Thursday, March 6, 2008

KERUSI PANAS YANG PATUT DIBERI TUMPUAN

Menjelang hari pengundian Sabtu ini, pelbagai andaian dibuat terhadap kawasan yang dianggap 'kerusi panas'. Selain jumlah majoriti yang kecil pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-11 lalu, situasi terkini mengenai geo-politik setempat memainkan peranan.

PERLIS
Terdapat tiga kawasan Dewan Undangan Negeri, yang dikira panas di Perlis iaitu N13 Guar Sanji, N14 Simpang Empat dan N15 Sanglang. Pada tahun 2004, Guar Sanji dan Simpang Empat dimenangi BN dengan memperoleh majoriti masing-masing 145 dan 276 undi. Manakala Sanglang yang dimenangi PAS memperoleh majoriti 45 undi.

KEDAH
Di Kedah kerusi yang dianggap paling panas ialah kerusi DUN N 23 Belantek. Kerusi ini pada Pilihanan Raya lalu dimenangi PAS dengan majoriti 51 undi.

PULAU PINANG
Parlimen P44 Permatang Pauh di Pulau Pinang antara kerusi panas yang turut menjadi tumpuan. Kerusi itu memperlihatkan penyandang Presiden Parti Keadilan Rakyat (pkr) Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ditentang calon sama daripada Barisan Nasional iaitu Datuk Pirdaus Ismail, yang juga EXCO Pemuda UMNO. Pada Pilihan Raya 2004, Datin Seri Dr Wan Azizah hanya memperoleh majoriti 590 undi.

Selain itu dua kerusi DUN yang sebelum ini dimenangi calon DAP iaitu N7 Sungai Puyu dan N31 Batu Lancang turut menarik perhatian.

PERAK
Di Perak selain Parlimen P65 Ipoh Barat, N28 Bercham dan N31 Jelapang yang dimenangi DAP dengan majoriti kecil pada 2004, tiga kerusi lain turut dilabelkan sebagai panas. Tiga kerusi itu ialah P57 Parit Buntar, N11 Gunung Semanggol dan N56 Changkat Jong.

Parit Buntar menyaksikan Ketua UMNO Bahagian Datuk Abdul Rahman Suliman yang kalah dalam pilihan raya umum 1999 bertanding semula dan dicabar Dr Muhajid Yusof, iaitu anak bekas Presiden PAS, Yusof Rawa.

Di DUN Gunung Semanggol penyandang daripada BN, Abdul Muhaimin Abdul Rahman Nazri yang mendapat majoriti 94 undi kali ini ditentang calon PAS, Ramli Tusin. Manakala di Changkat Jong, kerusi itu kali ini diwakili muka baru, Pemangku Ketua Bahagian UMNO Teluk Intan, Datuk Idris Hashim.

SELANGOR
Di Selangor walaupun Pilihan Raya Umum lalu BN menyapu bersih semua kerusi Parlimen dan meninggalkan DUN Sekinchan dikuasi DAP dengan majoriti 344 undi, tumpuan kali ini turut diberikan kepada lapan DUN yang lain.

Lapan kerusi itu ialah N17 Gombak Setia yang memperlihatkan Persuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hassan Mohamad Ali bertanding menentang penyandang daripada BN, Yuszahari Mohd Yusof. Turut diberi tumpuan, N21 Chempaka, N22 Teratai, N26 Bangi (Baru), N28 Seri Kembangan, N34 Bukit Gasing, N16 Batu Caves dan N46 Pelabuhan Klang.

WILAYAH PERSEKUTUAN
Di Wilayah Persekutuan, P120 parlimen Bukit Bintang dianggap kerusi panas dengan penyandang Fong Kui Lun daripada DAP ditentang calon BN, Datuk Dr Lee Chong Meng.

NEGERI SEMBILAN
Dun N88 Bahau dan N12 Temiang di Negeri Sembilan adalah kerusi panas yang masing-masing disandang DAP dengan majoriti kecil kurang seribu undi. Manakala N21 Bukit Kepayang penyandangnya daripada BN pula hanya mendapat majoriti 430 pada tahun 2004.

MELAKA
Di Melaka kerusi Parlimen, P138 Kota Melaka yang sebelum ini dianggap kubu kuat DAP adalah satu-satunya kerusi panas di negeri itu. Pada Pilihan Raya Umum lalu, Kota Melaka ditawan BN dengan majoriti 219 undi. Kali ini penyandang ditentang calon DAP, Wong Nai Chee.

JOHOR
Dun N12 Bentayan di Johor pula satu-satunya kerusi yang dianggap panas di negeri itu. Kali ini calon BN, Lee Ching Yong ditentang calon DAP, Gwee Tong Hiang.

KELANTAN
Kelantan adalah negeri yang mempunyai paling banyak kerusi panas. Selain dua kerusi menjadi tumpuan iaitu N6 Chempaka yang membabitkan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan N21 Perupok membabitkan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, perhatian turut diberi kepada beberapa kerusi lain. Antaranya N1 Pengkalan Kubor, N2 Kelaboran, N13 Chetok, N23 Melor, N26 Bukit Panau, N29 Selising, N31 Gaal, N33 Pulai Chondong, N34 Temangan, N35 Kemuning, dan N41 Manek Urai.

Manakala di peringkat Parlimen, selain P25 Bachok, P22 Pasir Mas dan P26 Ketereh, tumpuan turut diberi kepada kerusi P29 Machang yang sebelum ini hanya memperlihatkan majoriti 135. Penyandang kerusi Machang iaitu Setiausaha Parlimen Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Sazmi Miah ditentang Saiffudin Nasution daripada PKR.

TERENGGANU
Selain Kelantan, Terengganu turut mempunyai banyak kerusi panas. Antaranya Parlimen P37 Marang, dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menentang calon BN, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar.

Kerusi-kerusi DUN lain antaranya N9 Tpuh, N0 Tluk Pasu, N12 Bukit Tunggal, N16 Batu Burok, N22 Manir, N26 Rantau Abang dan N27 Sura.

PAHANG
Di Pahang, DUN N38 Triang menjadi tumpuan dengan calon BN Tan Tin Loon menentang menyandang daripada DAP, Leong Ngah Ngah.

SABAH
Manakala di Sabah DUN N1 Banggi yang memperlihatkan lima calon bertanding, dan N37 Sook dengan empat calon bertanding antara kerusi panas di negeri itu.

SARAWAK
Bagi negeri sarawak yang hanya melibatkan kerusi parlimen, P195 Bandar Kuching dianggap panas. Penyandang Chong Chieng Jen daripada DAP ditentang calon BN, Sim Yaw Yen.

1 comment:

Unknown said...

Alhamdulillah, Allah telah membuka minda dan hati rakyat Malaysia untuk perubahan, ke arah Malaysia yang lebih baik.

Semuga kepimpinan Barisan Alternatif yang baru diberi kemenangan akan terus memegang amanah dan mempertahankan kejayaan, yang mungkin ujian untuk menegakkan demokrasi.

Semuga juga media perdana akan berubah untuk memberi maklumat terbaik, bukan seberat belah dan pembohongan.

Kami rakyat Malaysia di UAE amat bersyukur dengan kemenangan ini.

Fudzail
http://1426.blogspot.com