Semalam, 11 Mac adalah Hari Lahir emak yang ke-78. Foto yang dimuatkan pada penjuru atas blog ini adalah sempena Hari Lahir emak yang saya ambil tahun lalu.
Ketika pulang ke kampung tahun lalu, emak begitu beriya-iya untuk menyambut hari lahirnya itu bersama-sama pelajar-pelajar Sekolah Tahfiz di belakang rumah yang sudah menjadi seperti cucu-cucunya.
Sebenarnya itulah sambutan hari jadi terakhir emak sebelum jatuh sakit dan masih terlantar di Pusat Perubatan Kampung Baru (KBMC). Saya hanya sempat menemui emak malam tadi bersama-sama anak-anak dan isteri untuk mengucapkan Selamat Hari Jadi.
Pada sebelah pagi sehingga tengahari saya berada di Klang menziarahi kematian Allahyarham Datuk Zakaria Deros. Manakala selepas itu saya terpaksa melaksanakan temu janji dengan doktor di Pusat Perubatan subang Jaya (SJMC).
Ketika berada di sisi katil emak, saya membisikan saat indah ketika sambutan hari jadinya tahun lalu. Daripada riak matanya, emak seolah-olah mendengar dan mengerti apa yang saya bisikan.
Abang Zahid yang tiba lima minit kemudian juga mengucapkan Selamat Hari Jadi untuk emak. Beliau yang tiba gilirannya menemani emak malam tadi tiba lebih awal daripada biasa, selepas menghadiri upacara pengkebumian Allahyarham Datuk Zakaria di Melaka.
Namun beliau beredar beberapa minit kemudian selepas sekumpulan pegawai JASA yang diketuai Ketua Pengarahnya menziarahi emak dan mengadakan perbincangan di luar.
Selamat Hari Jadi Emak!
No comments:
Post a Comment