Monday, September 29, 2008
DAH MULA SIBUK RAYA
Bapak menganyam dari jam 8 pagi hingga hampir jam satu petang. Kami yang lain sekadar datang dan pergi membantu bapak. Tapi jenerasi muda ramai yang tak dapat belajar menganyam, walaupun berkali-kali mencuba. Rugi sangat!
Kami dapat menganyam lebih 100 biji dengan pelbagai saiz dan bentuk.
Dalam pada itu Kak Mahah terpaksa mencuri masa menyiapkan baju raya emak. Sebelum balik ke KL, saya juga belajar-belajar menjahit tepi kain membantu Kak Mahah. Seronok jugak! Fayyadh yang teringin mencuba, joint jugak.
Yang memeningkan kepala Kak Mahah banyak tempahan tudung yang belum disiapkan. Design tudung Kak Mahah istimewa. Design idea Kak Midah (Datin Seri Hamidah) itu bagaimanapun telah di 'celuk' oleh Jekel dan sering dipakai dutanya iaitu Ikin (kawan Mawi).
Selasa ini semua adik-beradik dan anak buah serta cucu-cucu berkumpul di sisi emak dan bapak di Tanjung Malim. Kepada Angah dan suami di Kuching, Sarawak jangan sedih! Tahun depan kita dapat berkumpul lagi!
GILIRAN JAGA EMAK
Sabtu dan semalam tiba giliran saya menjaga emak di Tanjung Malim. Kami sekeluarga diajar oleh dua orang jururawat Indonesia, Ratu dan Sastri bagaimana cara merawat emak.
Mereka berdua perlu bercuti hujung mingggu, dan sebagai penganti kami adik-beradik bergilir untuk merawat emak.
Banyak perkara yang perlu diketahui dari segi rawatan dan perubatan.
Kedua-dua jururawat dari Bandung ini amat tekun menjalankan tanggungjawab mereka. Berusia sekitar 22 tahun dan pertama kali merantau ke Malaysia. Ratu sangat meminati kembar saya, Aliyah dan Amirah.
Secara berjenaka ada yang bersuara, mungkin mereka yang 'liat' nak menjaga emak akan kerap datang ke Tanjung Malim selepas ini. Tapi kena jaga hati isteri!
Foto : Di luar tugas - Ratu (kiri sekali), Aliyah & Amirah dan Sastri.
Jadual rawatan : (6 pagi - 12 t/mlm)
6 pagi - feeding (bubur), peptamin, air, buah-buahan.
- medication
- checking vital sign
- nebulizing (ventolin)
- dx stick
7 pagi - sponging & change pampers & cahnge cloth
- exercise & massage
9 pagi - nebilizing (normal saline)
9:30 pagi - flushing
12 t/hari - nebulizing (ventolne)
- feeding
- check vital sign
1 ptg - change pampers
3 ptg - nebulizing (normal saline)
4 ptg - flushing
6 ptg - flushing (ventoline)
- check vital sign
- feeding
- medication
8 mlm - change pampers
9 mlm - nebulizing (normal saline)
10 mlm - medication
- flushing
12 t/mlm - nebulizing (ventoline)
- feeding
Saturday, September 27, 2008
SEMBILAN PAHLAWAN
Antara tokoh yang dipilih dalam bab "Sembilan Pahlawan " itu ialah Adnan Yaakob, Muhammad Muhd Taib, Ahmad Zahid Hamidi, Ahmad Shabery Chik, Shahrir Samad, Ali Rustam, Noh Omar, Ismail Sabri Yaakob dan Shaziman Abu Mansor.
Dalam bukunya beliau menulis, "Ahmad Zahid Hamidi (Datuk Seri Dr.) merupakan seorang tokoh UMNO yang telah mewarnai wajah pemuda UMNO semasa beliau menjadi Ketua Pemuda. Biarpun dia berkesempatan memimpin pemuda hanya dua tahun namun Zahid diingati oleh pemuda sebagai seorang pemimpin yang berprinsip. Dia tersungkur kerana cuba membawa revolusi di dalam sebuah parti yang konservatif. Ucapannya "Memperkasa Daya Tahan Menjana Reformasi" pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda, Jun 1998 akhirnya menjadi rantai mengikat dirinya.
"Nasibnya perisis Hang Nadim yang cuba menyelamatkan Singapura dari langgaran ikan todak. Hang Nadim diikat dan dicampak ke laut kerana kejujurannya ingin menyelamatkan Singapura. Zahid dirantai dengan ISA dan menyaksikan pembelotan rakan pemuda di sebalik dinding penjara. Jeritan REFORMASI di luar penjara yang tiada kaitan dengan Zahid akhirnya menjadi lesen untuk memaksa beliau melepaskan jawatannya.
"Zahid bercakap atas kebenaran yang sukar diterima oleh kepimpinan yang sedang menuju ke arah kediktatoran. Dia telah menatang suara hati rakyat dan ahli-ahli UMNO kepada seorang pemimpin yang sukar menerima sesuatu di luar seleranya. Dia mahu memacu kembali seorang Presiden ke rah slogan awalnya,"Bersih. Cekap. Amanah". Slogan keramat yang tersangat mujarab dan menjerat hati rakyat. Zahid menjadi seribu resah bila slogan keramat itu menjadi hodoh malah bertukar, "Korupsi, Kroni. Nepotisme".
-bersambung
Friday, September 26, 2008
ABANG ZAMAN KIRIMKAN BUKU "KIFARAT MAHATHIR MENUJU DIKTATOR"
Saya mengenali beliau yang lebih mesra dengan panggilan Abang Zaman sejak saya dibangku sekolah.
Pertama kali saya bersua beliau ketika menziarahi bilik kediaman abang Zahid di kolej kediamannya Kolej Kelima Univeristi Malaya tahun 70an.
Ketika itu abang Zaman berambut panjang dan berjambang.
Abang Zaman adalah pemimpin pelajar pada zamannya yang terkenal dengan slogan 'Mahasiswa Mengugat', selain Anwar Ibrahim, Hishamuddin Rais, Ibrahim Ali serta Ahmad Zahid Hamidi.
Anak kelahiran Temerloh, Pahang itu adalah bekas Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) yang pernah ditahan di bawah ISA pada 1975-1976.
Abang Zaman pernah bertanding dalam pilihanraya umum di Temerloh atas tiket Semangat 46 menentang Datuk Sabaruddin Chik.
Kali terakhir saya bersua abang Zaman ketika Debat Anwar-Sabery Chik di Dewan Bahasa dan Pustaka, itupun tidak sempat berbual.
Sebelum itu kami pernah berbual dan berbincang di bilik wad emak di KBMC bersama rakannya setelah beliau sering menelefon saya untuk bertemu. Itupun bukan perbincangan politik tetapi perkara lain.
Melalui buku ini abang Zaman membicarakan kepemimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad yang disifatkannya sebagai ke arah diktator.
Dalam bukunya beliau menulis, "bertolak dari tindakan Pak Lah menghentikan sungai emas yang mengalir ke kantong penjilat dan pengampunya maka Mahathir pun mulalah menambak dengan mulut celuparnya.
Untuk memenuhi nafsu serakahnya Mahathir sanggup turun dan hadir dalam apapun majlis, sama ada diatur oleh UMNO, parti pembangkang atau NGO. Dia tanpa aib dan malu berterusan menfitnah, memperlekeh, menghina dan mencaci Pak Lah. Seolah-olah dia lupa sepanjang pemerintahannya terlalu banyak dosa dan noda yang telah dilakukannya.
Pak Lah yang bertunjangkan ulamak tidak menjawab dan memalukan Mahatihr. Kalau selain daripada Paka Lah tentulah Mahathir telah mendapat malu. Pak Lah boleh mendedahkan seribu tempayan pekasam busuk Mahathir.
Pak Lah boleh menelanjangi seribu pekung bernanah Mahathir. Kalau Pak Lah berbuat demikian tentulah busuknya terhidu dari kota hingga ke desa. Seluruh ahli-ahli UMNO mengetahuinya. Seluruh rakyat melihatnya."
RAMAI HADIR MAJLIS DATUK SERI SHAFIE APDAL
Saya yang pertama kali berkesempatan hadir, bagaimanapun tidak rasa terkejut. Sebelum ini ramai rakan-rakan dan 'anak buah' bercerita mengenai keistimewaan majlis Datuk Seri Shafie Apdal.
Tahun-tahun sebelum ini jemputan dikehendaki membawa 'kad jemputan' untuk hadir. Saya juga pernah memberikan kad jemputan itu (ketika berada di organisasi besar) kepada seorang kakitangan bilik berita yang memerlukannya, kerana saya sendiri tidak dapat hadir. Kad jemputan itu rupanya amat berharga kepada sesetengah 'mereka'.
Tahun ini Setiausaha Akhbarnya beria-ria menelefon untuk menjemput, walaupun saya tidak mendapat sebarang kad atau surat jemputan rasmi. Kerana kesungguhannya, saya terpaksa mengorbankan masa setengah jam sebelum berita ke udara untuk 'terkejar-kejar' ke majlis itu.
"Ramainya orang, mana tempat?" hati berbisik ketika mula tiba.
Selepas berbuka saya nampak semua Ketua Pengarang (termasuk Karam Singh Walia yang duduk semeja dengan saya) menerima hamper, dan ada sampul istimewa di dalamnya. Begitu juga wartawan yang berbaris panjang menerima 'paper beg' berisi Ang Pau istimewa.
Saya sekadar menjadi pemerhati majlis pemberian hamper itu kerana asyik berbual dengan Ketua Pengarah Istana Budaya, Haji Johari Shaari ( kawan lama semasa bersekolah di Horley Methodist, Teluk Intan).
Hati berbisik lagi, "mungkin organisasi kecil yang saya wakili belum tersenarai lagi kot di pejabat Datuk Seri Shafie Apdal!" Apapun bersyukur kerana dapat menunaikan jemputan itu.
PERHIMPUNAN AGUNG UMNO TANGGUH HINGGA MAC 2009
Pemilihan pucuk pimpinan parti itu yang dijangka pada Disember ini, ditangguhkan sehingga Mac tahun depan.
MT bagaimanapun menetapkan mesyuarat dan pemilihan bahagian-bahagian UMNO yang bermula pada 9 Oktober ini akan diteruskan seperti yang dirancang sebelum ini.
Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberitahu sidang akhbar selepas mesyuarat itu bahawa pertandingan jawatan peringkat tertinggi UMNO pada Mac depan bergantung kepada keputusan mesyuarat bahagian-bahagian yang diadakan bulan depan.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan sama ada akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan Mac depan. Perdana Menteri sekadar berkata: “Terpulang kepada saya.”
Keputusan itu dibuat untuk melancarkan peralihan kuasa antara Abdullah dan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Friday, September 19, 2008
NAJIB SEBAK TINGGALKAN 'MINDEF' SELEPAS 14 TAHUN BERSAMA
Wednesday, September 17, 2008
SURAT TERBUKA KEPADA DSAI DARIPADA SEORANG PENGIRIM
Sebagai seorang ahli politik senior DSAI perlu mengakui hakikat, piliharaya umum telah pun dijalankan, dan majority rakyat Malaysia telah memilih kerajaan yang mereka kehendaki melalui proses demokrasi dan rentetan daripada itu tidak perlu lagi DSAI cuba melakukan satu pakatan untuk menjadikan Malaysia sebagai medan menunjukan kejaguhan berpolitik.
Terimalah hakikat ini secara tenang dan hati terbuka bahawa kerajaan yang ada sekarang ini telah dipilih oleh rakyat dengan 114 kerusi walaupun tidak mempunyai majority 2/3 .
Sebagai ahli politik yang senior sepatutnya tahu apa yang perlu dibuat jika mahu berkuasa iaitu melalui pilihanraya ke 13, bukannya dengan melakukan pidato dan sidang akhbar yang Cuma retorik serta tidak menjanjikan apa-apa kebaikan kepada rakyat Malaysia.
Saya sebagai rakyat Malaysia terasa DSAI hanya terlalu mementingkan survival politik serta diri sendiri dan bukannya nasib rakyat yang memerlukan seorang ahli pembangkang yang disegani dan menjadi kayu ukur serta penilai dalam sebarang rancangan yang dilakukan oleh Kerajaan Malaysia samada bermanafaat terhadap rakyat bawahan atau sebaliknya, kerana melalui tingkah laku DSAI dan rakan-rakan pembangkang hanya akan menjadikan rakyat takut dengan ancaman keamanan yang sekian lama dirasai, serta dengan iklim ekonomi global menambah buruk sentimen ekonomi di pasaran saham tempatan ditambah pula dengan perilaku DSAI akan menyumbang kepada ketakutan pelabur asing untuk melabur di negara ini, ini akan hanya menyusahkan rakyat marhaen jika dilanda kegawatan ekonomi seperti tahun sebelum ini. DSAI dan rakan pembangkang juga harus meletakkan kehormatan kepada pengundi-pengundi yang telah memilih calon mereka, kerana mereka telah melakukan kerja keras sepanjang PRU 12 untuk memenangkan calon masing-masing, tetapi dengan cara DSAI mahu menubuhkan kerajaan melalui memujuk MP kerajaan dari BN jelas menunjukkan DSAI bukanlah seorang yang bermoral tinggi serta menghormati pandangan orang lain, tetapi lebih kepada kuasa dictator kerana sanggup mengenepikan pilihan rakyat, DSAI sebagai seorang muslim pasti amat maklum dengan istilah AMANAH, apatah lagi jika cuba mempengaruhi orang supaya tidak AMANAH dengan apa yang telah diberikan oleh pengundinya ditukar ganti dengan menyertai pakatan DSAI, maka ini pasti menunjukan perilaku seorang muslim yang buruk lagi tidak beretika, mahu tidak mahu DSAI juga akan dianggap sebagai tidak beretika dan berakhlak mulia sebagai seorang muslim.
Janganlah cuba mempermainkan rakyat Malaysia, kerana majority rakyat Malaysia bukan lagi tidak tahu membaca dan menilai, malah DSAI bukan sahaja cuba mempermainkan rakyat Malaysia, tetapi kepada mata dunia , lambat laun orang akan tahu DSAI cuma beromong kosong. Sebagai rakyat Malaysia yang amat cintakan keamanan dan keharmonian kaum serta kestabilan politik negara , berhentilah dari membuat kenyataan kosong serta menggusarkan majority rakyat Malaysia dan pikullah tanggungjawab sebagai ahli parlimen Permatang Pauh yang pastinya memerlukan perhatian DSAI , terutama rakyat miskin di kawasan DSAI yang memerlukan bantuan kewangan serta perhatian sepenuhnya, jika tidak sekalipun , jadikanlah bulan ramadhan ini sebagai bulan DSAI bermuhasabah kenapa rakyat tidak memilih pakatan rakyat, dan jika itu pun tidak mampu , hormatilah bulan ramadhan sebagai bulan yang majority orang islam menumpukan ibadah puasa sepenuhnya, dan jika itu pun tidak mampu, maka DSAI perlu berdiam diri dan tidak menganggu ketenteraman orang lain beribadah.
Berikanlah tanggungjawab memilih kerajaan kepada rakyat, bukan melalui rundingan sesama ahli parlimen sahaja, sesungguhnya ahli parlimen BN yang telah dipilih adalah dipilih melalui saluran yang jujur serta sempurna, oleh itu hormatilah kehendak rakyat majority bukan kehendak nafsu dan mabuk kan kuasa semata-mata.
Semoga DSAI mendapat taufik dan Hidayah sepanjang bulan ramadhan ini.
16 SEPTEMBER
KHIR TOYO SAH TANDING KETUA PEMUDA
Selain Mohamad Khir, dua lagi calon turut mengesahkan diri untuk bertanding jawatan itu ialah Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Tun Mahathir dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin.
Monday, September 15, 2008
BERBUKA PUASA DAN EMAK KELUAR HOSPITAL
Kami dihidangkan masakan Arab yang ditaja oleh adik saya, Datuk Nasaee dan diuruskan oleh Al dan Nurul.
Seperti lazimnya pada tahun-tahun sebelumnya kami solat maghrib berjemaah yang diimamkan oleh Abang Zahid. Selepas maghrib, bapak memberikan sedikit tazkirah. Antara lain menyentuh amalan membaca tujuh surah-surah yang bermula dengan "Haa Miim".
Terdapat beberapa Hadis Rasulullah s.a.w. mengenai fadhilat dan keutamaan mengamalkan bacaan surah-surah berkenaan. Diantaranya, tujuh surah itu akan berada di hadapan tujuh pintu neraka jahanam dan memohon kepada Allah S.W.T, "Ya Allah! Janganlah Engkau masukkan (ke dalam neraka ini) orang yang percaya kepada aku dan membaca aku'. Ia merupakan peguambela kita di akhirat kelak.
Kami seteruskan solat Isyak dan Tarawih berjemaah.
Hari ini, secara kebetulan Hari Lahir isteri (maaf tak sempat nak celebrite) kami menguruskan emak untuk dibawa ke rumah kakak Mahah di Tanjung Malim.
Suasana pilu dan hiba menyelubungi bilik wad emak yang sudah lebih satu tahun menjadi 'rumah' emak. Ucapan terima kasih saling balas membalas diantara wakil keluarga dan wakil hospital. Pengarah hospital, Dr Ishak Masud turut hadir.
Sebagai tanda terima kasih kami kepada doktor, jururawat dan kakitangan hospital, saya memesankan bunga untuk mereka. Namun itu tidak memadai dengan sumbangan yang mereka berikan untuk merawat emak selama ini.
Kami kemudian berkonvoi mengiringi ambulan yang membawa emak. Turut mengiringi emak, Sister Mastura dari Pusat Perubatan Al-Islam Kampung Baru (dulu KBMC) dan dua jururawat yang didatangkan khas dari Bandung untuk merawat emak di rumah kakak iaitu Ratu dan Sastri.
Sesampainya di rumah kakak, emak kelihatan segar dan sentiasa membuka mata. Kami amat bersyukur. Semuga emak sentiasa gembira dan terus sembuh. Inilah hadiah untuk Hari Lahir isteri. Terima kasih Ina kerana sentiasa memahami....
Sunday, September 14, 2008
ZAHID TAK MAHU SEMBERONO
Minggu lalu ketika berbuka puasa anjuran Bank Rakyat, saya diberitahu beliau sudah menyertai PKR. Semasa berbual dengannya secara berseloroh saya bertanyakan nombor ahlinya tanpa merujuk kepada keahlian PKRnya. Dia hanya tersenyum sinis dan menyatakan keahlian tak penting.
Empat wartawan wanita dari Bernama yang duduk semeja tanpa mengetahui pendirian politik sahabat saya ini, kemudian berdebat mengenai situasi politik negara masakini.
Dan apabila dia menghulurkan kad tanda sebagai Pengarang Bersekutu 'Suara Keadilan', barulah keempat-empat wanita itu faham di sebalik hujahnya tadi.
Dzulkarnain Taib atau dikenali sebagai DT mendakwa nama Zahid Hamidi ada dalam senarai mereka yang melompat. Saya hanya tersenyum sinis, dan bertanya balik kepada DT apa yang mereka boleh bagi kepada Zahid.
Saya katakan, Zahid terpaksa menempuh survival politik sendiri untuk membersihkan nama yang dikaitkan dengannya, walaupun hakikatnya dia tidak pernah mempunyai hubungan itu. Cabaran politiknya sangat hebat sehingga dia dibenam dalam lumpur dan diminta melucutkan jawatan Ketua Pemuda UMNO yang dipilih oleh perwakilan (mungkin cerita sebenar mengenai perjalanan politiknya boleh dibukukan selepas ini).
Namun DT masih begitu yakin dengan 'rampasan kuasa' yang akan berlaku. Kerana pendirian yang dirasakan 'bias', wanita-wanita itu kemudiannya bertanya pula kepada saya mengenai kemungkinan itu.
Saya dengan penuh yakin beserta alasan-alasan tertentu, mengatakan ia pasti tidak akan berlaku.
Semalam, Zahid ditanya pula oleh media pada satu majlis di Kota Bharu mengenai perkara yang sama. Ini petikan laporan daripada Utusan hari ini;
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi secara berseloroh menyatakan kesediaannya 'melompat' ke pakatan pembangkang sekiranya dijamin jawatan Perdana Menteri.
Sebaliknya, jelas beliau, sekiranya 'kerajaan baru' yang didakwa akan diwujudkan oleh pembangkang itu sekadar mampu memberikan jawatan menteri sama seperti yang disandangnya kini, maka impian kosong itu sewajarnya dilupakan sahaja.
"Dakwaan bahawa saya akan melompat adalah mengarut, saya amat bersyukur dengan kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan kepada saya kini, tetapi mungkin akan fikir balik jika pembangkang jadikan saya Perdana Menteri.
"Kalau sekadar menteri juga, baik tak payah tawar kerana saya sekarang pun sudah jadi menteri. Kalau saya melompat bermakna saya menuju ke alam baqa' karier politik saya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Ihya Ramadan Tabung Haji (TH) Kelantan di Dewan Balai Islam Lundang di sini hari ini.
Hadir sama ialah Pengurus Besar Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat Kumpulan Tabung Haji, Abdul Rashid Hussein dan Pengarah TH negeri, Mohd. Norber Kassim.
Ahmad Zahid yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO mengulas mengenai dakwaan bahawa beliau akan menyertai pakatan pembangkang berdasarkan hubungan baiknya dengan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.
Jelas beliau, walaupun pernah bersama Anwar dalam perjuangan politik sebelum ini, matlamat dan cara perjuangan mereka berdua adalah berlainan.
"Cara dia adalah desperado bagi merealisasikan cita-cita politik dengan mengamalkan pendekatan semberono, cara saya lain dan kami tidak sependapat kerana saya lebih menyukai pendekatan politik berhikmah," katanya.
Saturday, September 13, 2008
TAHANAN ISA ZALIMI DIRI SENDIRI
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, dalam tindakan itu, polis tidak menyalah gunakan kuasa mereka kerana ia bertujuan untuk menjaga dan mengembalikan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.
Sehubungan itu, beliau turut berpendapat agar polis memperluaskan lagi penahanan individu yang menyentuh isu sensitif yang mencabar Perlembagaan Persekutuan mengikut ISA dan tidak mengehadkan kepada tiga orang sahaja.
``Tidak wajar hanya dikenakan (akta ISA) ke atas tiga orang sahaja kerana yang timbulkan perkara sensitif ini ramai lagi termasuk pengendali blog.
``Polis telah beri amaran sebelum ini, tetapi tidak diendahkan dan apabila tindakan diambil, maka mereka mengatakan kononnya bahawa polis dan kerajaan zalim. Mereka yang menzalimi diri sendiri kerana tidak mengendahkan amaran,’’ katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Ihya' Ramadan Tabung Haji (TH) Kelantan di Dewan Balai Islam Lundang di sini hari ini.
Semalam, polis menahan tiga individu di bawah akta itu iaitu Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, Pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin dan wartawan wanita Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng kerana mencetuskan isu perkauman dan persengketaan agama.
UTUSAN
CATATAN PERJALANAN "OPS PASIR' - 3
Kami kemudian dibawa menaiki bot pulang semula ke Semporna. Walaupun saya diletakkan dalam kumpulan lain, tapi pada perjalanan kali ini saya memilih untuk bersama-sama krew TV9 iaitu Syed Khair dan Syafinaz. Dan kebetulan dalam bot yang sama krew RTM dan Kol Fadzlette.
Foto : Bot tempur sedia menunggu di Jeti Pulau Danawan untuk membawa pulang kumpulan media ke Semporna.
Dengan tidak disangka, hujan lebat mengiringi kami dalam perjalanan di tengah lautan yang bergelora.
Namun bot tempur milik tentera darat yang dipandu laju terus memecut membelah hujan di tengah lautan, basah dan pucat bagi sesetengah penumpang. Tapi ada juga yang sempat melelapkan mata, mungkin bagi menghilangkan rasa takut.
Foto : Team 'powerboat', bersama-sama krew RTM, Cici (berbaju pink), Kol Lette, Finaz dan Syed Khair
Seorang wanita yang tidak merasa takut dan sentiasa riang dalam perjalanan penuh debaran itu ialah Cici (tak pasti ejaan namanya) atau Nurul Alis Aidil Akhbar dari RTM.
Dia asyik mentertawakan krew lelakinya yang nampak semacam takut dan tidak selesa. Sebenarnya saya hanya baru mengenainya di bot ini. Wanita kecil molek ini rupanya terkenal dengan aktiviti lasak dan kereta lumba. Dia juga sudah 14 tahun bersama dengan RTM. Apabila ditanya mengapa tidak pindah tempat, dia hanya menjawab selesa dan bebas untuk melakukan aktiviti lain.
Sesampainya di jeti Semporna, rupanya baru kami sedari bot yang kami naiki yang pertama sekali tiba. Sebelum itu ketika berlepas ada beberapa buah bot lagi yang mendahului kami lebih awal.
Dari Semporna rombongan dibawa menaikki bas semula ke lapangan terbang Tawau.
Perjalanan lebih satu jam memberi ruang kepada mereka yang masing-masing keletihan untuk melelapkan mata.
Mereka kemudian menyambung tidur ketika dalam penerbangan menggunakan pesawat C130 ke Terumbu Layang-Layang.
Setibanya saya dalam penerbangan pertama, Datuk Seri Najib bersama-sama VIP lain sudah bersantai di pinggir landasan terbang.
Untuk beberapa minit itulah, TPM kelihatan begitu lega, bebas daripada kesibukan tugas hariannya.
Beliau kini berada di sebuah pulau batuan yang dibangunkan menjadi sebuah pulau peranginan dan pusat pertahanan maritim negara, di sebalik tuntutan bertindih yang masih belum selesai.
Ketika saya menjejakkan kaki di terumbu ini kira-kira 10 tahun lalu, landasannya pendek, dan tayar pesawat terpaksa mencecah air sebelum mendarat.
Manakala itu terdapat hanya sepohon pokok tumbuh di pulau ini. Dulu landasan terbangnya dipenuhi dengan burung Layang-layang. Kini setelah kekerapan pesawat mendarat, kumpulan burung-burung itu dipindahkan ke sebuah 'pulau' berhampiran terumbu ini.
Pulau Layang-Layang kini sudah mempunyai sebuah resort dengan lebih 80 buah bilik penginapan. Kadar bayaran secara pakej diantara RM1,000 hingga RM2,000 sehari - mampu menjana industri pelancongan negara, terutama dari kalangan pelancong Eropah.
Kehadiran pelancong asing juga secara tersirat dapat memperkukuhkan strategi pertahanan di pulau ini.
Foto : Atas - TPM meninjau sekitar Layang-Layang. Bawah - Datuk Seri Najib berbual dengan pasangan pelancong di resort.
Kehadiran pasukan khas tentera laut (Paskal) di pulau ini menunjukkan negara begitu komited bahawa Layang-Layang menjadi hak mutlak Malaysia, yang kedaulatannya perlu dipertahanakan.
Malam itu, rombongan dihidangkan dengan BBQ makanan laut, persembahan anggota Navy serta nyanyian karaoke termasuk daripada PAT dan IGP.
Acara terakhir esok harinya, kami disajikan dengan demontrasi ketangkasan Paskal membebaskan tawanan di bangunan menara. Ia kemudian disusuli acara menembak pistol.
TPM dan Ketua Menteri Sabah disertai semua Panglima, Ketua Polis Negara dan anggota media untuk menembak.
Foto : Atas - pertandingan menembak VIP. Bawah - bersama Ketua Menteri Sabah (beliau menghadiahkan kemenangan Juara Menembak Kumpulan VIP berupa voucher belian).
Kejutan buat semua anggota keselamatan yang mengiringi Datuk Seri Najib. Beliau membuat 'spot check' dengan meminta semua 'bodyguard'nya menyertai pertandingan.
Dan keputusannya, melegakan TPM kerana mereka terbukti hebat! Tan Sri Musa Hassan yang gembira dengan prestasi anak buahnya secara spontan berkata, "nasib baiklah, kalau tidak kena posting 24 jam".
Aturcara berakhir selepas jamuan tengahari. Rombongan kemudian pulang dengan tiga pesawat yang berlainan destinasi. Terima kasih kepada penganjur....
Tuesday, September 9, 2008
EMAK AKAN DIPINDAHKAN KE RUMAH KAKAK
Baki seorang jururawat dari Bandung baru tiba kelmarin untuk membantu seorang lagi rakannya merawat emak.
Jumaat ini peralatan rawatan dan perubatan akan dibawa dulu ke rumah kakak di Tanjung Malim. Bilik untuk menempatkan emak sudah disiapkan kakak. Kakak terpaksa berkorban untuk mengemas bilik emak dan menyediakan satu lagi bilik untuk dua jururawat itu.
Ahad ini ketika adik beradik berkumpul untuk berbuka puasa di rumah abang Zahid, perbincangan turut diadakan mengenai penjagaan dan rawatan emak.
Tahun ini kami adik-beradik dijangka beraya di Tanjung Malim bersama emak dan bapak, tidak lagi seperti tahun lalu ketika kami memenuhi ruang di wad ICU emak di Pusat Rawatan Kampung Baru (kini Hospital al-Islam).
Monday, September 8, 2008
CATATAN PERJALANAN 'OPS PASIR' - 2
Diarah untuk bersarapan jam 5:00 pagi, walaupun hotel hanya menyediakan makanan jam 6:15. Saya, Brig Jen Datuk Khairul Bakri Mustafa (Panglima 2 Div Udara - boss TUDM di Sabah) dan Syed Fazilla Dato Syed Hussain (Penerbit Eksekutif ADJ) antara orang terawal bersarapan.
Ketika itu hanya roti kosong dan pembakar roti yang masih sejuk disediakan. Air juice buahpun belum sejuk lagi manakala air panas masih berada di dapur.
Pelbagai topik kami bertiga bualkan termasuk kisah pekan kecil Tapah Road di Perak, tempat asal Brig Jen Datuk Khairul.
Selepas Syed Fazilla beredar untuk 'melepaskan hajat', Laksamana Pertama Syed Zahiruddin Putra Syed Osman (Panglima Wilayah Laut 2 - boss TLDM di Sabah) menyertai kami di meja.
Foto : Atas - Kol Fadzlette dengan Brig Jen Datuk Khairul, Bawah - LH dengan Laksamana Pertama Syed Zahiruddin
Selepas sarapan kami dibawa dengan bot tempur ke Pulau si Amil, iaitu kira-kira sejam perjalanan dari Jeti Semprna di depan hotel penginapan kami. Brig Jen Datuk Khairul dan Laksamana Syed Zahiruddin menyertai kumpulan editor.
Di Pulau Si Amil, kami menyaksikan beberapa penerbangan helikopter yang membawa pegawai-pegawai kanan tentera dan polis.
Antara yang menyertai penerbangan pertama, skot saya di RMC, Brig Jen Masrani Paiman (Panglima 5 Bgd. - boss Infantri di Sabah) yang berpangkalan di Kota Kinabalu.
Selesai demontrasi kami dibawa menaiki bot serang ke Pulau Danawan.
Foto : Bot tempur milik APMM yang membawa media ke Pulau Danawan
Datuk Seri Najib pula dibawa menaiki helikopter dan mendarat di padang sekolah. Persembahan tarian kebudayaan masyarakat suku Bajau Laut menyambut TPM.
Sebelum sidang media berlangsung, kumpulan Sapura pula mengambil kesempatan mengadakan demontrasi sistem komunikasi kepada TPM. Walaupun tiada di dalam aturcara lawatan, peruntukan masa 15 minit kepada Sapura berlanjutan sehingga lebih setengah jam. Hadirin yang lain turut gelisah!
Bagi mereka yang 'berhajat besar' pula, terpaksalah mempercepatkan langkah ke Kem Singgah yang mengambil masa berjalan kaki kira-kira setengah jam.
Nasib baiklah ada air yang tinggal sebaldi dua untuk dibuat cucian. Lega rasanya.......