Saturday, April 18, 2009

KEKANGAN POLITIK SEBABKAN PENGGUNAAN MASJID DITANGGUH

Kerana kekangan politik, masjid yang sudah siap dibina untuk penduduk di Pusat Bandar Puchong masih belum dapat digunakan.

Ahli jemaah kariah yang bermesyuarat di surau Al-Husna diberitahu masjid itu belum dapat digunakan kerana belum mendapat sijil layak menduduki (CF). Namun jika itu mahu diambil kira beberapa bangunan di sekitarnya sudah lama digunakan walaupun tanpa CF.

Malah sebuah bangunan yang mempamerkan perabot dan menjual kereta mewah terpakai tidak jauh dari lokasi itu sudah lama beroperasi tanpa CF. Sebuah sekolah di atas bukit bersebelahan yang sudah lebih enam tahun beroperasi juga belum mendapat CF.

Jemaah surau diberitahu semuanya kerana kekangan politik disebabkan peralihan kuasa kerajaan negeri Selangor kepada Pakatan Rakyat.

Usaha jemaah untuk mengadakan gotong royong membersihkan masjid baru itu terpaksa dibatalkan kerana ada 'seseorang' memberi maklumat negatif kepada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Usaha kami hujung minggu lalu menempah permaidani untuk dipasang di dalam masjid baru juga terpaksa ditangguhkan. Bayaran pendahuluan sebanyak RM23 ribu sudah dijelaskan untuk permaidani itu. Gara-gara halangan itu, permaidani yang dibeli belum dapat dipasang.

Antara syarat yang dikenakan untuk jemaah menggunakan masjid itu; perlu mengadakan kereta jenazah dan bukti hak milik kenderaan atas nama masjid berkenaan beserta gambar kenderaan itu.

No comments: