Monday, March 10, 2008

TSUNAMI MELANDA POLITIK MALAYSIA







Kedua-dua foto ini yang memperlihatkan tiada pengundi mengunjungi pondok barong DAP dan PAS di Puchong tidak mengambarkan sentimen politik sebenar.

Itulah Tsunami yang melanda politik negara yang disifatkan oleh kebanyakan orang, apabila mereka memperkatakan mengenai keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 sabtu lalu.

Empat negeri di pantai barat semenanjung jatuh ke tangan pembangkang. Dari utara dengan Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor kini kerajaan negeri diterajui PAS, DAP dan PKR.

Hakikat itu harus diterima oleh semua pihak sama ada pucuk pimpinan parti politik khususnya Barisan Nasional dan rakyat umum. Arus perubahan itu sudah lama berlaku, hanya mungkin ia tidak diambil peduli oleh mereka yang berkenaan.

Isu kenaikan harga barang dan minyak hanya sekadar digembar-gemburkan. Tetapi mereka harus pandai menterjemahkan maksud sebenar rakyat. Mereka menuntut perubahan dalam pengisian politik tanah air.

Di Selangor sebuah negeri yang paling maju di Malaysia, BN hanya mampu mempertahankan 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Parti Keadilan Rakyat yang sebelum ini tiada taringnya di negeri ini kini menguasai 15 kerusi, diikuti DAP 13 dan PAS 8 kerusi.

Usaha untuk berkompromi bagi mengekalkan kelangsungan politik Melayu di Selangor di antara BN dan PAS dikatakan berlaku. Namun ia amat sukar untuk direalisasikan dengan sikap angkuh PAS selepas mendapat sejumlah kerusi itu.

Pagi semalam seorang kakitangan pejabat
Menteri Besar memberitahu saya, beliau sedang berkemas-kemas untuk mengosongkan pejabatnya. Walaupun PAS hanya memenangi 8 kerusi berbanding rakannya yang lain, tetapi penyokong parti bulan itu sudah tidak sabar-sabar untuk memasuki pejabat MB. Pasukan keselamatan ditempatkan di luar pintu pagar pejabat itu. Walaupun jarang berlaku ia dianggap sebagai kawalan keselamatan biasa.

PKR pula sudah berkerat rotan, yang pasti Setiausaha Agungnya Tan Sri Khalid Ibrahim sudah mempersiapkan diri untuk mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar hari ini. Kerajaan campuran yang ditubuhkan di Selangor merangkumi PKR, DAP dan PAS.

Pengerusi Badan Perhungan UMNO Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo yang beberapa kali menunda sidang medianya hari ini akhirnya menangguhkan terus majlis itu.

Sesetangah pihak menjangkakan BN amat sukar untuk mengambil semula negeri maju ini untuk tempoh dua atau tiga penggal lagi. Segalanya ada di Selangor untuk dimanipulasikan bagi memperkuatkan parti, setelah kuasa di tangan mereka.

Ahli-ahli perniagaan di Selangor yang berpaut dengan BN kini antara golongan yang paling ‘cemas’ selain pemimpin politik parti komponen itu. Segala-galanya akan berubah.

Di Puchong, kerusi Parlimen kini bertukar tangan daripada Lau Yeng Peng (BN-Gerakan) kepada Gorbind Singh Deo (DAP). Satu daripada dua kerusi DUN yang dipertandingankan iaitu Kinrara, telah dirampas oleh Teresa Kok (DAP) daripada Dr Kow Cheong Wei(BN-MCA).

Pengerusi BN Bahagian Puchong, Datuk Dr Satim Diman (BN-UMNO) yang mengekalkan kerusi DUN Sri Serdang dengan majoriti hanya 45 undi, kini diimpit oleh kedua-dua wakil rakyat DAP itu.

Dengan perubahan kerajaan di Selangor dan wakil rakyat di Puchong itu, mampukah projek LRT yang dikatakan akan bermula hujung tahun ini dapat dilaksanakan.

Projek bagi mengurangkan kesesakan dan kemudahan pengangkutan awam itu dilaporkan sebagai lanjutan laluan dari Bukit Jalil hingga ke Putra Height. Laluan LRT dengan 12 stesen hentian itu dijangka siap pada tahun 2011.

Keraguan turut terpancar di fikiran penduduk minoriti Islam di Pusat Bandar Puchong yang sedang menyaksikan pembinaan sebuah masjid dan sekolah agama di atas sebuah bukit di taman itu, hasil usaha UMNO.

Mampukah Gorbind Singh dan Teresa melaksanakan projek seumpama itu untuk empat atau lima tahun akan datang di kawasan dengan 73 peratus penduduknya berketurunan Cina?.

Dapatkah penduduk Puchong yang dikelilingi tujuh pintu tol menikmati pelepasan bayaran tol setelah DAP menguasai kawasan itu?

Mampukah ahli-ahli PAS di Puchong menikmati penurunan harga minyak dan barangan setelah mereka mengundi DAP? Dan dapatkah mereka melihat nanti tiada lagi taukeh Cina menjual daging kinzir berhampiran markas ‘sementara’ mereka di sebuah rumah yang dijadikan Tadika PASTI?

Dan pagi tadi rakan saya yang aktif dalam PKR dan lama tidak menghubungi saya tiba-tiba menelefon dan saje-saje bertanyakan mengenai PRU yang ramai sudah tahu keputusannya. Manakala Setiausaha kerja UMNO Bahagian pula menghantar SMS sebentar tadi yang berbunyi, “salam…sila keluarkan barang-barang dari dewan masyarakat masing-masiing dengan segera dan komputer diselamatkan”.

Semuga kerajaan baru di Selangor dapat memberikan kemakmuran kepada rakyatnya.

(Berlainan fahaman tetapi tetap sama)

2 comments:

Unknown said...

Sekiranya tsunami melanda bumi, tentunya ada hikmah dan pengajaran yang boleh kita ambil. Allah menguji manusia dengan pelbagai cara, salah satunya memberi kuasa sebagai amanah.
Khir Toyo pernah dengan sombong mahukan pembangkang sifar, meroboh rumah setinggan rakyat, meroboh surau, juga kuil paling lama, memberi hadiah penyapu kepada ketua jabatan, membuang mufti, selain mengharamkan penceramah seperti Dr. Harun Din di masjid-masjid Selangor. Inilah yang diterima oleh rakyat Selangor.

Diharapkan juga media perdana, termasuk TV dibawah Prima Media yang dipunyai UMNO juga akan berubah ke arah lebih terbuka, jangan terlalu sempitkan pemikiran dengan propaganda UMNO dan hiburan popular melulu yang banyak menyesatkan akidah serta keimanan.

Luaskan skop pemikiran Melayu, kalau tidak melalui TV3, melalui TV9 dengan program ilmiah yang menerapkan pemahaman Islam dalam globalisasi.

Keuntungan jutaan ringgit hasil dari pengiklanan dan program maksiat tidak berkat untuk semua.

Buat ahli UMNO (Baru), inilah masanya untuk menilai kembali kepimpinan yang sudah ditolak rakyat. Kalau dibiarkan boleh mengkuburkan UMNO (Baru) setelah UMNO (Lama) terkubur oleh mahkamah!

LEKLOOK said...

Sdr Fudzail, setuju! kita perlu muhasabah diri dan tidak angkuh ketika berkuasa walau dengan tiket parti apa pun sekali.