Wednesday, March 12, 2008
AL-FATIHAH BUAT ABANG Z
KLANG: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang, Datuk Zakaria Md Deros, 62, yang meninggal dunia akibat serangan jantung, awal pagi semalam, selamat dikebumikan bersebelahan pusara ibu bapanya di Tanah Perkuburan Islam Kuala Sungai Baru, Alor Gajah, Melaka.
Jenazah Allahyarham dibawa dari rumahnya di Kampung Idaman, Pandamaran, di sini, ke kampungnya di Kampung Hilir, Kuala Sungai Baru dan disembahyangkan di Masjid Al-Hasaniah sebelum dikebumikan jam 2 petang, semalam. Anak keempat Zakaria, yang juga Ketua Pemuda Umno Klang, Zainuri, 36, berkata Allahyarham pernah berpesan mahu disemadikan bersebelahan pusara ibu bapanya, Md Deros Mohd Sohor dan Saadiah Ahmad.
Zakaria atau lebih dikenali Abang Z, dikatakan mengadu tidak dapat melihat dan sesak nafas kira-kira jam 1.25 pagi, selepas pulang dari Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur untuk mengikuti perkembangan terkini mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno dan Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN).
Doktor yang dipanggil ke rumahnya, mengesahkan Zakaria meninggal dunia pada jam 2.05 pagi, akibat serangan jantung. Isteri Zakaria, Datin Zizah Ngah, anak-anaknya dan beberapa rakan Allahyarham berada di rumah ketika itu. Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah antara orang kenamaan yang menziarahi jenazah Allahyarham di rumahnya.
Turut menziarahi jenazah Allahyarham ialah bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo; Tengku Panglima Diraja Selangor, Tengku Sulaiman Shah Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah; Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Noh Omar; Ahli Parlimen Bagan Datoh yang juga besan Zakaria, Datuk Zahid Hamidi dan Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib.
Zahid yang ditemui berkata, sebelum kejadian, Zakaria yang juga Ketua Umno Bahagian Klang, masih bercerita dan menyuarakan kekecewaannya mengenai kekalahan BN di Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-12 Sabtu lalu serta berharap pemimpin pelapis meneruskan perjuangan.
Muhammad pula tidak menolak kemungkinan kematian Allahyarham berpunca daripada tekanan selepas kekalahan BN. Pada pilihan raya umum lalu, Zakaria yang terbabit dalam beberapa kontroversi termasuk isu pembinaan banglonya, tidak dicalonkan semula mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang, sebaliknya digantikan menantunya, Roselinda Abdul Jamil, tetapi tewas.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop, berkata kira-kira sejam sebelum Zakaria meninggal dunia, seorang lelaki dipercayai mengalami gangguan mental, datang ke rumah Allahyarham untuk mencari Roselinda. Katanya, keluarga Zakaria kemudian meminta bantuan polis selepas gagal memujuk lelaki berusia 41 tahun itu supaya beredar dari pekarangan rumahnya.
"Lelaki itu hanya duduk dalam kereta Kelisa dan enggan menjawab pertanyaan polis. Dia kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang untuk siasatan lanjut selepas berjaya dibawa keluar dari pekarangan rumah Zakaria. "Kami dimaklumkan oleh rakan lelaki itu, dia adalah seorang guru dan sudah berkahwin dengan seorang guru serta mengalami masalah mental," katanya. -Berita Harian Online
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment