Petikan tulisan : Hishamuddin Aun hishamaun@nstp.com.my (Berita Minggu 25 Mei 2008)
DARIPADA kedudukan antara yang paling dicemburui, Datuk Johari Baharom berubah nasib kepada harus antara yang paling tidak mendapat simpati. Namun, dalam mengimbau rentetan yang membawa kepada keadaan sedemikian sehingga kini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu harus tidak pun menyesali apa-apa.
Selama hampir empat tahun di antara 1999 dan 2003, beliau adalah setiausaha politik kepada Tun Dr Mahathir Mohamad antara orang yang dilihat paling rapat dengan Perdana Menteri ketika itu meskipun ia tidak semestinya demikian. Semua itu, bagaimanapun, berubah pada Julai 2004 apabila Johari yang ketika itu Ketua Umno Bahagian Kubang Pasu sesudah mewarisinya daripada Dr Mahathir, dilabel sebagai tidak mengenang budi. Gara-gara Datuk Mukhriz Mahathir tewas dalam perebutan jawatan Ketua Pemuda bahagian berkenaan, hubungan yang terbina dengan keluarga bekas Perdana Menteri selama bertahun-tahun sebelum itu, turut retak menanti belah.
"(Tun) Dr Siti Hasmah (Md Ali) tidak lagi sambut ketika saya hulurkan tangan untuk bersalam dengannya," kata Johari dalam satu temu bual, "Tun (Dr Mahathir) juga agak dingin dengan saya sejak peristiwa itu." Johari menyalahkan keadaan itu kepada Mukhriz sendiri yang hanya menyatakan hasrat bertanding jawatan ketua pemuda bahagian hanya seminggu sebelum mesyuarat cawangan bermula, di samping tidak pernah mengambil ikhtiar untuk merapati akar umbi. "Saya beritahu kepadanya (Mukhriz) yang dia kena berunding dengan kepemimpinan Pemuda di Kubang Pasu, sebaliknya dia pula kata seboleh-bolehnya dia tidak mahu ada pertandingan. "Memang keluarga Tun kecil hati dengan saya kerana saya mengambil sikap berkecuali. Tapi hati kecil saya sendiri berkata ketika itu yang Mukhriz tak patut bertanding... dia pun tak kenal orang pada peringkat bahagian dan cawangan," katanya.
Barangkali juga Johari ketika itu dilihat sudah berpindah kesetiaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang melantiknya sebagai Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum 2004. Kepada Johari, jika mahu diandaikan keputusan pilihan raya umum 8 Mac lalu sebagai penolakan terhadap kepemimpinan Abdullah, maka keputusan Pilihan Raya Umum 1999 juga wajar diandaikan sebagai penolakan terhadap kepemimpinan Dr Mahathir. Ketika itu, Barisan Nasional (BN) kehilangan sokongan sebilangan besar orang Melayu, walaupun BN menang 75 peratus kerusi Parlimen. Rata-rata diterima ramai ketika itu bahawa undi orang Cina dan India selain Sabah dan Sarawak yang memenangkan BN. Johari mengingati bagaimana peritnya keadaan waktu itu.
Pada ketika Dr Mahathir amat bermuram dan bermurung dengan bahana yang menimpa, terlalu banyak kerja perlu dibuat untuk mengembalikan sokongan orang Melayu terhadap Umno dan BN. Cuma, dari segi perbandingannya, Dr Mahathir amat bertuah dan beruntung. Tiada sesiapa pun, baik di dalam Umno mahupun BN, yang mendesaknya untuk melepaskan jawatan di sebalik hakikat beliau sudah menerajui negara selama 18 tahun. "Pak Lah yang menjadi timbalannya sanggup turun ke setiap ceruk-rantau untuk mendapatkan sokongan terhadap Perdana Menteri. Begitu juga anggota Kabinetnya dan ahli Majlis Tertinggi (Umno), semuanya berganding bahu untuk memulihkan keadaan, bukannya menuding jari untuk menyalahkan sesiapa. "Tapi hari ini kita lihat keadaannya amat berbeza," katanya merujuk kepada pengumuman Dr Mahathir, Isnin lalu, untuk keluar dari Umno dengan alasan hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Umno sekarang, terutama Abdullah, yang didakwanya gagal memperjuangkan nasib bangsa Melayu.
"Seharusnya kita berasa kecil hati dengan kenyataan Tun, apatah lagi kerana beliau terus diberikan sokongan penuh ketika kejutan pada 1999 itu. Kini, beliau pula meminta ahli Umno mengambil tindakan berani untuk keluar parti dan hanya menyertai semula Umno apabila Datuk Seri Abdullah melepaskan jawatan," katanya lagi. Sebagai seorang yang mengenali Dr Mahathir sejak 1981 ketika memegang jawatan Naib Ketua Pemuda bahagian Kubang Pasu Johari tidak akan mudah hairan dengan apa saja yang sudah dan bakal diperkatakan oleh bekas ketuanya itu. "Satu persatu terdedah hari ini bahawa apa saja yang dikatakan oleh Dr Mahathir sekarang adalah amat berlawanan dengan ketika beliau masih menjadi Perdana Menteri baik soal kepemimpinan, bahawa parti lebih penting daripada individu mahupun kesetiaan ahli.
"Daripada dulu apabila Dr Mahathir sering mencanangkan supaya dielakkan pertandingan jawatan tertinggi bagi mengekalkan perpaduan, hari ini beliau menyarankan supaya dilakukan apa saja agar parti berpecah-belah. "Bezanya ialah dulu beliau yang duduk di atas tapi hari ini orang lain mengisi tempat yang pernah didudukinya," katanya. Untungnya majoriti ahli Umno sendiri tidak sekadar mengikut emosi seperti dibuktikan seminggu sesudah gesaan Dr Mahathir agar mereka keluar beramai-ramai meninggalkan parti, cuma beberapa kerat yang mengambil tindakan demikian.
Tidak juga Mukhriz yang secara tidak langsung menggambarkan pemulauan terhadap Umno bukan satu-satunya cara yang harus dipersetujui atau dicontohi jika parti keramat Melayu ini benar-benar hendak diperkukuhkan. Harus tidak salah juga diandaikan jika kian ramai kini yang semakin jelas bahawa bukanlah sangat Umno yang dihasratkan oleh Dr Mahathir untuk diselamatkan, sebaliknya lebih kepada keinginan peribadi agar kepemimpinan Abdullah direbahkan.
Apakah dosa besar Pak Lah terhadap mantan Perdana Menteri itu sehingga Dr Mahathir tergamak untuk melakukan apa saja bagi merealisasikan hasrat itu? Bukankah Abdullah juga orang pertama menyambar mikrofon untuk meminta perwakilan pada Perhimpunan Agung Umno 2002 agar sebulat suara menolak pengumuman Dr Mahathir untuk berundur ketika ucapan penggulungannya? Dan selama lebih empat tahun menjadi Timbalan Perdana Menteri sejak 1999 selain menjadi penyokong paling setia, Pak Lah seharusnya memberikan cukup masa dan ujian untuk dirinya dinilai tetapi harus tidak pada pengamatan Dr Mahathir.
Sesiapa saja boleh merujuk kepada ucapan Dr Mahathir ketika upacara penyerahan tugas Perdana Menteri kepada Abdullah pada 31 Oktober 2003 yang antara lain berbunyi: "Berilah sepenuh sokongan kepada Datuk Seri Abdullah seperti sokongan yang diberikan kepada saya ketika memegang jawatan Perdana Menteri." Dr Mahathir tidak harus sama sekali menyalah anggap sokongan yang dinikmati selama lebih 22 tahun sebagai Perdana Menteri adalah semata-mata di atas daya kepemimpinannya.
Sebaliknya, ia harus turut berlandaskan kerjasama yang diberikannya sebagai sebuah pasukan, baik daripada Umno, parti komponen BN mahupun rakyat amnya. Atas perkiraan itu saja, tiada apa-apa yang berbeza dengan Abdullah jika didasarkan kepada ikrar sokongan terbaru daripada MT Umno, BN mahupun cetusan rasa menerusi peti undi. Apakah Dr Mahathir berasakan suaranya lebih besar dan lebih berpengaruh daripada semua mereka?
No comments:
Post a Comment