Monday, November 2, 2009

KENYATAAN MUFTI PERLIS TERHADAP PENAHANAN DR ASRI

KENYATAAN DR JUANDA JAYA, 02 NOVEMBER 2009

Saudara Pemberita/Pengarang
A. KECEWA
1. Saya pasti seluruh Negara gempar dengan peristiwa tengah malam 01/11/09 yang menyaksikan seorang bekas Mufti - suatu jawatan tertinggi agama di Malaysia -Kerajaan Negeri Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abdidin, telah ditangkap oleh pihak berkuasa agama atas alasan tiada tauliah untuk mengajar agama Islam.
2. Seluruh Negara gempar sekali lagi apabila pihak berkuasa agama ini gagal menjalankan tugas pendakwaan yang dijanjikan pada 02 November 2009.
3. Saya amat kecewa kerana insiden seperti ini yang pernah beberapa kali berlaku kepada pihak lain pasti mengaibkan agama Islam dan pihak berkuasa agama, terlebih lagi ia berlaku terhadap seseorang yang sepatutnya dihormati kedudukan keagamaannya, tetapi dinafikan haknya untuk mengajar agama yang mana dia sendiri menjadi rujukan dalam urusan agama.

B. DAKWAH DAN DIALOG
4. Melihat kepada cara penahanan ini dilakukan saya percaya ada perkara yang tidak kena pada pengurusan perkara ini yang nampak lebih bersifat dendam peribadi pihak tertentu yang mahu mengaibkan pihak yang lain melalui permainan salah guna kuasa.
5. Usaha menyebarkan Islam dan memberikan KEFAHAMAN ISLAM YANG SAHIH menurut sumber yang asal daripada al-Quran dan al-Sunnah hendaklah disokong agar umat Islam terus maju ke hadapan dan keluar daripada kepompong taqlid yang memundurkan umat Islam.
6. Pihak berkuasa agama sewajarnya mengambil pendekatan NASIHAT DAN DIALOG secara bersemuka dengan pihak yang tidak disenangi, bukannya menjadikan penggunaan kuasa sebagai cara yang pertama dan utama.

7. Saya mencadangkan agar isu khilaf dibincang secara DIALOG TERBUKA di hadapan pihak berkuasa agama dan KETUA AGAMA NEGERI agar wujud sikap saling menghormati antara satu sama lain, agar dapat dicari mana satu pandangan yang sahih dan sebaliknya.
8. SEJARAH Malaysia sudah mencatitkan perkara khilaf adalah suatu yang lumrah, bahkan pihak Raja-Raja Melayu pernah menuntaskan perkara ini secara yang amat professional iaitu melalui dialog secara terbuka seperti yang pernah berlaku di Istana Kelantan pada zaman TOK KENALI. Ia juga pernah berlaku di Istana Selangor dan Istana Kedah.
9. Agama Islam meletakkan nasihat dan dialog ilmiah (hiwar ‘ilmiy) sebagai cara menyelesaikan masalah. Penggunaan kuasa ada adab dan caranya, apatah lagi terhadap para ulama yang tidak wajar dilayan dan diherdik umpama penjenayah. Apakah wajar wang rakyat dihabiskan sehingga perlu seramai lebih 50 anggota Jabatan Agama dan Polis dibelanjakan untuk operasi menghalang ceramah agama ini?
10. Sewajarnya pemantauan ceramah dilakukan terhadap penceramah yang mencalarkan imej Islam dengan cerita dusta dan dalil daripada hadis palsu serta mengajak umat Islam beramal dengan amalan yang bertentangan dengan al-Quran dan al-Hadis, bukannya menghalang ceramah yang bersifat akademik dan berhujah dengan dalil.

C. TAULIAH
11. Isu TAULIAH MENGAJAR AGAMA adalah isu lapuk yang diwarisi sejak zaman penjajah. Ia adalah suatu peraturan yang BERSIFAT DUA MATA yang boleh membunuh tuannya jika disalahgunakan. Ia akan lebih parah jika ia digunakan oleh pihak tertentu yang berselindung di sebalik kedudukan sebagai penemuduga atau penyemak kelayakan mereka yang hendak diberi tauliah.
12. Suatu yang pasti, mereka yang menapis pemberian tauliah perlu ada ketelusan dari sudut prosedurnya kerana mereka bertindak bagi pihak berkuasa agama dan Ketua Agama Negeri berkenaan. Apakah benar wujud suatu STANDARD DALAM PROSES PEMBERIAAN TAULIAH ini sehingga mereka yang berkelulusan agama dari institusi Tinggi Islam yang diiktiraf pun perlu ditapis dan diselidik? Adalah tidak logik mereka yang lebih rendah kemahirannya untuk menilai kelayakan orang yang lebih tinggi kemahiran daripadanya?
13. Generasi muda Islam semakin berminat dengan penyampaian dakwah oleh generasi muda yang progresif dan berfikiran terbuka. Apakah kerana ceramah seseorang itu menarik demikian ramai orang muda dan memberi kesedaran kepada banyak pihak menjadi punca persoalan tauliah dipertanyakan? Apakah tidak memadai dengan pengiktirafan istitusi pengajian tinggi dan pengiktirafan pihak berkuasa sebuah negeri dalam Persekutuan Malaysia untuk melayakkan seseorang itu mengajar agama?

D. MKI
14. Sudah sampai masanya pihak berkuasa tertinggi Negara iaitu Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam (MKI) yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri bersidang untuk mengkaji semula pengurusan dan peranan agensi yang melaksanakan urusan agama bagi pihak pemerintah dan Raja-Raja Melayu agar pengamalan Islam di Negara ini menepati kehendak al-Quran dan al-Hadis.

DR JUAND A JAYA,
MUFTI KERAJAAN NEGERI PERLIS
Kuching, 02/11/2009

2 comments:

Indera Pura said...

LekLook,
Komen saya berkenaan isu Asri dan dialog ilmiah boleh dilihat di sini.
Wassalam.

leklook said...

Terima kasih Indera Pura