Saturday, March 1, 2008

PEMBANGKANG TIDAK DISEKAT GUNA MEDIA

BAGAN DATOH - Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah menyekat parti-parti pembangkang daripada menggunakan media untuk menyampaikan maklumat kepada orang ramai.

"(Parti-parti) pembangkang mempunyai medium media sendiri untuk menyampaikan maklumat kepada khalayak dan pengundi tanpa disekat oleh kerajaan... jika kerajaan menyekat bolehlah pembangkang menuduh kerajaan tidak adil memberi peluang kepada pembangkang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Sungai Balai di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Pas bahawa BN memperalatkan media arus perdana dalam kempen pilihan raya dengan menyiarkan propaganda jahat.

Dakwaan itu disangkal oleh Ketua UMNO Bahagian Datoh itu yang berkata, media arus perdana hanya melaporkan berita tetapi media parti pembangkang lebih bebas menghentam kerajaan, membangkitkan perkara yang tidak wujud, fitnah dan melanggar etika kewartawanan.

Parti-parti pembangkang sebenarnya lebih bebas kerana mempunyai saluran media sendiri melalui media cetak dan elektronik, katanya.

Beliau berkata isu yang dibangkitkan oleh parti pembangkang mengenai media diperalatkan adalah cerita basi yang akan ditimbulkan setiap kali pilihan raya umum diadakan.

"Kita tahu mereka ada blog sendiri untuk menyampaikan maklumat yang tidak baik kepada khalayak dan sangat sedikit laporan yang positif disampaikan," katanya merujuk kepada penggunaan Internet yang sebagai satu lagi saluran pembangkang menyampaikan maklumat.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata saluran berita Bernama TV yang memulakan siaran 24 jam hari ini merupakan kejayaan yang membanggakan kerana ia telah berjaya dilancarkan dalam masa yang singkat.
Katanya berita yang dipaparkan oleh Bernama TV sangat berkualiti dan perlu diperluaskan lagi liputannya ke seluruh negara.

"Pemberita di negeri dan daerah perlu menggunakan peralatan terkini yang canggih dan dapat melaporkan berita dalam kadar segera," katanya.

Saluran Berita 24 jam, tujuh hari seminggu, Bernama TV disiarkan melalui saluran 502 Astro.
- Bernama

No comments: