Seorang anggota Majlis Tertinggi Umno hari ini membidas sikap kepimpinan DAP yang disifatkan sebagai angkuh terutama apabila Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mahu menghapuskan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) di negeri itu.
Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga anggota Parlimen Bagan Datoh turut menyelar keputusan awal penasihat DAP Lim Kit Siang yang cuba memboikot istiadat angkat sumpah pelantikan Menteri Besar Perak.
Katanya sikap keterlaluan dan melampau ini seolah-olah mengundang api perkauman supaya disemarakkan di samping tidak menghormati aspirasi negara bagi menterjemahkan semangat DEB untuk terus dilaksanakan.
Beliau berkata walaupun Lim Kit Siang sudah memohon maaf dan akur untuk menghadiri majlis angkat sumpah, namun langkah itu "sudah terantuk baru tengadah".
"Sebagai rakyat Malaysia yang taat kepada institusi Raja dan menghormati dasar-dasar negara, kita rasa terpukul dengan keangkuhan DAP yang seolah-olah mengundang api permasalahan kaum," katanya dalam satu kenyataan.
"Sikap yang keterlaluan dan melampau ini seolah-olah mengundang api perkauman supaya disemarakkan dan memang benar telahan umum selama ini DAP merupakan parti cauvanis yang bertopengkan konsep Malaysian Malaysia," katanya.
Lim baru-baru ini berkata pentadbirannya tidak akan meneruskan pelaksanaan DEB di Pulau Pinang, manakala semalam Kit Siang pula mengarahkan wakil-wakil rakyat DAP di Perak supaya tidak menghadiri istiadat mengangkat sumpah wakil PAS Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak hari ini.
-- BERNAMA
2 comments:
Tuduhan Zahid Hamidi terhadap Lim Kit Siang sebagai biadap terhadap Istana Perak, kerana tidak menghormati perkenan Sultan atas perlantikan Ir. Nizar Jamaluddin sebagai MB negeri itu, patut juga dihala dan ditala kepada Shahidan, sekutunya di Perlis.
Apakah Shahidan tidak kurang ajar macam Lim Kit Siang? Apabila enggan akur dengan perkenan Sultan terhadap Isa Sabu sebagai MB yang baru di negeri itu?
Apa pula lebih dan baik ajarnya (sifat berlawan kurang ajar) anak "Kassim Baba" ini yang mengumpulkan para penyokongnya untuk menentang perkenan Sultan itu.
Dia tidak puashati dengan siapapun yang menikamnya, perkenan Sultan patut dihormati. Soal dia marah dengan Radzi Sheikh Ahmad atau Azmi Khalid, itu isu ke 10 yang patut diselesaikannya sendiri.
Setuju!
Post a Comment