Sunday, March 16, 2008

EJEN BEBAS DI AKAR UMBI

Sudah seminggu keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 menjadi polimik. Pelbagai andaian juga turut dikeluarkan mengenai kekalahan Barisan Nasional di lima negeri.

Kemelut penubuhan kerajaan di negeri yang dimenangi BN seperti Perlis dan Terengganu turut mewarnai kekalutan yang memang sudah berlaku di negeri yang dimenangi pembangkang. Namun mesej yang diberikan kepada pucuk pimpinan masih tidak telus, dan banyak kemunafikannya.

Puncanya kerana masing-masing hendak menjaga periuk nasi sendiri. Namun pucuk pimpinan seharusnya tidak bergantung kepada sumber-sumber itu sahaja. Ejen-ejen bebas sepatutnya di letakkan di peringkat akar umbi.

Apabila laporan ejen-ejen itu diterima nanti barulah diketahui, kekalahan BN bukan sahaja kerana harga barang naik dan harga minyak naik tetapi turut disebabkan kemarahan rakyat naik.

Rakyat marah kerana pucuk pimpinan tidak dapat membaca mesej yang disampaikan mereka. Pemimpin syok sendiri dengan calon BN yang mereka pilih. Pemimpin syok sendiri dengan kenyataan penuh retorik. Pemimpin syok sendiri dengan rancangan pembangunan ekonomi yang tidak jelas kemajuannya.

Tetapi ejen-ejen itu juga mungkin memberi laporan begini; “Jangan khuatir, itu adalah kesan kemarahan sementara daripada rakyat yang diterjemahkan melalui undi pilihan raya. Bukan sangat disebabkan kekuatan pembangkang”.

“Pilihlah calon yang ternyata berwibawa, bukan kerana hendak mengenang budi walaupun sudah di penghujung senja. Ataupun pilihlah calon baru yang benar-benar dapat menang bergaya daripada calon muda yang hanya untuk menguatkan kelangsungan politik individu sahaja. Lenyapkanlah ‘kabinet dapur’ yang tidak memberi apa-apa kelebihan kepada parti dan negara.”

Jangan salahkan Perdana Menteri seorang sahaja. Rapatkan barisan. Perjuangkan nasib bangsa tanpa ada agenda politik sampingan. Perbanyakan individu ‘politik khidmat’ daripada individu ‘politik poket’.

Kurangkan pemimpin politik gelabah yang takut punca rezeki hilang daripada membela nasib bangsa yang hilang. Ada pemimpin politik baru sekarang hendak menghubungi kawan, walaupun sebelum ini kawan di sebelahpun tak nampak kerana sudah berkereta besar.

Sekarang baru tahu langit tinggi rendah. Tapi yang sakit bangsa sendiri!

1 comment:

Unknown said...

Peranan media massa kepunyaan UMNO (Media Prima, Utusan), MCA (star), MIC, kroni (Astro) dan kerajaan (RTM, Bernama) mesti mengubah sikap. Lebih terbuka, telus, berterus-terang dan adil dalam menyampaikan mesej kepada kepimpinan negara. Bukan mengampu, putar-belit, berbohong dan berat sebelah dengan menjadikan pembangkang seolah-olah musuh negara, agama dan bangsa. Yang buruk mengenai kerajaan tidak pernah disiarkan seperti yang baik mengenai pembangkang dihitamkan atau diselewengkan kearah negatif.

Media massa yang bebas adalah sebahagian dari tuntutan ISLAM dan demokrasi. Ingatlah pendukung media yang setiap kita akan dipertanggungjawabkan di akhirat, masa di dunia kita boleh jadi munafik, tetapi berdepan dengan ALLAH nanti, bukan UMNO, bukan wang, bukan gelaran Dato' dsbnya yang boleh menyelamatkan diri.

Kepimpinan negara diperangkap oleh propaganda dan slogan buatan sendiri, manakala yang mengelilingi mereka lebih berjuang demi survival diri dari umat!

Lantas, masa untuk berubah, ubah sebelum parah, ubah demi maruah!