Tuesday, March 18, 2008

KU LI HANTAR SURAT KEPADA PEMIMPIN AKAR UMBI

Begitu bersungguh-sungguh Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Hari ini saya mendapat surat daripada beliau bertarikh 12 Mac 2008. Surat itu juga diberikan salinannya kepada semua Ketua UMNO Bahagian seluruh negara, semua AJK Bahagian seluruh negara dan semua Ketua Cawangan UMNO seluruh negara. Ia dihantar melalui syarikat penghantar cepat ke pejabat UMNO Bahagian.

Antara kandungan dua muka surat itu, beliau mahu seluruh ahli UMNO bermesyuarah dan bermuhasabah setelah mengalami keaiban, hasil daripada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 yang lalu.

Menurut Tengku Razaleigh, dalam tahun 2004 UMNO (termasuk UMNO Sabah) mempunyai 107 kerusi Parlimen daripada 219 kerusi. Selepas PRU-12, suara UMNO dalam Parlimen jelas kecil sekali, berada di tahap yang sangat menyedihkan.

UMNO kini merupakan suara minoriti dalam Parlimen. UMNO tidak merupakan kuasa politik yang kuat lagi. “Air mata saya hampir menitis mengenangkan kisah ini, ” menurut beliau dalam suratnya.

“Lebih malang lagi, selepas PRU-12 BN kehilangan empat negeri, Pulau Pinang, negeri Presiden kita sendiri, (yang jatuh ke tangan DAP, parti perkauman Cina), Kedah (jatuh ke tangan PAS), Perak (jatuh ke tangan DAP walaupun orang dari PAS menjadi MB-nya), dan Selangor (yang didominasi oleg wakil rakyat bukan melayu dari DAP ditambah dengan wakil rakyat bukan Melayu dari PKR, walaupun MB-nya Melayu)”, tambah surat itu lagi.

Beliau seterusnya mahu ahli-ahli UMNO tidak menyalahkan satu-satu pemimpin sahaja dalam masalah ini. Beliau mahu setiap ahli UMNO tidak membiarkan pemimpin itu melakukan kesilapan itu sebelum ia terjadi.

“Ini tanggungjawab kita bersama,dari peringkat Cawangan dan Bahagian hingga ke peringkat Majlis Tertinggi UMNO,” kata Tengku Razaleigh.

Memandangkan betapa penting dan mendesaknya perkara ini, Tengku Razaleigh mengesyorkan supaya semua Bahagian UMNO dengan menggunakan peraturan yang ada dalam perlembagaan UMNO, iaitu Fasal 14.6.1 dan Fasal 8.5.3, meminta atau mendesak diadakan Perhimpunan Agung Khas untuk membincangkan perkara ini sebelum Persidangan Agung UMNO tahunan diadakan dalam tahun ini.

Beliau mencadangkan tarikh Perhimpunan Khas UMNO itu diadakan pada 11 Mei 2008 sempena hari ulangtahun UMNO supaya perkara itu mendapat perhatian segera semua perwakilan UMNO sebelum semua ahli UMNO lupa dan terlambat.

Dan hari ini juga saya menerima sepucuk surat yang di alamatkan ke rumah. Sampul surat putih dan bersetem itu mengandungi salinan surat Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir kepada Perdana Menteri yang semua orang telah sedia maklum isi kandungannya.

No comments: