Saturday, March 1, 2008

ANTARA BAGAN DATOH, PUCHONG DAN TV9

Menjelang hari mengundi 8 Mac ini kempen pilihan raya semakin rancak diatur. Namun saya berada dalam dilemma di tengah-tengah pelbagai aktiviti itu.

Sebagai adik kepada seorang calon Parlimen saya harus membantu beliau berkempen atau sekurang-kurangnya hadir dan balik kampung memberikan sokongan moral.

Tetapi saya tidak dapat melakukan perkara itu sepenuhnya. Ketika hari penamaan calon 24 Februari lalu, hanya saya seorang daripada adik beradik yang tidak balik.

Saya berada di Pengkalan Chepa kerana tugas. Membantu krew berita untuk memberi maklumat kepada seluruh rakyat Malaysia mengenai proses penamaan calon di Kelantan.

Saya hanya sempit menjenguk ke Bagan Datoh sehari selepas saya sampai di Kuala Lumpur. Banyak kerja yang harus dibantu rupanya, walaupun ramai orang Datuk Zahid sudah bertandang di Sungai Nipah Darat.

Walaupun tidak sampai 24 jam berada di kampung, sekurang-kurangnya saya dapat jugak mengetahui kekurangan yang perlu diatasi. Dan hari ini selepas merasmikan sukan tahunan sekolah bagi mewakili calon Parlimen Puchong, Lau Yeng Peng saya terpaksa bergegas ke Bagan Datoh. Cuti dua hari harus dimanfaatkan sepenuhnya!

Semalam selepas habis bertugas jam sembilan malam, saya terpaksa bergegas ke Bilik Gerakan UMNO cawangan Pusat Bandar Puchong bagi mengatur majlis ceramah di kawasan lapang berhampiran.

Sebagai Timbalan Pengarah Penerangan Jentera Pilihan Raya DUN Sri Serdang dan Timbalan Ketua Penerangan UMNO Bahagian Puchong, saya turut ditugaskan mengatur jadual majlis ceramah di semua Pusat Daerah Mengundi (PDM).

Selain Uztaz Hamdan, seorang pendakwah bebas yang dikenali di Puchong, saya turut membawa seorang bekas pemimpin pelajar iaitu Amran Zakaria. Ucapan Amran yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Amal Islam Hadhari (Damai) sungguh bertenaga walaupun kerusi yang ada melebihi mereka yang hadir. Turut memberi ucapan sudah tentu calon yang bertanding, Datuk Dr Mohd Satim Diman DUN Sri Serdang dan Lau Yeng Peng bagi Parlimen Puchong.

Ramai orang menyangka tugas politik mendapat habuan lumayan pada pilihan raya ini. Namun bagi saya, setakat ini tidak ada satu senpun yang saya terima selain ia hanya sebagai tanggungjawab sosial sahaja.

Minggu depan tugas semakin sibuk apabila saya terpaksa menumpukan kepada kerja-kerja penerbitan TV menjelang malam keputusan pilihan raya.

Walaupun minat dan hajat untuk hadir di Bagan Datoh dan Puchong bagi membantu jentera pilihan raya pada hari mengundi amat tinggi, ia terpaksa dikuburkan demi tugas – kerana itulah periuk nasi saya dan keluarga. Dan itulah fenomena yang berlaku kepada saya sejak beberapa pilihan raya umum lalu.

No comments: