Thursday, September 4, 2008

BAKAL HAJI SUDAH MULA BERSIAP



Mengapa Kaabah ada di tengah padang dan siapa mereka? Mereka adalah antara rakyat Malaysia dari sekitar Kajang, Bangi dan Puchong yang bakal terpilih sebagai jemaah haji tahun ini. Bakal jemaah Haji itu ditadbir di bawah Pejabat Haji Daerah Hulu Langat yang berpejabat di Bandar Baru Bangi.

Ini adalah sebahagian daripada latihan amali khursus intensif selama dua hari di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi bulan lalu. Kursus Perdana Haji dijangka diadakan selepas Hari Raya Puasa ini iaitu pada 18 dan 19 Oktober depan. Bakal Haji di Selangor akan mengikuti kursus Perdana di Masjid Negeri, Shah Alam.
Tahun ini Malaysia dijangka menghantar kira-kira 27 ribu jemaah berbanding Indonesia seramai kira-kira 230 ribu orang. Kira-kira 150 ribu orang telah mendaftar untuk menunaikan haji pada ketika ini. Manakala seramai 15 ribu orang telah membuat rayuan untuk menyertai ibadah itu, berbanding 45 ribu orang sebelum ini.
Penerbangan pertama ke Jeddah dijangka pada 30 Oktober ini, manakala penerbangan terakhir pada 2 Disember.
Tabung Haji menetapkan sebanyak RM9,445 untuk kumpulan Muasasah berbanding RM8,973 sebelum ini. Manakala bagi rombongan kendalian agensi atau pakej ia bernilai dalam lingkungan RM14 ribu hingga RM17 ribu. Bagaimanapun terdapat juga pakej istimewa yang bernilai puluhan ribu ringgit. Namun keselesaan dan kepuasan kemudahan ibadah hanya bergantung kepada keizinan Allah.
Berikut anggaran jumlah hari bagi jemaah biasa;
1. Jeddah - 3 hari
2. Madinah - 8 hari
3. Makkah - 18 hingga 26 hari
4. Arafah - satu hari setengah
5. Mudzalifah & Mina - 3 hingga 4 hari