Friday, September 5, 2008

CATATAN PERJALANAN 'OPS PASIR' - 1

10 Ogos :
Bangun awal pagi untuk ke Pangkalan Udara. Seorang pegawai di Kementerian Pertahanan yang dua kali saya minta mengesahkan waktu berlepas berkata, saya perlu berada di situ sebelum jam 6 pagi.

Tetapi setibanya di balai pengawal jam 5:30 pagi, saya diminta menunggu oleh anggota pengawal TUDM sehingga jam 5:50 kerana dikatakan ada operasi pergerakan udara. Tiada laluan ke situ dibenarkan.

Baru saya sedari, rupanya saya diantara mereka yang paling awal tiba. Dan sementara menunggu masa melepasi 'garisan waktu' (LD), saya menyertai jemaah subuh di masjid berhampiran balai pegawal itu. Imamnya berpakaian celoreng dengan pangkat di bahu. Bacaanya tertib dan lunak.

Setibanya di bangunan berlepas, saya disambut oleh sahabat saya, seorang pegawai kanan wanita berpangkat Kolonel. Saya diminta menunggu penerbangan kedua atau VIP Flight pesawat C130 bersama-sama Editor Kanan yang lain termasuk Datuk Wong Chun Wai (Ketua Pengarang Kumpulan - The Star) dan Datuk Syed Nazri Syed Harun (Ketua Pengarang - NST), Zainudin Ayib (Pengarang Eksekutif - Berita Harian) dan Othman Mohamed (Penolong Ketua Pengarang - Utusan Malaysia).

Jam 8:30 pagi, pesawat yang dipandu Panglima Tentera Udara (PTU), Jeneral Tan Sri Azizan Arifffin mula berlepas.

Penerbangan ke Tawau mengambil masa lebih empat jam, iaitu lebih dua jam terkebelakang berbanding pesawat komersil.


PTU diiringi oleh Panglima 2 Div Udara (kiri sekali) selepas mendaratkan C130. Pegawai wanita di depannya ialah Kapt Nazatulrina (ADC PTU)

Dari Tawau kami dibawa menaiki tiga buah bas persiaran yang disewa khas untuk ke Markas Taktikal Kem Wangsa di Semporna.

Rombongan disambut persembahan khas oleh anggota Rejimen Para yang memakai baret meron.

Jamuan tengahari diberikan oleh anggota pasukan Markas Tentera Bersama serta penganjur.
Selepas jamuan, taklimat operasi diberikan oleh Panglima ATB2, Brig Jen Sheikh Mohsein Sheikh Hassan.

Taklimat yang diberi mendedahkan kepada kami mengenai peranan Markas Tentera Bersama dalam menyelaras operasi membabitkan ketiga-tiga cabang ATM termasuk aset mereka.
Antara ancaman yang dihadapi di perairan Sabah adalah kumpulan-kumpulan bersenjata dari Selatan Filipina.

Mungkin kerana beranggapan kumpulan editor kanan tidak lasak atau menjaga status layanan 'VIP", kami kemudian dibawa menginap di Hotel Seafest. Manakala anggota media lain ditempatkan di Hotel Dragon Inn iaitu sebuah hotel terapung diperbuat daripada kayu (yang sebenarnya lebih terdedah dengan pengalaman menarik dan mencabar).

Malamnya kami dibawa kembali ke Kem Wangsa untuk majlis BBQ bersama anggota tentera.
Selain persembahan nyanyian di pentas, tetamu disajikan aksi serangan mengejut ketika persembahan sedang berlangsung.

Lampu tiba-tiba terpadam, dan berlaku letupan dan bunyi tembakan. Persembahan di pentas terhenti, semuanya lintang pukang.


No comments: