Saturday, April 4, 2009

NAJIB MAMPU GALAS CABARAN BESAR

Terima kasih dan Tahniah! Dua ucapan untuk dua negarawan.

Terima kasih untuk Tun Abdullah Ahmad Badawi kerana perkhidmatannya selama lima tahun, lima bulan sebagai Perdana Menteri. Dan lebih 26 tahun berkhidmat sebagai kakitangan awam dan anggota kabinet Malaysia.

Tahniah untuk Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak kerana melangkah ke mercu kuasa sebagai Perdana Menteri ke-6.

Bisikan Paklah kepada Datuk Seri Najib ketika melangkah meninggalkan Kompleks Pejabat Perdana Menteri, "cabaran besar menanti anda di hadapan."

Namun diyakini Datuk Seri Najib mampu mengalas cabaran itu.

Rekod beliau menunjukkan, Datuk Seri Najib mampu membuat perubahan walau ditempatkan di Kementerian mana sekalipun. Ketika di Kementerian Belia dan Sukan dulu pelbagai dasar dan program dilaksanakan sehingga menjadikan kementerian itu menonjol.

Begitu juga di Kementerian Pertahanan. Ramai anggota tentera terhutang budi kerana mempunyai kemudahan perumahan serta kebajikan mereka yang selama itu terabai kini sudah terbela.

Di Kementerian Pelajaran yang sebelum itu diterajui Tan Sri Dr. Sulaiman Daud, Datuk Seri Najib membuktikan keberkesanannya menukar imej kementerian yang dianggap lesu dan tidak 'glamour'.

Saya masih ingat ketika Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan rombakan kabinetnya. Apabila Dr Mahathir mengumumkan Datuk Seri Najib menerajui kementerian itu mengantikan Dr Sulaiman, semua wartawan ketawa sinis. "Pasai apa hampa ketawa?" tanya Tun Mahathir, namun semua wartawan diam.

Tindakan Dr Mahathir tidak melantik Datuk Seri Najib mengantikan Datuk Seri Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri sebenarnya mempunyai hikmah yang tersirat.

Walaupun Datuk Seri Najib ketika itu menjadi Naib Presiden tertinggi undinya, Dr Mahathir sebaliknya melantik Paklah sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Walaupun Dr Mahthir tidak nampak apa yang tersirat di sebalik peluang yang diberi kepada Paklah sebagai orang nombor dua, tetapi sebenarnya ia sebagai ujian besar kepada Datuk Seri Najib.

Ujian supaya Datuk Seri Najib bersabar dalam perjuangan politik serta landasan bagi beliau mengukuhkan pengalaman untuk menjadi Perdana Menteri.

Selama tempoh Paklah menjadi Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib banyak memerhati dan melengkapkan diri untuk mengukuhkan kualiti kepimpinananya.

Akhirnya ketika Paklah dipilih sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri, ahli-ahli UMNO membari laluan mudah kepada Datuk Seri Najib untuk menang tanpa bertanding sebagai Timbalan Presiden.

Dan selepas lima tahun, lima bulan - Datuk Seri Najib mengulangi tuahnya dalam politik apabila dipilih sekali lagi tanpa bertanding sebagai Presiden UMNO dan sekaligus dilantik dan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-6 semalam.

Mungkinkah selepas ini Datuk Seri Najib akan mengikuti tempoh perkhidmatan bapanya sebagai Perdana Menteri, atau mengulangi sejarah Dr Mahathir yang lama memerintah selama lebih 22 tahun?

No comments: