Wednesday, April 1, 2009

SEMBANG-SEMBANG TERAKHIR BERSAMA PAK LAH

Foto : Leklook di belakang kiri PM
Pertemuan semalam di Seri Perdana mungkin akan menjadi pertemuan terakhir Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri dengan editor-editor kanan media arus perdana.

Kira-kira 40 orang editor daripada pelbagai organisasi media - cetak dan elektronik hadir untuk jamuan tengahari.

Sebelum jamuan, sesi sembang-sembang diadakan yang menyentuh pelbagai perkara. (kandungannya disiarkan dalam beberapa akhbar hari ini).

Seperti biasa dalam majlis-majlis seperti ini, Ketua Pengarang Kumpulan NSTP, Datuk Hishammudin Aun, Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Manja Ismail dan Ketua Pengarang The Star, Datuk Seri Wong Chun Wai akan menjadi orang yang paling rapat duduk dengan tokoh utama.

Sembang-sembangnya banyak menyentuh apa yang telah dan akan dilakukan Datuk Seri Abdullah serta harapannya.

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahaya menyentuh mengenai tabiat Pak Lah yang terlalu menghormati tetamu, melayan mereka sehingga sering lambat untuk ke majlis seterusnya.

Menurut Pak Lah itulah tabiat yang sering Allahyarham isterinya, Datin Seri Endon berleteh dengannya.

Apapun sembang-sembang Pak Lah tengahari semalam lebih memperlihatkan aksi seorang ayah yang mahu meninggalkan anak-anaknya.

Selepas sesi sembang, satu laporan mengenai inisiatif dan pencapaian kerajaan dari November 2003 hingga Mac 2009 yang diterbitkan Jabatan Perdana Menteri diedarkan kepada editor yang hadir.

Kami kemudian dijamu dengan hidangan nasi kandar yang disediakan restoran Lotus.

Ketika mengambil hidangan, Datuk Hishammudin sempat bertanya (nada bergurau tetapi mengambarkan isi hati) mengenai siapa di kalangan editor yang akan 'pergi' mengikut Pak Lah.

Manakala seorang pegawai Perdana Menteri pula memberitahu isteri Pak Lah sering berkata, "dari manalah keturunan Pak Lah ni sehingga beliau begitu mengemari nasi kandar dan masakan kari?"

No comments: