Wednesday, March 26, 2008

BANDUNG - DESTINASI POPULAR RAKYAT MALAYSIA

Bandung, Indonesia antara destinasi pilihan rakyat Malaysia untuk membeli belah. Kekerapan rakyat Malaysia ke sana bertambah setelah Air Asia mengadakan perkhidmantan penerbangan terus Kuala Lumpur-Bandung.

Sebenarnya tiada yang terlalu menarik untuk dilawati di Bandung selain membeli belah di Factory Outlet dan Pasar Baru.

Factory Outlet terdiri daripada rumah-rumah banglo yang dijadikan rangkaian gedung perniagaan seakan-akan yang terdapat di Bangsar Kuala Lumpur.

Kawasan bekas kediaman mewah itu sebelum ini dikatakan menempatkan tahanan ketika pemerintahan Belanda. Kini ia dipenuhi gedung perniagaan pakaian pelbagai jenama terkenal dengan harga yang cukup murah.

Barangan yang dijual adalah jenama yang dihasilkan di Indonesia untuk pasaran antarabangsa. Bagaimanapun mungkin disebabkan beberapa ciri yang tidak memenuhi piawaian negara pengimport, barangan itu dijual di rangkaian Factory Outlet itu.

Hujung minggu lalu “Warga Bandung Terkepung” menjadi tajuk utama sebuah akhbar tempatan di sana. Keadaan itu gara-gara ramai warga Jakarta berkunjung ke Bandung untuk membeli belah. Keadaan lalulintas sesak teruk atau lebih dikenali sebagai ‘macit total’ oleh orang Indonesia.

Menurut seorang pemandu pelancong yang dikenali sebagai Irwan, ketika musim cuti sekolah di Malaysia, jalan-jalan di sekitar Factory Outlet di Bandung akan dipenuhi dengan rakyat Malaysia yang membeli belah. Samalah seperti di Makkah dan Madinah apabila rakyat Malaysia mengerjakan umrah pada musim itu.

Seorang rakyat Malaysia memberitahu, dahulu ketika ke Bandung dia sering membeli pakaian (terutama Jeans dan baju) dengan jumlah yang banyak. Dia boleh mendapat keuntungan dua kali ganda setelah menjualnya di Malaysia. Sekurang-kurangnya keuntungan itu dapat menampung kos penerbangan dan penginapan di Bandung. Tetapi sejak adanya penerbangan terus dan semakin ramai orang Malaysia berkunjung ke Bandung, cara itu tidak lagi menjadi amalannya.

Di Pasar Baru pula harga barangannya lebih murah lagi. Ia adalah gedung beli belah sehenti yang menjual barangan berkualiti rendah seakan-akan di Jalan Petaling atau Wisma Yakin di Kuala Lumpur. Namun ia masih bermutu tinggi jika dibandingkan dengan barangan-barangan seumpama itu yang diperbuat dari Thailand.

Namun kunjungan saya minggu lalu lebih tertumpu kepada kerja untuk mencetuskan idea baru melalui pelbagai aktiviti di kawasan tanah tinggi di bumi Sangkuriang. Antaranya program ‘team building’ termasuk menyertai perlawanan “main tembak-tembak” dengan kakitangan pengurusan TV9 diketuai Ketua Pegawai Operasinya, Bukhari Che Muda.


No comments: