Wednesday, March 26, 2008

BN SUSUN STRATEGI TAWAN SEMULA SELANGOR

Kekalahan Barisan Nasional (BN) di beberapa negeri pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu termasuk Selangor, mencetuskan idea baru bagi menyusun semula strategi bagi merampas semula pemerintahan daripada pembangkang.

Kerajaan campuran PKR, DAP dan PAS di Selangor dikatakan tidak akan menggunakan pendekatan seperti di Terengganu dengan menukar semua orang BN dengan orang PAS dalam semua agensi kerajaan negeri. Kesannya rakyat marah dan Terengganu di bawah kerajaan PAS hanya bertahan sepenggal sahaja.

Sebaliknya kerajaan pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dikatakan akan melaksanakan pendekatan yang lebih berhati-hati.

Dengan formula 4-3-3 dalam barisan exco yang memperlihatkan PKR-4, DAP-3 dan PAS-3, ia mengambarkan PKR tidak mempunyai kuasa penuh.

Kebanyakan jawatan penting exco dikuasai DAP dengan ADUN Kinrara, Teresa Kok memegang jawatan exco kanan bergaji Timbalan Menteri Besar. Jawatan Timbalan Menteri Besar tidak akan diwujudkan tetapi diselindungi dengan portfolio exco kanan itu.

Selain itu seorang lagi exco DAP, Ronnie Liu yang memegang portfolio Kerajaan Tempatan mahu PBT di bandar-bandar seperti Majlis Perbandaran Subang Jaya, (MPSJ) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) diterajui kalangan masyarakat Cina.

Pentadbiran PBT itu juga dikatakan secara perlahan-lahan akan menghapuskan fungsi Jawatan Kuasa Penduduk (JKP) dan Jawatakan Kuasa Kerja Kampung (JKKK) yang dianggotai pemimpin politik akar umbi BN. Jawatankuasa baru kemungkinan akan dilantik dikalangan pemimpin PKR, DAP dan PAS.

Namun bagi jentera BN, semua jawatankuasa lama itu masih dikekalkan secara tersembunyi dan akan diserap di bawah kementerian yang diterajui menteri kabinet dari Selangor.

Anggota JKP akan diserap di bawah agensi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan manakala JKKK akan diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah.

Dan bagi melaksanakan misi menawan semula Selangor, satu-satunya calon BN yang memenangi kerusi DUN di kawasan bandar yang kini dilantik sebagai Timbalan Ketua Pembangkang, dikatakan akan dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di bawah Kementerian Kerja Raya.

Bagaimanpun PKR kini dikatakan sedang giat untuk menubuhkan cawangan-cawangan parti itu di Selangor dengan menawarkan RM10 ribu bagi setiap cawangan, manakala masing-masing RM2 ribu untuk penubuhan cawangan wanita dan pemuda.

No comments: