PUTRAJAYA 27 Mac – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Zahid Hamidi berazam menyatukan idea golongan agama dan profesional di jabatan serta majlis agama Islam negeri supaya Islam dilihat sebagai adil, cekap dan selamat.
Beliau berkata, usaha tersebut perlu memandangkan masyarakat umum sering memberi persepsi negatif terhadap golongan yang menguruskan jabatan, agensi atau institusi agama Islam.
Katanya, ia juga sejajar dengan matlamat untuk menambah baik pendekatan yang diguna pakai dalam melaksanakan program berkaitan Islam.
‘‘Soal-soal yang berkaitan sikap jumud, kelambatan dan kelewatan menangani pelbagai isu yang berbangkit sering dilontarkan kepada kami.
‘‘Saya harap dapat menemui titik pertemuan antara dua golongan itu supaya apa juga perancangan yang ditetapkan oleh kerajaan dapat dilaksanakan sebaik mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis serah tugas daripada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdullah Md. Zin di sini hari ini.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata, kakitangan berkenaan diingatkan supaya mengubah sikap dan pemikiran mereka agar ia selari dengan tanggungjawab yang telah digariskan oleh kerajaan.
Menurutnya, mereka yang tidak sependapat dengan kerajaan, seharusnya bersedia untuk meninggalkan organisasi tersebut.
‘‘Saya bukan bagi amaran tetapi ingatan kepada kakitangan supaya bersama-sama melaksanakan tugas dan tanggungjawab terhadap apa yang diputuskan oleh Kabinet.
‘‘Mereka juga perlu bekerjasama dan menterjemahkan usaha untuk memulihkan kembali persepsi negatif masyarakat terhadap mereka,” katanya.
Sumber : Utusan Online
No comments:
Post a Comment