan RTM. Apabila ditanya mengapa tidak pindah tempat, dia hanya menjawab selesa dan bebas untuk melakukan aktiviti lain.

Sesampainya di jeti Semporna, rupanya baru kami sedari bot yang kami naiki yang pertama sekali tiba. Sebelum itu ketika berlepas ada beberapa buah bot lagi yang mendahului kami lebih awal.

Dari Semporna rombongan dibawa menaikki bas semula ke lapangan terbang Tawau.
Perjalanan lebih satu jam memberi ruang kepada mereka yang masing-masing keletihan untuk melelapkan mata.

Mereka kemudian menyambung tidur ketika dalam penerbangan menggunakan pesawat C130 ke Terumbu Layang-Layang.

Setibanya saya dalam penerbangan pertama, Datuk Seri Najib bersama-sama VIP lain sudah bersantai di pinggir landasan terbang.

Untuk beberapa minit itulah, TPM kelihatan begitu lega, bebas daripada kesibukan tugas hariannya.

Beliau kini berada di sebuah pulau batuan yang dibangunkan menjadi sebuah pulau peranginan dan pusat pertahanan maritim negara, di sebalik tuntutan bertindih yang masih belum selesai.

Ketika saya menjejakkan kaki di terumbu ini kira-kira 10 tahun lalu, landasannya pendek, dan tayar pesawat terpaksa mencecah air sebelum mendarat.

Manakala itu terdapat hanya sepohon pokok tumbuh di pulau ini. Dulu landasan terbangnya dipenuhi dengan burung Layang-layang. Kini setelah kekerapan pesawat mendarat, kumpulan burung-burung itu dipindahkan ke sebuah 'pulau' berhampiran terumbu ini.

Pulau Layang-Layang kini sudah mempunyai sebuah resort dengan lebih 80 buah bilik penginapan. Kadar bayaran secara pakej diantara RM1,000 hingga RM2,000 sehari - mampu menjana industri pelancongan negara, terutama dari kalangan pelancong Eropah.

Kehadiran pelancong asing juga secara tersirat dapat memperkukuhkan strategi pertahanan di pulau ini.

Foto : Atas - TPM meninjau sekitar Layang-Layang. Bawah - Datuk Seri Najib berbual dengan pasangan pelancong di resort.

Kehadiran pasukan khas tentera laut (Paskal) di pulau ini menunjukkan negara begitu komited bahawa Layang-Layang menjadi hak mutlak Malaysia, yang kedaulatannya perlu dipertahanakan.

Malam itu, rombongan dihidangkan dengan BBQ makanan laut, persembahan anggota Navy serta nyanyian karaoke termasuk daripada PAT dan IGP.

Acara terakhir esok harinya, kami disajikan dengan demontrasi ketangkasan Paskal membebaskan tawanan di bangunan menara. Ia kemudian disusuli acara menembak pistol.
TPM dan Ketua Menteri Sabah disertai semua Panglima, Ketua Polis Negara dan anggota media untuk menembak.



Foto : Atas - pertandingan menembak VIP. Bawah - bersama Ketua Menteri Sabah (beliau menghadiahkan kemenangan Juara Menembak Kumpulan VIP berupa voucher belian).

Kejutan buat semua anggota keselamatan yang mengiringi Datuk Seri Najib. Beliau membuat 'spot check' dengan meminta semua 'bodyguard'nya menyertai pertandingan.

Dan keputusannya, melegakan TPM kerana mereka terbukti hebat! Tan Sri Musa Hassan yang gembira dengan prestasi anak buahnya secara spontan berkata, "nasib baiklah, kalau tidak kena posting 24 jam".

Aturcara berakhir selepas jamuan tengahari. Rombongan kemudian pulang dengan tiga pesawat yang berlainan destinasi. Terima kasih kepada penganjur....

Foto : Masa untuk berpisah, terima kasih penganjur.

No comments: