Sunday, April 5, 2009

MASING-MASING TUNGGU KABINET NAJIB

Selepas pilihanraya kecil di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai pastinya rakyat menanti satu lagi keputusan besar.

Barisan Nasional (BN) dijangka menang di ketiga-tiga kawasan itu setelah Perdana Menteri baru, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak melaksanakan tiga langkah drastik selepas mengangkat sumpah jawatan Jumaat lalu. Selepas ini Datuk Seri Najib akan mengumumkan barisan kabinetnya.

Maka kini berlakulah 'harap-mengharap' untuk jawatan kabinet sebelum keputusan muktamad dilakukan Perdana Menteri. Mereka yang menang jawatan tinggi dalam pemilihan UMNO masing-masing mahu menduduki kerusi menteri di kementerian yang paling kanan. Manakala mereka yang menang kerusi Majlis Tertinggi sudah memasang cita-cita untuk dilantik ke jawatan menteri, terutama yang masih menerajui Badan Perhubungan Negeri.

Mungkin juga berlaku pertukaran kementerian kepada menteri yang menang dan naik setakok jawatan di dalam parti.

Menteri Pelajaran mungkin mengharap beliau ditempatkan di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). Manakala Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan juga kemungkinan mahu jika diberi pilihan diletakkan di Kementerian Pertahanan (Kementah).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri mungkin tidak mengharapkan kementerian yang sangat kanan walaupun mendapat undi terbanyak. Beliau mungkin hanya mengharapkan budibicara dan kebijaksanaan Perdana Menteri untuk menentukan kelayakannya.

Kementerian yang kanan seperti MITI dan Kementah walaupun mempunyai 'lubok emas' tetapi ramai dijangka menunggu untuk 'menerkam' mencari peluang. Semua pihak perlu dilayan termasuk yang paling rapat di atas - sehingga menyebabkan tindakan akan menjadi serba salah.

Kementerian yang dianggap mempunyai hubungan rapat dengan massa ialah Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar. Banyak langkah dan dasar boleh dilaksanakan untuk memaju serta membangunkan rakyat melalui kedua-dua kementerian itu.

Dengan jangkaan Datuk Seri Najib akan mengecilkan saiz kabinetnya, beberapa kementerian kemungkinan disatukan semula.

Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi mungkin kembali menjadi satu kementerian. Manakala Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan kemungkinan digabungkan dengan Kementerian Pelancongan atau portfolio Perpaduan (di Jabatan Perdana Menteri).

Selain itu beberapa fungsi bertindih di beberapa kementerian seperti Kementerian Penerangan, Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi serta Kementerian Dalam Negeri akan digabungkan di bawah satu kementerian.

Apapun keputusannya tunggu selepas pembubaran kabinet yang dijangka berlaku Rabu ini dan pengumuman barisan kabinet hari Khamis.

No comments: